October 10, 2024

KUANTAN – Penyanyi legenda, Datuk Ramli Sarip, mengumumkan bakal menggegarkan Kuantan, Pahang dengan sebuah konsert berskala besar yang digelar, Konsert Ramli Sarip Blues Untuk Rakyat pada 5 Ogos kelak. Pengumuman ini telah dibuat di majlis sidang media ‘Ramli Sarip Blues Untuk Rakyat’ di Hotel Shahzan, Kuantan, Ahad lalu.

Dianjurkan oleh Ada Events Asia, konsert itu akan berlangsung di Stadium Utama SUKPA di Bandar Indera Mahkota, di sini.

Ramli Sarip bersama pemuzik dan penganjur

Penyanyi yang dijoloki Papa Rock itu mengakui teruja dapat kembali menghiburkan peminatnya di Pahang yang disifatkan bakal mengembalikan banyak kenangan yang bakal dizahirkan dalam persembahan yang bersifat rakyat.

“Ini cerita tentang negara. Ini cerita tentang saya. Ini cerita tentang awak,” katanya di majlis sidang media, merujuk malam Blues Untuk Rakyat yang juga pernah dijadikan judul salah sebuah album yang diterbitkannya untuk band rock, Lovehunters pada awal 90an yang menampilkan hit dengan judul sama.

“Ini tentang kehidupan sehari-hari kita.”

sidang media di sebuah hotel terkemuka di Kuantan

Pada sidang media sama, penganjur juga mengumumkan harga tiket serendah RM98 telah pun mula dijual di www.ticket2u.com.my selain menawarkan pas istimewa, Meet & Greet hanya pada RM198.

Mula mencipta nama bersama band Sweet Charity di Singapura seawal era 60an, sebelum bergerak solo dan masih utuh sampai sekarang ini, kembalinya Ramli ke pentas yang bakal diadakan di Pahang ini membuatnya mengimbau pengalaman menyusuri ke seluruh pelusuk Felda demi peminatnya.

Bersama penganjur, penaja dan lagenda bola sepak Fandi Ahmad

“Banyak momen bermakna dipahat sepanjang saya menjelajah dari satu felda ke satu felda, satu masa dulu. Biarpun sudah lama berlalu, kepuasan yang diperolehi di sebalik kepayahan yang ditempuhi jadi pengalaman indah yang sukar dilupakan.

“Perjalanan ini menyaksikan pelbagai cerita dikutip yang mendorong penghasilan lagu seperti Blues Felda Blues, antara yang akan dibawa pada konsert di Kuantan kelak,” katanya, merujuk karya yang dimuatkan dalam album Rentak Hidup pada 1991.

Bertemu peminat di sebuah cafe

Dilamar penganjur, Ada Events Asia untuk konsert yang berkisar tentang rakyat, di Kuantan pula, ditambah dengan harga tiket yang tidak begitu tinggi, ibarat peluang mengubati kerinduan, terutama dengan peminat di Pahang untuk bersua kembali dan bernostalgia sama.

Sebanyak 20 judul lagu dijangka diperdengarkan pada malam konsert itu yang menurut Ramli, dipilih daripada puluhan karya berunsur rakyat yang banyakya menjurus kepada mesej dan vibrasi positif.

Busking di Teluk Cempedak, Kuantan

Sambil berharap konsert in juga bakal membuka ruang untuknya mencipta peminat muda, sebanyak enam lagu baru dijangka dipersembahkan seperti Ronggeng Rakyat, Cinta di Sebalik Musim dan Surat Cinta Kuala Lumpur, selain koleksi hits dan malar segar yang berusia lebih 40 tahun dan masih relevan.

Menyanyikan lagu buat peminat di Teluk Cempedak, Kuantan

“Ini yang saya ingin katakan melalui konsert ini, iaitu bercerita kembali tentang kenangan dengan saya, dengan peminat lama dan juga anak-anak muda. Jelas dalam lirik lagu seperti Blues Felda Blues, jangan mengantuk lagi, bangun daripada tidur, bangunlah kembali” katanya.

“Dan kita cipta kenangan bersama.”

Menyantuni peminat di Teluk Cempedak Kuantan

Jangan lepaskan peluang untuk bernostalgik dengan legenda muzik, Datuk Ramli Sarip di Stadium SUKPA pada 5 Ogos ini. Selain Meet & Greet Special Pas berharga RM198 (free seating), tiket berharga RM98 (free standing), RM128 dan RM148 (free seating) juga masih boleh didapatkan di www.ticket2u.com.my

Bersama buskers di Teluk Cempedak Kuantan