KUALA LUMPUR – Penyanyi muda berbakat besar, Nurdamia’ Ellisda atau mesra dipanggil Ell muncul dengan single lagu terbaharu berjudul Harus Pergi hasil ciptaan sepenuhnya komposer Ujang K. Harus Pergi sangat menyentuh hati dan emosi Ellisda kerana lagu tersebut bersangkut paut dengan hidupnya. 

Menurut Ellisda, beliau tidak berupaya untuk menahan diri dari kesedihan dan akhirnya beliau menangis sewaktu merakamkan lagu tersebut. Walaupun menahan sebak, Ellisda bersikap profesional dan akhirnya beliau dapat menghabiskan rakaman tersebut dengan begitu baik sekali.

(Foto: Papa Din)
(Foto: Ridwan Maestro)

“Lagu ini berdasarkan cerita sebenar pengalaman Ell dan ibu Ell sendiri serta juga rakan-rakan Ell yang telah berkahwin menghadapi situasi begini, jadi Ell luahkan segala yang terbuku dalam hati dan ceritakan kisah tersebut dalam bentuk lagu.

“Bila Ell merakamkan lagu Harus Pergi ini ianya telah menggangu emosi Ell hinggakan Ell tidak dapat menahan kesedihan dan akhirnya menangis semasa rakaman sedang dijalankan,” ujarnya yang sering menggayakan suara kartun animasi Boboiboy di media sosialnya.

(Foto: Ridwan Maestro)

Harus pergi diadaptasi dari kisah sebenar yang mengisahkan seorang isteri berada dalam hubungan bersifat ‘toksik’ hingga menyebabkan kecederaan fizikal dan juga menjejaskan emosi serta kesihatan mental wanita tersebut.

Ellisda yang pernah menyertai pertandingan realiti tv I Can See Your Voice musim ke-6 begitu bersyukur apabila lagu Harus Pergi dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat. 

“Melihat penerimaan pendengar, saya amat berterima kasih kerana memberi maklum balas yang positif dan setakat ini tiada lagi komen-komen yang negatif dilemparkan di mana-mana media sosial,” katanya yang juga pempengaruh di TikTok dan Instagram.

(Foto: Papa Din)

Sementara itu, Ellisda yang pernah mewakili sekolah dalam bidang nyanyian sehingga ke peringkat negeri telah mengembangkan bakatnya bersama Genius Seni Khoir Malaysia di bawah didikan Dato Syafinaz Selamat selama 6 tahun.

Walaupun Ellisda dikenali di negara seberang seperti Brunei dan Indonesia, perasaan gementar tetap menguasai dirinya apabila sering memikirkan single Harus Pergi yang menjadi taruhan pertamanya dapat diterima bagi membolehkan beliau terus bertapak dalam industri muzik tanah air.

Ellisda berharap dengan kemunculan single terbaharu ini mampu memukau dan disukai oleh semua penggemar muzik walaupun beliau masih lagi bertatih dalam bidang yang diceburinya ini.

(Foto: Papa Din)

“Ell rasa begitu teruja apabila lagu ini mendapat sambutan peminat dan setakat ini lagu tersebut telah ditonton lebih daripada 10 ribu tontonan di saluran Youtube walaupun video muzik tersebut baru dilancarkan awal Ogos lalu.” Katanya mengakhiri bicara.

Harus Pergi boleh didengari di semua platform digital termasuk video muzik rasmi yang boleh ditonton di saluran Youtube Awal Muzik.

Ellisda – Harus Pergi (Official Music Video)