July 14, 2024

KUALA LUMPUR : Tidak ada yang lebih havoc apabila beberapa kugiran dan band tempatan yang menjadi kegilaan ramai akan bersama dalam satu panggung. Apa lagi persembahan ‘gila’ mereka yang sudah lama tidak dilihat secara langsung akibat pandemik COVID 19 melanda dunia.

Kini seperti banyaknya pihak penganjur yang sudah berani menganjurkan semula beragam acara hiburan, salah sebuah ‘rumah’ yang menyediakan bukan sahaja bersifat pengurusan acara seperti festival makanan, automotif, fesyen dan kecantikan, tetapi juga ikut menyemarakkan dunia hiburan dengan persembahan dari para artis.

Dikenali sebagai Havoc Event & Management Sdn Bhd (HAVOC) atau lebih popular sebagai Havoc Food Festival, tahun ini mereka ingin meraikan masyarakat bersama acara hiburan yang pastinya ‘pecah’.

Lihat barisan penghibur yang disediakan. Melalui program yang diberi nama Havoc Midnight Concert, acara seperti festival ini akan dilaksanakan di beberapa lokasi.

Istimewanya juga, untuk acara Havoc Festival yang sudah masuk kali ke-enam ini, Pengarah Kanan Bahagia Perancangan Strategik Tourism Malaysia, Tun Syed Yahya Syed Othman telah sudi hadir bagi melancarkan festival ini di Panggung Asia, Gombak, semalam.

Syed Yahya menyaksikan Yonnyboii menandatangani plak perasmian Havoc Midnight Concert
Firdaus Nadxaman selaku Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Event & Management Sdn Bhd.

Lokasi pertama yang akan di’havoc’kan oleh barisan pemuzik antaranya Kugiran Masdo, Noh Salleh, Floor 88, Zynakal, Yonnyboii dan KClique di Dataran Karnival Shah Alam, Selangor selama dua malam berturut-turut bermula 3 dan 4 September ini.

Peminat boleh menyaksikan persembahan pemuzik idola mereka pada pukul 10 sehingga 12 malam dengan pilihan harga tiket bermula dari RM69 untuk Early Bird di Normal Zone, RM109 (Early bird) di Rock Zone, Combo Rock Zone RM199 dan Combo Normal Zone dengan harga RM120. Kesemua tiket boleh dibeli melalui www.ticket2u.com

Paling menarik, jika kalian bakal terlepas persembahan di Shah Alam pada 3 dan 4 September ini, Havoc Midnight Concert dengan barisan penghibur yang sama akan menemui anda di MITC Melaka pada 4, 5 dan 6 November 2022.

Selanjutnya, barisan pemuzik yang cukup berkaliber dan punya banyak peminat daripada pelbagai lapisan masyarakat ini akan menutup karnival Havoc di Johor Bahru.

Lebih mengujakan, Havoc Midnight Concert ini akan diadakan pada dua malam terakhir sebelum tahun 2023 menyapa dunia bermula dari 30 dan 31 Disember serta meraikan kedatangan tahun baharu pada 1 Januari 2023. Havoc Midnight Concert di selatan negeri ini akan berlangsung di Padang B Plaza Angsana, Johor Bahru.

“Ini akan menjadi sebuah festival muzik yang tidak akan dilupakan bukan sahaja oleh peminat-peminat industri muzik tempatan. Bayangkan dari genre muzik Masdo sehingga hip hop dan rap mantap KClique sehingga dendangan legenda kita, Noh Hujan, semuanya akan anda perolehi pada satu malam.

“Jadi jangan sampai terlepas kerana ada tiga venue yang menanti anda untuk dihiburkan!,” ujar Firdaus Nadxaman selaku Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Event & Management Sdn Bhd.

Selain mendapatkan hiburan, usah risau kerana di sini juga akan berlangsung festival makanan dan jualan lainnya yang telah menjadi trademark dan mendapat kerjasama dari Cuti-Cuti Malaysia serta Tourism Malaysia sejak acara ini ditubuhkan pada tahun 2019.

Kugiran Masdo
Floor 88
Yonnyboii