March 29, 2024

KUALA LUMPUR, 15 DISEMBER 2021 – Darah seni yang mengalir dalam tubuh artis versatil, Datuk AC Mizal, 49, kini dipanjangkan anak terunanya, Muhammad Reeve Damien berusia 18 tahun. Legasi yang diteroka suami kepada Datin Emylia Rosnaida ini sejak menganggotai kumpulan rap 4U2C meledak di era 90-an ternyata berkesinambungan. Lamaran syarikat rakaman Universal Music Malaysia menyunting anaknya yang selesa dipanggil Damien disambut baik.

Penantian sekian lama juga cukup berbaloi biarpun harus menempuhi situasi tak terduga pandemik COVID-19 hingga melengahkan tempoh waktu perancangan asal single sulung berjudul MINE dilancarkan. Istimewanya juga, MINE buat julung kali menyaksikan gandingan pertembungan dua generasi antara pengacara popular itu dengan anaknya.

“Segala serbi mengenai pembabitan dan perjalanan proses pembikinan lagu ini membuatkan saya teruja dan bangga. Semuanya dibuat dengan teliti. Untuk single pertama anak saya menyatukan kami dan menjadi sisi lain yang buat tersentuh hati dan terharu. Tak pernah terjangka semua ini akan berlaku dan tersusun cantik.”

“Penantian bertahun tahun yang saya pendam dan harap, benar benar direalisasikan. Akan datang saya dan dia akan satu pentas membuat persembahan. Ia rasa yang tak terungkap dengan kata kata,” kata pemilik nama sebenar Mizal Zaini itu.

Kata AC yang pernah dua kali mengacarakan Anugerah Bintang Popular BH itu, beliau berkata MINE juga melihat pertaruhan anaknya sebagai penerbit lagu, penulis lirik selain menyumbangkan vokal. MINE yang bernuansa Pop R&B dan hip hop dicipta khas oleh Adam E, Freddie Laut dan ADL. Nukilan lirik pula gabungan idea Damien, AC di samping Adam E dan ADL.

“Lagu ini sepatutnya dilancarkan tahun lalu. Tapi siapa mampu menebak, dunia diserang wabak COVID-19 hingga sekatan pergerakan dilaksanakan. Setahun juga menanti kerana perlu berdepan beberapa siri penangguhan.

“Jadi ia akhirnya dibawa tahun ini. Lagu itu dirakamkan 3 Januari lalu. Manakala video muziknya pula dilunaskan penggambarannya pada 10 Oktober lalu. Saya serahkan tanggungjawab memberi nyawa untuk lagu ini kepada anak. Lagipun anak saya lebih arif dengan apa yang dirasakan sesuai pada zaman sekarang,” katanya.

Malah, pelakon francais drama dan filem Gerak Khas itu juga bangga kerana melihat Damien  

cukup bersedia dengan setiap proses dari A hingga Z.

“Saya sendiri tak mahu projek lagu duet ini jadi asal boleh. Saya dan anak mahu ia dihasilkan sesempurna mungkin. Pihak Universal Music sendiri faham kehendak dan hala tuju diingini kerana saya jenis yang mementingkan kesempurnaan. Pendek kata, bunyi, susunan lagu dan video muzik sampai pada paras kepuasan saya.

“Ternyata anak saya seperti lulus dengan baik untuk percubaan sulungnya ini. Tak banyak aspek yang perlu diubah. ‘Feel’ yang dizahirkannya dalam lagu ini juga kena. Saya sendiri juga turut menyanyi rap dengan suntikan elemen yang baru dan tidak seperti kebiasaan.

“Dalam lagu ini, kami masing masing mengimbangi bahagian nyanyian secara sama rata. Tiada siapa cuba ‘overshadow’.  Cuma saya mahu pengenalan untuk memperkenalkan anak dapat diterima. Lagu ini dapat sohor kini, dimain serta di undi di radio dan berilah ruang untuk dia menunjukkan potensi bakat sebenarnya,” katanya yang kali terakhir tampil dengan lagu Itu Saja pada tahun 2017.

Kata AC lagi, lirik MINE menyentuh mengenai idea bagaimana wujud individu meminati gadis idaman dan berusaha untuk memilikinya.

MINE mengenai detik pertemuan yang bermula daripada media sosial. Lelaki yang mempunyai minat terhadap seorang wanita di media sosial memulakan percubaan untuk mengenali gadis itu dengan menghantar mesej langsung di Instagram (IG).

“Perasaan mula jadi tidak menentu menantikan jawapan daripada gadis berkenaan. Akhirnya gadis itu bersetuju dan ingin berjumpa. Lalu  bermulalah kisah percintaan yang baru dipanggil cinta media sosial di alaf baru,” katanya.

Ditanya mengenai kecenderungan ditunjukan Damien dalam seni, AC berkata anaknya mula menunjukkan minat bermain gitar di usia 10 tahun.

“Dia mula berjinak-jinak dalam dunia nyanyian selepas tamat peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE). Sementara menunggu keputusan, dia berlatih menyanyi setiap hari. Daripada situ, terserlah minatnya. Malah selama enam bulan juga dia berlatih menyanyi dan mengasah vokal sebagai persediaan sebelum merakam single MINE.

“Saya menyokong 100 peratus minat dan apa yang dilakukannya kini. Saya juga mahu dia mengimbangi pelajaran. Dia memiliki Diploma Pengajian Perniagaan di sebuah kolej dan akan melanjutkan pelajaran peringkat ijazah tahun depan,” katanya.

AC menambah anak perempuannya, Fea Eryssa, 13, juga meminati dunia seni kerana minat menyanyi dan bermain piano. Bagaimanapun Fea perlu menumpukan dulu persediaan menjawab peperiksaan IGCSE.

Sementara itu, Damien berterima kasih kerana impian yang ditunggu menjelma juga akhirnya.

“Ia satu perasaan menakjubkan apabila impian yang dulu hanya angan-angan dapat direalisasikan. Saya mahu berterima kasih kepada bapa dan Universal Music kerana menjadikan ia sebuah kenyataan.

“Saya sendiri mengikuti kelas belajar vokal dengan bapa lebih enam bulan. Lega rasanya penantian itu akan membuka lembaran dan cabaran baru,” katanya yang sudah bermain gitar lebih lima tahun lalu.

Kata Damien lagi, dia berasa bersyukur dan dirahmati dapat sama sama bapa tersayang melengkapkan portfolio single berkenaan.

“Saya membesar dengan melihat perjalanan dan perjuangan bapa mengejar cita cita serta impiannya. Bapa mencipta jaya dengan hebat dalam industri hiburan tempatan.

“Fasa awal, saya sejujurnya tak dapat menyembunyikan resah gelisah kerana tiada pengalaman. Tapi bapa banyak membantu dan buat saya rasa selesa serta tidak canggung. Tanpanya, semua ini  tidak mungkin terjadi,” katanya.

Kata Damien lagi, pada awalnya dia tidak pernah terlintas mengikuti jejak langkah bapa.

“Hakikatnya adik saya yang lebih awal menunjukkan potensi dan bakat seninya. Saya pula ketika itu hanya bercita cita nak jadi ahli perniagaaan atau juruterbang. Minat saya terhadap nyanyian bagaimanapun bercambah hari demi hari apabila berpeluang melihat rutin seni dan mula jadi berinspirasi dengan apa dilakukannya.

“Idola saya artis juga komposer kelahiran Australia, Ruel dan Daniel Caesar dari Kanada turut menyuntik semangat. Saya sendiri ada menerbitkan lagu suka suka dan merancang untuk mengkomersialkannya pada waktu akan datang,” katanya.

MINE menurut pemahaman Damien ialah sebuah karya cinta di era moden termasuk sisi berdating dalam talian.

“Ia berbalik kepada kisah dan pengalaman sendiri menjejaki seorang gadis yang disifatkan menarik menerusi media sosial. Keinginan untuk mendekati dan menghantar teks kepadanya cukup kuat.

“Bagaimanapun usaha demi usaha diatur tidak dipedulikannya. Bayangkan perasaan mesej dihantar di media sosial dibiar sepi. Perasaan tergantung itu saya yakin ramai alaminya.

“Namun  akhirnya, dia membalas dan memberi jawapan pasti. Momen itu buat saya takjub. Perasaan itu cukup indah apabila rasa cinta yang dizahirkan tidak bertepuk sebelah tangan,” katanya.

MINE telah tersedia di semua platform penstriman digital sejak 10 Disember lalu manakala muzik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Dato AC Mizal feat. Reeve Damien – MINE (Official Music Video)

25 thoughts on “Dato Ac Mizal Bergandingan Bersama Anak, Damien Di Dalam ‘Mine’

  1. 169265 451937Following examine a couple of of the weblog posts on your internet web site now, and I actually like your manner of blogging. I bookmarked it to my bookmark internet site record and will probably be checking back soon. Pls take a look at my internet page as nicely and let me know what you think. 35414

Comments are closed.