July 14, 2024

KUALA LUMPUR – Bermula dengan kejayaan konsert solo pertama ‘A Night With Aina Abdul’ 1.0 (‘ANWAA’) pada tahun 2021 dan diikuti dengan penganjuran edisi kedua tahun lalu, penyanyi berimej estetik, Aina Abdul yang juga merupakan pemilik trofi vokal terbaik di Anugerah Juara Lagu selama dua tahun berturut-turut kini terus mengorak langkah cemerlang apabila berjaya merealisasikan impian untuk mengadakan konsert solo berskala besar menerusi acara ‘ANWAA’ 3.0 yang akan bertempat di Axiata Arena Bukit Jalil pada 18 November kelak.  

Menerusi konsert penuh gilang-gemilang anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) yang turut menyaksikan Aina Abdul Entertainment (AAE) selaku penganjur bersama ini, Aina Abdul bakal mempersembahkan rangkaian 33 buah lagu hits termasuk medley bertemakan gabungan genre moden serta irama klasik yang akan diiringi oleh barisan pemuzik profesional orkestra dan band di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor iaitu Mac Chew.

Mengulas lanjut mengenai konsert ‘ANWAA’ 3.0, Aina Abdul berkata, “Saya amat bersyukur kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan PRIHATIN bagi menganjurkan konsert solo berskala besar di lokasi yang cukup gah seumpama ini. 

“Sejujurnya, pengalaman membuat persembahan di Axiata Arena sewaktu AJL telah memberikan satu pengalaman memukau dan tidak boleh dilupakan sama sekali. Sebagai penyanyi, saya tentunya mempunyai impian untuk mengadakan konsert solo di sini. Kepercayaan yang diberikan ini sekaligus meletakkan penanda aras baharu dalam pencapaian rencana seni saya secara peribadi.

Menurutnya lagi, konsert ‘ANWAA’ 3.0 ini merupakan tanda penghargaan kepada peminat setia yang amat beliau sayangi khususnya kelab peminatnya AINATIONS yang tidak pernah berhenti menyokong dan menjadi pembakar semangat untuk beliau terus berkarya.

“Tanpa mereka, mana mungkin saya dapat bertahan dalam industri yang cukup mencabar ini.” Ujarnya.

Konsert kali ini merupakan kesinambungan daripada dua konsertnya yang diadakan sebelum ini, Aina dan pasukannya telah bekerja keras untuk membuat perancangan rapi bagi memastikan agar penganjuran kali ini adalah edisi yang terbaik pernah dianjurkan.

“Apa yang pasti, saya akan tampilkan konsep berbeza terutamanya daripada pelbagai aspek secara keseluruhan agar mampu memberi kepuasan yang tiada tolok bandingan kepada para peminat kelak.” Kata Aina ketika ditemui di majlis sidang media yang diadakan di Starhill, Kuala Lumpur, petang tadi.

Buat julung kalinya juga, kolaborasi strategik yang terjalin di antara pihak PRIHATIN dan AAE menerusi penganjuran bersama konsert ‘ANWAA’ 3.0 pada kali ini turut menyokong inisiatif untuk menggerakkan misi mengumpul dana dengan menyalurkan sebahagian daripada hasil jualan tiket kepada Tabung Kasih PRIHATIN khusus bagi kegunaan dan manfaat pendidikan pelajar yang tidak berkemampuan dalam kategori B40 dan asnaf di peringkat institut pengajian tinggi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali, penganjuran Konsert ‘ANWAA’ 3.0 ini bakal memberi manfaat buat pelajar di menara gading yang kurang berkemampuan dari golongan asnaf untuk mengurangkan beban kos sara hidup di kampus. 

“PRIHATIN amat proaktif dalam menjalankan program-program bersifat kebajikan terutama dalam memperkasakan pendidikan negara ke aras yang lebih tinggi di persada dunia.

“Saya teruja kerana diberi peluang untuk menganjurkan konsert ini yang bukan hanya bersifat komersial semata-mata tetapi turut menekankan konsep ‘Berhibur Sambil Beramal’.

“Saya gembira untuk bekerjasama buat kali pertama bersama Aina Abdul untuk sama-sama mencari dana melalui jualan tiket seterusnya menyalurkan sebahagian hasil jualan untuk tujuan kebajikan. 

“PRIHATIN turut berterima kasih kepada pihak korporat dan orang perseorangan yang membeli tiket korporat sekaligus memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan dalam bidang pendidikan.” Jelas Aizuddin.

Dalam pada itu, penganjuran konsert ’ANWAA’ 3.0 ini juga disokong oleh Kementerian Komunikasi Dan Digital menerusi MyCreative Ventures serta turut diserikan dengan kehadiran B De Paris selaku Rakan Pengurusan Konsert, ERA & SINAR selaku Radio Rasmi, GEMPAK selaku Rakan Digital Rasmi dan ticket2u selaku Platform Jualan Tiket Rasmi.

Tiket untuk menyaksikan konsert ANWAA’ 3.0 akan mula dijual dengan harga RM98 (Silver), RM188 (Gold), RM258 (Platinum), RM288 (VIP), RM388 (VVIP) dan RM488 (MIP) bermula 15 September 2023 di www.ainaabdul.my.