KUALA LUMPUR : Konsert Resolusi Exists yang berlangsung pada 18 November lalu di Zepp Kuala Lumpur, mendapat sambutan hangat daripada peminat Exists. Walaupun konsert berlangsung sehari sebelum pilihanraya umum ke-15 (PRU15) di mana hampir sebahagian penduduk di ibu kota mengambil keputusan untuk pulang mengundi di kawasan masing-masing, namun ianya tidak menjadi penghalang buat band yang diasaskan pada tahun 1991 ini meneruskan konsert yang telah dihadiri lebih 1,000 orang penonton dan peminat setianya.
Rata-rata peminat memberi komen yang positif terhadap persembahan kumpulan lagenda itu yang mendendangkan 20 buah lagu termasuk lagu-lagu popular mereka sepanjang zaman.

Vokalis Exists, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin membuka tirai persembahan tepat jam 8.45 malam menerusi lagu-lagu yang pernah melonjakkan nama Exists di persada seni hiburan. Bermula dengan lagu Anugerah, Sebelum Terlewat, Nota Di Lautan Sepi dan Terpaksa, menjadikan dewan konsert tersebut umpama ‘sesi karaoke’ bersama penonton. Skrin besar di atas pentas berserta lirik lagu memudahkan lagi penonton ‘sing along’ seperti yang pernah berlaku di konsert Exists Reunion pada tahun 2019 yang lalu.
Walaupun tanpa kelibat Ezad, namun aura kumpulan ini tidak akan luntur dengan kehadiran dua orang penyanyi jemputan iaitu Eiz dari kumpulan Gerilia dan juga Pasya dari rancangan realiti tv Mentor bagi mengisi kelopongan posisi yang ditinggalkan oleh Ezad.
Meneruskan persembahan, Eiz mendendangkan lagu pertamanya, Julia dan Kapal Terbang Kertas, seterusnya Pasya dengan lagu Seperti Dulu. Kehadiran mereka berdua ini ternyata memberi persembahan yang penuh energertik tatkala Mamat mengalami masalah kesihatan dan beberapa lagu Exists telah digalaskan oleh mereka berdua.

Mamat muncul semula di atas pentas dan mengambil kesempatan beramah mesra bersama peminat. Mamat berkata beliau berasa gembira dapat menunaikan janji untuk mengadakan konsert walaupun konsert mereka diadakan sehari sebelum PRU15.
“Esok jangan lupa untuk mengundi, tak kiralah parti mana kita undi, tapi undi itu adalah rahsia. Dari minggu lepas lagi kita dah dengar macam-macam janji,” kata Mamat. Celotehnya dicelah Ajai yang mengaitkan dengan lagu seterusnya berjudul Janji Padamu dan disambut jeritan penonton yang tidak sabar untuk melihat Mamat menyanyikan lagu tersebut.
Barisan pemuzik Exists tidak perlu dipertikai kerana Along (Gitar utama), Ajai (Keyboard), Musa (Bass) dan Ujang (drum) masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Bekas pemain gitar Exists, Shah, turut hadir memberi sokongan kepada rakan-rakannya beraksi dalam menjayakan konsert tersebut.

Ketiga-tiga vokalis bergabung mendendangkan lagu heavy daripada dua album pertama mereka berjudul Meniti Cita-Cita, Kuman HIV dan Kerana Cinta. Sebelum mereka keluar secara trio, Pasya telah mempersembahkan lagu Jesnita dan Bunga.
Lagu Untukmu Ibu, membuat penonton merasa sebak apabila Mamat menyampaikan lagu tersebut dengan penuh penghayatan. Tidak ketinggalan juga Mamat mendendangkan lagu hit Exists berjudul Rahsia Pohon Cemara dan Janji Bidadari.
Kemudian Eiz mengambil alih pentas dengan menyanyikan lagu yang menjadi tular di media sosial berjudul Mengintai Dari Tirai Kamar dan seterusnya lagu Mama Tolonglah Percaya. Pasya pula menyanyikan lagu Percayakan Siti dan sebuah lagu duet bersama Eiz berjudul Alasanmu. Mereka berdua meneruskan persembahan lagu terakhir berjudul Langkah Seiring bersama Mamat.
Hampir dua jam menyaksikan Konsert Revolusi Exists ini memberikan satu kepuasan kepada penonton dan peminat Exists yang pulang dengan kenangan indah. Konsert yang dianjurkan oleh ImagineX membuktikan kumpulan ini masih releven dan juga karya-karya malar segar mereka tetap dihargai peminat.






Foto oleh: Mohd Redzuan (Cipot) & Subky Hj. bebit