April 22, 2024

KUALA LUMPUR – TV AlHijrah, stesen televisyen yang dikenali sebagai pempromosi gaya hidup Islam dan kandungan kerohanian berimpak tinggi menginjak usia 13 tahun pada 1 Muharram 1445H, 19 Julai 2023 yang lalu dengan mengangkat tema Satukan Ummah Dengan Ilmu.

Sejak beroperasi pada 2010, TV AlHijrah sentiasa menjadi stesen pilihan utama buat rakyat Malaysia yang dahagakan kandungan penerbitan kreatif, berkualiti serta universal yang berlandaskan Islam, sesuai dan relavan untuk masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Sempena sambutan ulang tahun ke-13, TV AlHijrah beriltizam untuk terus kekal menjadi perintis kandungan Islamik kontemporari samada di platform TV mahupun di platform digital.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata TV AlHijrah telah memainkan peranan dalam menerbitkan pelbagai kandungan Islam yang bermanfaat serta menjadi rujukan penonton dan tahun ini usaha itu akan dipertingkatkan dengan penawaran program Islam pelbagai genre.

“TV AlHijrah akan memperkayakan penawaran kandungan Islam dalam pelbagai format dan genre serta mempelbagaikan kaedah penyampaian rancangan secara berkesan. Justeru, suku ketiga dan suku keempat 2023 akan menyaksikan dua Program Modul Realiti impak tinggi akan menemui penonton setia kami iaitu Rancangan Akademi Daie Muda YADIM dan rancangan Marhaban.

“Paling istimewa, sebagai buah tangan buat penonton untuk tahun ke-13, kami mengeluarkan buku Cinta Ilmu, Indahnya Hidup Beragama Dengan Ilmu yang diadaptasi daripada rancangan Cinta Ilmu, sebuah program bual bicara agama yang paling diminati di stesen kami. Semoga buku ini mampu menjadi rujukan yang relevan dan mampan bagi melahirkan umat Islam yang lebih berilmu dan berkualiti tinggi,” katanya.

Menurut Namanzee, beberapa rancangan baru akan dhidangkan buat penonton seperti rancangan Waalaikumsalam. Waalaikumsalam yang disiarkan pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad jam 11.30 malam adalah program yang membawa penonton bermuhasabah diri, merenung dan menilai tindak tanduk seharian agar sentiasa mencari ruang untuk memperbetulkan kesilapan.

Selain itu program bual bicara terkenal TV AlHijrah, Analisis juga akan berwajah baru bermula 31 Julai 2023 dengan kandungan yang lebih sarat dengan perbincangan dan kupasan isu-isu semasa, Analisis akan turut bertukar waktu siaran iaitu pada setiap Isnin, jam 10 malam.  

“TV AlHijrah turut mencatatkan pencapaian penonton iaitu peningkatan sebanyak 64% berbanding 2022. Malah menjadi pilihan pada musim Ramadan, 1444H dengan peningkatan tontonan sebanyak 140% berbanding tahun lalu.

Siri kejayaan demi kejayaan ini adalah penanda aras bahawa kami berada di laluan penyiaran yang benar. Kami juga telah diiktiraf sebagai pelopor penyebaran Islam melalui tiga annugerah yang dirangkul tahun ini iaitu ‘Asia Excellence in Islamic & Multicultural Broadcasting’ di Jakarta, Indonesia, Anugerah Corporate Media Company of The Year-Malaysia di Majlis Anugerah The Middle East Prestige Awards 2022/23 dan Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia (MBBA2023) bagi kategori Program Tanggungjawab Sosial Korporat Terbaik,” jelas Namanzee.

Untuk terus memanfaatkan ummah, TV AlHijrah juga menganjurkan Kempen Bincang Niaga Privilege. Kempen ini adalah usaha stesen ini untuk membantu menaiktaraf masa depan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) untuk menguasai pasaran ekonomi domestik dan bersaing di peringkat antarabangsa menerusi pakej pengiklanan mampu milik.