KUALA LUMPUR : Pelakon dan pengarah Farid Kamil memberitahu telah dua kali dia mengadakan pertemuan empat mata dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum menjayakan filem biopik Anwar yang diterbitkan sebuah syarikat produksi Indonesia, Bianglala Entertainment.

Pertemuan tersebut adalah untuk mengenali lebih rapat tokoh politik yang disegani itu sebelum dia membawa watak Anwar untuk filem tersebut.

Menurut Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, setelah dia menerima tawaran untuk mendokong watak tersebut, ibunya merestui untuk dia menjayakan watak ahli politik tersebut namun dia masih belum bersedia kerana dia mahu mengkaji lebih mendalam lagi tentang sosok bernama Anwar Ibrahim.

“Selepas saya menerima skrip, saya membaca berkali-kali skrip tersebut secara terperinci namun saya masih tidak bersedia lagi untuk membawa watak tersebut kerana masih banyak lagi kekurangan untuk saya menterjemahkan watak seorang tokoh ahli politik yang sangat terkenal di peringkat antarabangsa.” katanya.

Pada pertemuan pertama, beliau hanya sempat berjumpa selama dua jam dalam satu majlis makan malam. 

“Tempoh pertemuan itu begitu singkat untuk saya mengenali figura yang cukup hebat ini. Jadi, saya pun meminta untuk bertemu sekali lagi dengan beliau sebelum terbang ke Jakarta untuk memulakan penggambaran.

“Selepas saya kaji, apa yang berlaku kepadanya, saya minta beliau tolong saya sebab nak tengok kesan-kesan (fizikal) yang berlaku kepadanya. Mengikut laporan perubatan, beliau ditumbuk dan dilukai tubuh badannya dengan tujuh pukulan.

“Saya minta beliau buka cermin mata nak tengok kesan tumbukan terbabit. Saya minta beliau angkat kening dan ternyata kesan itu masih lagi berbekas,” katanya. 

Dalam pada itu, Farid yang mengikuti perkembangan politik Anwar semenjak 1998, bertekad untuk membintangi watak itu dengan sebaik mungkin.

“Saya mula tahu mengenai beliau ketika tahun 1998. Ketika itu, timbul satu persoalan dalam benak pemikiran, kenapa tiba-tiba mata dia lebam?

“Jadi, soalan itu bermain di fikiran saya sejak 1998. Malah ketika baca skrip, saya melihat realiti di sebalik gambar berkenaan membuatkan saya fikir, tanggungjawab menjayakan watak dalam filem Anwar ini perlu diterjemahkan dengan sebaik mungkin.” Katanya yang menjalani penggambaran filem Anwar itu sekitar Oktober lalu.

Filem Anwar turut dibintangi Acha Septriasa, Hasnul Rahmat, Firdaus Mat Joni, Piet Pagau dan Dewi Irawan. 

Filem ini yang diolah mengenai ketegasan dan perjuangan Anwar membanteras rasuah telah diusahakan sejak Ogos 2011 dan kini di peringkat akhir penggambaran dan dijangka menemui penonton awal tahun depan.

Farid ditemui selepas tayangan perdana filem terbitan, lakonan dan arahan terbaharunya, Remp-it 2 di ibu negara, isnin lalu.

Farid Kamil sewaktu mengarah filem Remp-it 2

Terdahulu, filem Remp-it 2 yang merupakan sambungan dari Remp-it (2006) pernah mencetuskan fenomena tersendiri, kini kembali dengan aksi yang lebih padat dan matang. Dengan kecanggihan teknologi penggambaran sekarang, semua aksi perlumbaan dilakukan di siang hari. Penonton dapat menyaksikan aksi perlumbaan tersebut dengan lebih jelas. 

Filem ini diterbit dan diarahkan oleh Farid Kamil selain bertindak sebagai pelakon utama disamping barisan pelakon seperti Cat Farish, Ahirine Ahirudin, Julia Hana, Izzue Islam, Niezam Zaidi, Farez Ridzwan, Shiha Zikir, Chiwan Chilok, Mamak Puteh, Rudy GTB, Gabit Saleh, Shahkimin serta penampilan sulung Muhammad Kamil yang telah memberi mutu lakonan yang meyakinkan pada usia 7 tahun.

Penggambaran yang dilakukan selama 55 hari di lokasi-lokasi yang dipilih sesuai dengan jalan cerita termasuk Ulu Choh Johor, Melaka, Gong Badak Terengganu, Sungai Lembing Pahang, serta sekitar Lembah Klang termasuk Litar Antarabangsa Sepang. 

Kepada semua peminat dunia permotoran dan filem Malaysia, nantikan Remp-it 2 di pawagam 24 November 2022 ini. #madiisback!

Video penuh temu bual Farid Kamil bersama media