KUALA LUMPUR, 23 JANUARI 2022 – Empat tahun lalu dia didatangi komposer Eddie Hamid ketika mengadakan persembahan pada sebuah acara di Pulau Langkawi kemudian menawarkannya untuk merakamkan lagu.

Tanpa berfikir panjang, Farah Rose, 22, atau nama sebenarnya Nur Farah Najihah Rosmi terus menyatakan persetujuan apatah lagi menjadi penyanyi adalah impiannya sejak kecil.

Farah Rose menyifatkan tawaran itu adalah peluang keemasan buat dirinya untuk memperkenalkan lagi diri dan bakat dimiliki. 

Meski tanpa sebarang pengalaman, Farah Rose menjadikan kekerapan menyertai pertandingan nyanyian sebagai platform dalam mengasah minat sekaligus mengejar impian menjadi bintang.

“Diakui saya memang minat menyanyi dan mahu menjadi penyanyi. Malah, saya sering menyertai pertandingan nyanyian sejak kecil dan tidak terkecuali pergi uji bakat. Cuma belum ada peluang dan rezeki.

“Jadi, apabila mendapat tawaran merakamkan lagu daripada komposer Eddie Hamid, saya anggap ini adalah peluang keemasan. Tidak ada alasan untuk saya menolak. Dalam masa sama kedua ibu bapa saya juga memberikan sokongan penuh. 

“Dari kecil lagi mereka yang banyak ketengahkan bakat saya. Mereka selalu bawa saya masuk pertandingan menyanyi,” katanya.

Biarpun peluang sudah terbuka untuknya, Farah Rose terpaksa melupakan seketika tawaran itu kerana dia perlu melanjutkan pengajian dalam bidang juruterbang di HM Aerospace Langkawi pada 2018.

Selepas tamat pengajian dan melengkapkan 200 jam penerbangan pada Disember tahun lalu, Farah Rose kini bersedia untuk memberi fokus pada bidang nyanyian.

Lagu Ceritaku ciptaan sepenuhnya oleh Eddie Hamid menjadi single pengenalan Farah Rose yang mana sudah dirakam pada 2020.

“Kalau ikutkan lagu Ceritaku ini saya dapat pada 2018 lagi. Tapi, ketika itu saya masih belajar atau dalam latihan. Cuma saya sempat curi masa dan merakamkan single ini pada 2020. Tapi tidak dilancarkan lagi sebab bimbang mengganggu jadual. Itu yang tangguh sehingga awal tahun ini.

“Saya nekad untuk rakam dan teruskan dalam bidang nyanyian kerana ia memang minat saya. Malah, saya fikir peluang yang datang ini bukan selalu. Disebabkan itu, saya mahu juga teruskan biarpun ia ambil masa empat tahun. Alhamdulillah, lagu Ceritaku ini akhirnya dapat dilancarkan,” katanya.

Farah Rose menyifatkan tawaran itu adalah peluang keemasan buat dirinya

Berkongsi lanjut mengenai lagu Ceritaku itu, Farah Rose berkata, bukan sesuatu yang mudah buatnya merakamkan single bergenre balada itu. 

Menurut Farah Rose, dia mengambil masa enam jam untuk merakamkan lagu berkenaan iaitu dari jam 10 malam hingga 4 pagi.

“Saya memang tidak ada pengalaman merakamkan lagu. Malah ini adalah single pertama saya dan pengalaman pertama masuk studio. Sejujurnya memang susah. Ketika proses rakaman baru saya belajar yang mana setiap baris dan bait lirik itu kena ada emosi.

“Dalam masa sama, saya perlu ada cara tersendiri dalam nyanyian. Saya tidak boleh terikut atau tiru cara penyanyi lain. Jadi, nak mendapatkan semua itu memang ambil masa. Genre lagu ini pula balada dan bernada tinggi, lagi bertambah teliti pembikinannya.

“Apa pun saya berterima kasih pada komposer Abang Eddie Hamid kerana dia banyak membantu saya sepanjang proses rakaman,” katanya.

Menariknya juga, lagu Ceritaku itu turut dipilih menjadi antara lagu tema drama bersiri Honeymoon yang bakal ditayangkan di Slot Dahlia, TV3 pada Mac depan.

“Alhamdulillah, ini juga rezeki buat saya dan lagu ini. Terima kasih kepada pihak produksi iaitu Mache Allstar. Penantian selama empat tahun itu berbaloi juga. Saya anggap ini satu permulaan yang baik bagi lagu Ceritaku ini.

“Sama macam penyanyi lain juga, pastinya platform drama dan lagu tema ini sedikit sebanyak membantu lagu itu untuk dikenali. Malah, saya berharap lagu dan kerjaya saya boleh pergi jauh, insya-Allah,” katanya.

Ditanya sejauh mana pandangannya mengenai gimik yang sering digunakan segelintir pihak dalam mempopularkan lagi karya mereka, Farah Rose punya pendirian tersendiri.

“Tidak dinafikan apabila gimik itu menjadi tular ia memang membantu menaikkan nama seseorang. Tapi sejauh mana kesannya pada diri dan kerjaya berbalik pada isu yang dibawa itu. 

“Jadi kalau ditanya saya secara peribadi, saya tidak mahu menjadi tular disebabkan perkara yang mengaibkan atau bukan bukan. Kalau boleh biarlah perkara itu masih memberi gambaran positif. Cara paling selamat adalah gunakan media sosial sendiri untuk mempromosikan lagi lagu ini.

“Tapi andai kata satu hari nanti saya tular juga dan bukannya daripada saya sendiri, saya okay dan bersedia untuk berdepan perkara itu,” katanya.

Farah Rose – Cerita Ku (Official Music Video)

Leave a Reply

Your email address will not be published.