January 13, 2025

KUALA LUMPUR : Kumpulan rock legenda Wings, memukau lebih 2,500 peminat apabila mereka ‘mengganas’ di pentas Konsert Naga Kramat yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, malam kelmarin. 

Ternyata aura mereka tidak pernah padam apabila penonton mula ‘menggila’ dengan kemunculan anggota Wings iaitu Datuk Awie selaku vokalis, Eddie (basis), Edrie dan Syam (gitaris) serta Black (dram) di pentas tepat jam 9.15 dimana mereka disambut dengan tangan berbentuk simbol sayap yang menunjukkan simbolik nama kumpulan itu. 

Sebanyak 22 lagu dipersembahkan Wings pada malam itu buat peminat setia mereka. Mereka membuka tirai persembahan dengan lagu Entah Kiri Entah Kanan, Jumpa Hilang dan Lubuk Pusing dari album Naga Kramat.

Naga Kramat adalah album kesepuluh mereka yang diterbit dan dihasilkan pada tahun 2002, serta merupakan album pertama selepas Awie kembali menyertai Wings.

Awie menyampaikan 22 buah lagu di Konsert Naga Kramat

Sebelum meneruskan lagu seterusnya, Awie secara sinis berkata, “sekarang ini musim orang gila, kita hampir bernafas dalam lumpur, kita juga bakal diberi harapan, jadi pandai-pandailah memilih.”

Sindirin halus ini disambut derai tawa penonton yang mengandaikan kata-kata itu ditujukan untuk kempen pilihanraya (PRU) yang akan datang. Persembahan diteruskan dengan lagu Bernafas Dalam Lumpur, Opera Hidup, Romania, Hukum Karma, Ingatkan Dia, Jerangkung Dalam Almari dan Awang Trasher.

Di pertengahan konsert, Wings meneruskan persembahan dengan lagu Inggeris berjudul Ares Lament dari kumpulan Loudness dan lagu He’s A Women She’s A Man dan Is There Anybody There yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Scorpions.

Lagu-lagu Inggeris yang dipersembahkan oleh mereka adalah untuk mengimbau kenangan mereka sewaktu bermulanya Wings bertapak di dalam industri hiburan. Lagu-lagu ini adalah kegemaran dan lagu wajib buat mereka ketika sesi ‘jamming’ bersama.

Awie kemudian mengucapkan penghargaan kepada mereka yang terlibat menjayakan konsert ini dan juga kepada peminat Wings yang hadir.

Awie berterima kasih kepada peminat yang hadir

Menurut Awie, Konsert Naga Kramat di Kuala Lumpur menjadi persembahan terakhir Wings untuk tahun ini sebelum mereka berangkat menunaikan ibadah umrah.

“Ini adalah antara konsert terakhir kami untuk tahun ini sebelum kami berangkat ke Mekah bagi menunaikan umrah dan doakanlah segalanya dipermudahkan untuk kami semua,” katanya dihadapan ribuan peminat Wings.

Bagi menghangatkan malam yang penuh bermakna itu, Syam selaku pemain gitar membuai penonton ke demensi yang lain dengan petikan gitar solo yang mengasyikkan. Awie muncul semula di pentas dengan lagu Harapan, Taman Rashidah Utama, Bujang Senang, Lipas Kudung,Peronda Jaket Biru dan diakhiri dengan lagu Sejati.

Syam dengan petikan solo gitarnya

Wings keluar meninggalkan pentas dan tirai mula diturunkan, namun peminat tidak berganjak dan melaungkan jeritan “we want more” berulang kali.

Tidak mahu menghampakan mereka yang hadir, Awie menunaikan permintaan dengan mendendangkan lagu Sekeping Kertas Bermaruah, Gemuruh dan Dalam Kehadiran Sofiah. Konsert diakhiri dengan sorakan dan tepukan yang paling gemuruh. Pengalaman dan kenangan menyaksikan konsert berkenaan akan menjadi memori yang paling bermakna buat penonton yang hadir di Konsert Naga Kramat ini.

Konsert Naga Kramat di Kuala Lumpur menjadi persembahan terakhir Wings untuk tahun ini
Edrie
Eddie
Black