April 18, 2024

KUALA LUMPUR : Lebih 30 tahun dalam industri seni muzik tanahair, nama kumpulan Flop Poppy masih lagi menjadi sebutan ramai walaupun kurang mendapat publisiti media arus perdana. Meskipun tanpa kehadiran album baharu, namun lagu-lagunya masih lagi segar di halwa telinga peminat-peminat tegarnya.

Mula mencipta nama menerusi lagu Cinta, Aku dan Kamu, Masih, Atas Nama Cinta dan Rest of My Life, band yang di tunjangi oleh Andy selaku vokalis dan pemain gitar ini turut diperkemaskan lagi dengan kehadiran Mijie (gitar), Megat (gitar), Wendy (bassis) dan Bakri (drum).

Kali terakhir Flop Poppy membuat konsert adalah empat tahun lalu dan kini, Flop Poppy bangkit dengan merancang sendiri penganjuran Konsert Masih Tour Flop Poppy di seluruh negara, tanpa ada tarikh tertentu, bergantung situasi semasa dan harga tiket yang amat berpatutan.

Flop Poppy bersama anggota OAG menunjukkan gitar yang bakal dibawa pulang peminat nanti

Menurut Andy, konsert Masih Tour ini akan menjelajah ke seluruh negeri demi memenuhi permintaan peminat yang mahu mengembalikan nostalgia mereka yang selama ini yang banyak menyokong perjalanan seni Flop Poppy selama 30 tahun menapak dalam industri muzik.

“Ramai yang bertanya Flop Poppy masih ada lagi ke? Kita jawab masih ada, kalau masih ada apa yang perlu Flop Poppy buat? Jadi kita buatlah Masih Tour dan kita bukanlah nak buat comeback tetapi kita pemuzik yang masih aktif dan tidak pernah berhenti,” katanya.

Andy berkata, Flop Poppy amat bersyukur kerana usaha keras dibuat mendapat sokongan ramai, terutama daripada rakan-rakan dan kenalan lama mereka yang berminat nak menaja, walaupun masing-masing datang dari bidang lain seperti industri makanan.

“Sebenarnya penganjur di setiap lokasi berbeza-beza, untuk konsert ini penganjurnya dari kalangan rakan kami yang datang dari industri makanan. Sebelum ini konsert di PICC dianjurkan oleh Krung Krang studio dan konsert di Melaka kita buat sendiri. Kepada sesiapa yang ingin bersama-sama kita untuk menganjurkan konsert Flop Poppy sememangnya dialu-alukan,” jelasnya.

Flop Poppy menampilkan OAG dan Bunkface sebagai artis jemputan

Sehubungan itu, Konsert Masih Tour Flop Poppy terkini bakal berlangsung pada 29 Oktober ini di Dewan Perdana Suria, Ampang, jam 8.30 malam, yang turut dimeriahkan dengan persembahan daripada OAG dan Bunkface.

“Format dan konsep di setiap lokasi konsert kita buat penampilan yang berbeza-beza, untuk konsert ini kita buat satu elemen kejutan dengan menampilkan band dari beberapa generasi seperti Bunkface dan OAG. Kita juga beri kebebasan kepada band jemputan ini untuk menentukan sendiri jumlah lagu yang ingin disampaikan mereka,” Ujar Andy.

Andy menyanyikan lagu sewaktu sidang media konsert Masih Tour Flop Poppy

Bagi mereka yang berminat menonton, harga tiket bermula dari RM80 hingga RM200 (VIP). Bagi tiket VIP, penonton disediakan jamuan makanan. Malah, bagi pelajar dan orang kelainan upaya (OKU), bakal mendapat potongan harga tiket sebanyak 10 peratus.

“Harapan saya agar peminat datanglah beramai-ramai ke konsert Masih Tour ini, sambil berhibur mereka boleh memenangi hadiah cabutan bertuah dan juga barangan merchandise. Jika ada lebihan keuntungan, memang kita sudah memasang niat untuk membantu penggiat seni yang tidak bernasib baik.” Katanya lagi.

Setiap pembelian tiket akan dihadiahkan dihadiahkan sehelai t-shirt. Anda juga berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah cabutan bertuah termasuk hadiah utama sebuah gitar HILCS Guitar standard series edisi Flop Poppy.

Temubual bersama Flop Poppy