KUALA LUMPUR, 17 NOVEMBER 2021 – Bakatnya dalam bidang kulinari sudah dipupuk sejak kecil. Ketika kanak-kanak lagi dia sudah suka memasak dan masuk dapur.

Mengakui tidak pernah mengejar populariti, Cef Selebriti, Anis Nabilah banyak mengumpul pengalaman dari bawah. Setiap pencapaian yang diraih hari ini adalah berkat dan usaha gigih sendiri.

Malah, Anis, 35, atau nama sebenarnya Anis Nabilah Umaruddin juga bertuah apabila kerjayanya kini turut diwakili syarikat pengurusan Universal Music Malaysia.

Menjadi selebriti yang bernaung di bawah syarikat itu sejak 2019 lalu memberikan satu lagi pencapaian yang boleh dibanggakan sepanjang lebih 13 tahun pembabitannya sebagai cef selebriti.

Terbaharu, Anis mendapat Anugerah Platinum membabitkan hasil pendapatan daripada gabungan perniagaan dari tahun 2019 hingga 2020. Sekaligus menjadikan dia antara selebriti yang meraih pendapatan tinggi di bawah pengurusan Universal Music Malaysia.

Anis berkata, dia seronok, teruja dan bangga dapat bekerjasama dengan Universal Music Malaysia sekaligus meningkatkan lagi jenama dirinya.

“Saya antara selebriti di bawah pengurusan Universal Music Malaysia. Anugerah Platinum yang diberikan saya anggap sebagai pencapaian terbaik sejak mula bersama mereka pada 2019 lalu.

“Diakui sejak bersama mereka memang nampak peningkatan dalam kerjaya dan jenama saya. Bukan saja dari segi pendapatan, pengikut dan nama, tapi saya dapat mengukuhkan jenama sendiri sehingga ke peringkat antarabangsa. Jadi, saya berasa sangat bertuah kerana ada jenama besar iaitu Universal Music Malaysia di belakang saya.

“Sebenarnya ramai tidak tahu yang mereka adalah syarikat yang sangat versatil yang mana memberi dan membuka peluang pada mana-mana bakat untuk diketengahkan ke peringkat lebih jauh. Buktinya, mereka berjaya mengurus dan membawa kerjaya saya berada pada tahap sekarang,” katanya.

Menurut Anis, sejak diwakili syarikat itu ia sedikit sebanyak memudahkan lagi dirinya berkolaborasi dengan lebih banyak jenama dan syarikat antarabangsa.

“Apabila bersama mereka, kalau saya nak berkolaborasi dengan mana-mana jenama atau sesiapa saja, ia lebih mudah. Apatah lagi mereka memang memberi kepercayaan pada artis dan sanggup melabur. Paling penting, mereka akan beri masa dan tenaga untuk kembangkan jenama saya.

“Memandangkan saya cef selebriti, jadi mereka belajar selok belok kerjaya saya. Disebabkan itu, saya dapat bekerjasama dan berkolaborasi dengan banyak jenama terkenal lain. Pendek kata, bukan hanya nak letak muka saya saja, tapi mereka ambil tahu dari awal sampai akhir selain sokongan padu yang diberikan,” katanya.

Anis menunjukkan Anugerah Platinum membabitkan hasil pendapatan daripada gabungan perniagaan dari tahun 2019 hingga 2020

Berkongsi lanjut kerjasama terjalin dengan Universal Music Malaysia, Anis berkata apa yang dicapai hari ini juga adalah berkat saling percaya antara kedua belah pihak.

“Sebelum ini saya dengan syarikat pengurusan Kartel yang kemudiannya bergabung dengan Universal Music Malaysia dan Def Jams Southeast Asia. Kebetulan saya duduk bersembang dengan Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim. Saya cakap apa yang nak dicapai dalam industri ini. Jadi kami terus bincang. Malah, dia faham apa saya nak.

“Walaupun hanya bersembang, tapi kami terus serasi. Dia ada kepercayaan pada saya. Tidak banyak perbincangan dibuat sebelum saya memberi kata putus untuk menyertai mereka. Sejak itu kami terus bincang apa yang saya mahu dan perancangan ke depannya.

“Kalau nak bercakap dari segi kontrak, memang tidak ditetapkan pun lagi berapa lama. Setakat ini kedua-dua pihak seronok bekerjasama. Apa yang pasti masing-masing nak mara ke depan dan bersama-sama teroka lebih banyak perkara dalam bidang ini,” katanya.

Anis turut melahirkan rasa syukur apabila sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara tahun lalu dia masih dihujani pelbagai tawaran kerja.

“Tahun lepas ketika Covid-19 menular dalam negara, ramai terkesan. Tapi saya alhamdulillah masih okay dan ada tawaran kerja yang tak putus. Ada juga kolaborasi dengan pihak antarabangsa iaitu Tasty dengan membuat kandungan masakan untuk mereka. Saya orang Malaysia pertama yang kolaborasi dengan mereka. Ketika itu saya buat dua resipi masakan Malaysia. 

“Insya-Allah, untuk seterusnya saya merancang nak menerbitkan buku sendiri. Tahun lepas saya sudah buat buku dengan Thermomix. Jadi, kali ini kalau boleh saya nak ada buku sendiri pula dan boleh pasarkan ke peringkat antarabangsa. Selain itu, saya juga nak lebih banyak bekerjasama dengan jenama antarabangsa. Bukan apa, saya nak berkongsi masakan Asia terutama Malaysia,” katanya.

72 thoughts on “Anis Nabilah raih Anugerah Platinum, kukuh jenama ke peringkat global”
  1. pleasant post, keep up with this interesting work. It really is good to know that this topic is being covered also on this web site so thank for taking time to discuss this!

Leave a Reply

Your email address will not be published.