KUALA LUMPUR : Nama mereka mungkin jarang kedengaran di kalangan penggemar muzik tempatan, namun bagi duo RNB, Guccimith dan Zhe Kamil, mereka telah pun menapak di persada industri muzik Malaysia beberapa tahun yang lalu.

“Kami bukanlah duo ‘hip-hop’ seperti yang disangkakan kerana kami juga turut menghasilkan pelbagai jenis muzik yang berlainan genre,” jelas Guccimith, anak kelahiran Kuching, Sarawak.

Kedua-dua mereka bermula sebagai duo muzikal secara tidak sengaja ketika pertama kali bersua di sebuah acara open mic, tambah Guccimith lagi, “Zhe memberitahu saya yang dia berkebolehan menghasilkan beats (rentak pelbagai) dan merupakan seorang penerbit muzik bebas.

“Kami kemudiannya berbincang dan lantas bersetuju untuk cuba bekerjasama, dan siapa sangka chemistry yang terjalin di antara kami berdua ternyata membuahkan hasil yang menakjubkan.”

Terbaharu, duo ini tampil dengan sebuah single berentak RNB dalam nuansa trapsoul berjudul Apa Lagi terbitan Warner Music Malaysia.

Single ini adalah nukilan mereka berdua yang telah lama direncanakan sejak tahun 2020 lagi, namun bencana pandemik COVID-19 yang melanda dunia sedikit sebanyak telah membantutkan proses penyiapannya.

Beat (rentak) lagu ini sudah lama kami siapkan, cuma idea disebalik liriknya baru kami perolehi pada tahun lepas dan saya sendiri yang hasilkannya,” kata Zhe, yang merupakan penyanyi-penggubah lagu, penerbit dan juga beatmaker.

Mengenai maksud di sebalik single Apa Lagi ini, Zhe menerangkan, “Ia adalah kisah cinta di antara dua darjat versi moden yang mana teman wanitanya datang dari golongan yang berada, manakala si lelaki pula berasal dari keluarga yang sederhana.

“Saban hari, si perempuan asyik membandingkan teman lelakinya dengan lelaki lain di luar sana dan sering mengungkit dengan apa yang telah diberikannya selama ini.

Proses penghasilan single ini memakan masa selama dua minggu yang merangkumi proses rakaman, adunan sehingga proses akhir iaitu mastering.

“Saya berasa senang bekerjasama dengan Zhe kerana dia seorang yang sangat berbakat dan merupakan seorang artis yang serba boleh, selain mempunyai sifat suka merendah diri.

“Cuma kalau boleh, dia lebih peka betapa berbakatnya dirinya dan tidak merasa kurang yakin dengan diri sendiri,” kata Guccimith memuji kemampuan Zhe sebagai seorang pencipta lagu yang berkebolehan.

Dua anak muda berjiwa seni serasi hasilkan single terbaharu berentak trapsoul mengenai cinta dua darjat

Single yang berdurasi 2:54 minit ini dimulai dengan rentak trap yang menjadi asas kepada lagu RNB ini, ditambah pula dengan nyanyian berharmoni mereka berdua dan rangkap rap nyata memberi kelainannya yang tersendiri.

Selain single, sebuah video muzik (MV) turut dilancarkan dengan memaparkan jalan cerita yang menarik, menurut Zhe, “Dalam MV Apa Lagi, penonton akan menyaksikan sebuah kisah tentang seorang lelaki yang ingin merubah hidupnya bersama pasangannya kerana sudah terlalu lama hidup susah sehingga dia sanggup melakukan apa sahaja untuk keluar dari situasi tersebut.

Sebagai artis, mereka berdua turut berdepan dengan cabaran dalam memperkenalkan jenis muzik yang mereka bawakan, ulas Guccimith, “Kami tidak tahu jika orang kita boleh menerima  jenis muzik sebegini (trapsoul) kerana di Malaysia lebih terkenal dengan lagu jenis pop dan berunsur jiwang, namun kami yakin dan akan bekerja keras supaya muzik yang kami perjuangkan dapat diterima di seluruh negara pada satu hari nanti.

“Akhir kata, kami berharap agar pendengar tempatan semua suka dengan lagu Apa Lagi kerana ia merupakan lagu Bahasa Melayu pertama dari kami berdua, semoga semua akan terhibur dan teruskanlah menyokong kerjaya seni kami.”

Lagu Apa Lagi boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Guccimith 99.

Guccimith & Zhe Kamil – APA LAGI (Official Music Video)

Leave a Reply

Your email address will not be published.