April 20, 2024

KUALA LUMPUR : Persatuan Kebajikan Artis-Artis Johor Bahru (The Legend) akan menganjurkan Konsert Amal Rock Hujung Benua Asia 2022. Konsert yang akan berlangsung pada 24 Disember ini, di perkarangan tempat letak kereta Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pontian, Johor adalah kemuncak acara di dalam Pesta Air Pasang Besar Tanjung Piai 2022 yang disokong oleh Kementerian Pelancongan melalui Tourism Malaysia di bawah inisiatif Pelan Pemulihan Pelancongan 2022.

Menurut Halim Rockers, konsert ini diadakan untuk membantu artis-artis yang sudah tidak mampu untuk meneruskan karier di dalam industri seni.

“Pihak penganjur daripada Persatuan Jawa Parit Bugis, meminta saya dari Persatuan Kebajikan Artis-Artis Johor Bahru (The Legend) untuk bergabung bagi menjayakan konsert ini dengan tujuan membantu artis-artis yang mempunyai masaalah kesihatan, yang tidak mampu menyanyi lagi serta tiada pendapatan untuk menyara hidup,” katanya yang juga pernah menganggotai kumpulan Ekamatra.

Seramai 10 orang artis yang terdiri daripada Man Kidal, Kumpulan Kristal, Bandi Amuk, Ayai Ilusi, Wom UG14, Pat Candy, Halim Rockers, Ucop Ahmad, Kumpulan O-Two dan Kumpulan DNA Band akan membuat persembahan pada malam konsert itu berlangsung. Artis-artis ini akan menyampaikan lagu-lagu rock yang pernah dipopularkan oleh mereka dan artis-artis lain di bawah naungan persatuan sebagai tribute kepada mereka. Konsert ini akan diserikan dengan pertembungan petikan gitar antara Man Kidal, Rodi Kristal dan Pat Candy yang pastinya akan memukau para penonton.

Penganjur konsert (kanan sekali) bersama barisan artis yang akan menjayakan konsert

Bagi pemain gitar tersohor, Man kidal, merasa teruja untuk mengadakan persembahan di malam konsert itu nanti kerana beliau jarang-jarang sekali mendapat jemputan untuk beraksi di tempat kelahirannya ini.

“Sebenarnya saya jarang mendapat tawaran persembahan yang besar seperti ini di Johor, yang bestnya ini adalah persembahan saya seorang dan saya akan mengundang penyanyi untuk bersama saya. Jangan lupa 24 Disember ini, kita akan ‘kasi pecah’ di sana!” Ujarnya.

Pemain gitar kumpulan Kristal, Rodi, mengharapkan orang ramai terutamanya sekitar negeri Johor untuk hadir ke malam konsert bagi menyaksikan persembahan hebat dari artis-artis yang sentiasa mewarnai industri seni hiburan tanah air.

“Kumpulan Kristal akan membuat persembahan dengan menyampaikan beberapa lagu popular Kristal, dan kami juga akan bertidak sebagai pemuzik latar untuk artis-artis yang akan membuat persembahan pada konsert itu nanti,” katanya.

Sewaktu mengadakan sidang media di restoran Oasis BBQ Garden, Kuala Lumpur

Pihak penganjur telah menyediakan tiket-tiket yang berharga dari RM 55 hingga RM 200 bergantung kepada pakej-pakej menarik yang boleh dipilih oleh penonton. Tiket-tiket boleh didapati di www.ticket2u.com.my atau melalui talian hotline konsert 016 3625 786 dan 016 2585 786.

Selain daripada persembahan nyanyian, para penonton juga berpeluang untuk memenangi cabutan bertuah yang akan diadakan di sepanjang acara ini berlangsung.

Konsert Amal Rock Hujung Benua Asia yang dihoskan oleh Persatuan Kebajikan Artis-artis Johor Bahru (The Legend) ini adalah bertujuan untuk membantu ahli-ahli persatuan yang sudah tidak aktif berkarya sambil mengumpulkan artis-artis lama dan baru dalam satu konsert. Konsert ini juga merupakan salah satu acara yang telah direncanakan untuk mempromosi Pesta Air Pasang Besar Tanjung Piai 2022.

Temu bual bersama Man Kidal, Rodi Kristal, Pat Candy dan Halim Rockers