KUALA LUMPUR – Tidak dinafikan nashkah bercorak seram komedi masih lagi menjadi pilihan penonton-penonton untuk menonton filem di pawagam.
Ternyata ia menjadi pilihan buat Dato’ Awie selaku pemilik syarikat Rumah Produksi Merah untuk menghasilkan filem Sue-On.
Awie berkata, pemilihan genre seram komedi dibuat memandangkan sekarang ini dia sememangnya sudah sinonim dengan genre sedemikian.
“Ramai penonton yang kenal saya dengan filem seperti Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah, malah mereka terima watak yang saya bawakan itu sedangkan sebelum itu saya bukanlah seorang pelakon komedi.
“Jadi, saya rasa perlu mengambil peluang ini untuk menghasilkan filem genre sebegini dan akhirnya terhasilnya filem Sue-On,” ujarnya.
Mengambil inspirasi kepada sebuah filem seram Jepun, Sue-On dibintangi oleh Awie sendiri, selain Reen Rahim, Ropie, Azlee Senario, Nazia Mustafar, Achey, Shawani, Joey dan ramai lagi.
Bercerita lebih lanjut mengenai filem terbaharu terbitannya itu, Awie memberitahu Sue-On adalah sebuah filem yang cukup santai dan sarat dengan elemen-elemen komedi yang menghiburkan.
Dalam pada itu, ujarnya lagi sebagai seorang penerbit, dia meletakkan harapan agar filem Sue-On ini dapat menambat hati penonton.
“Selain saya, mereka yang terlibat dalam filem ini termasuk pengarah, pelakon dan kru juga pasti mahu melihat kejayaan filem ini.
“Jika filem Sue-On ini mendapat sambutan yang baik, ia akan memberi peluang kepada saya untuk menerbitkan lebih banyak filem pada masa akan datang” ujarnya.
Sementara itu, Razif Ajiboy Rashid selaku pengarah berkata, dia menjadikan arwah Mamat Khalid sebagai inspirasi untuk dia menghasilkan filem Sue-On ini.
Menganggap Allahyarham sebagai ‘sifu’ dalam bidang pengarahan, tidak dinafikan dia banyak menjadikan filem-filem arahan Mamat Khalid sebagai rujukan.
“Saya banyak membesar dengan filem-filem beliau. Malah, sava mengenali dunia filem secara lebih mendalam pun daripada beliau,” ujarnya.
Razif berkata, penggambaran filem berkenaan dilakukan pada November hingga Disember 2021 di Taiping, Perak.
Dalam pada itu, Razif juga mengakui dia tidak dapat lari daripada cabaran-cabaran tertentu sepanjang menghasilkan filem Sue-On ini.
Antaranya, dia perlu memikirkan cara yang terbaik agar filem arahannya itu dihasilkan dengan cerita yang cukup santai dan mampu menghiburkan penonton.
“Kalau ditanya tentang cabaran ketika peng-gambaran, paling utama adalah cuaca memandangkan Taiping adalah kawasan tadahan hujan.
“Namun, cabaran sebagai pengarah pula pastinya adalah mahu memastikan filem ini betul-betul dapat menarik penonton ke panggung.
“Apa-apapun saya berasa sangat beruntung kerana penerbit sendiri iaitu Dato’ Awie banyak memberi tunjuk ajar dan berkongsi ilmu kepada saya,” jelasnya.
Menampilkan ramai barisan pelakon-pelakon hebat tanah air, Sue-On akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 6 Julai ini.
Sue-On mengisahkan seekor hantu Korea yang sering menganggu manusia dengan mengeluarkan dirinya dari kaca televisen. Pada satu malam nasib Sue-On tidak begitu baik kerana selepas keluar dari skrin tv, Adam yang dimarahi oleh bapanya kerana menonton tv dengan begitu lama, mematikan suis tv dan membuatkan Sue-On terperangkap dan tidak boleh pulang ke tempat asalnya.
Sue-On berusaha sedaya upaya untuk mencari jalan pulang ke tempt asalnya dengan mencari sesiapa sahaja yang sedang me-nonton filem Sue-On. Nak dijadikan cerita, ketika Sue-On sedang mencuri masuk ke dalam satu rumah, kewujudan Sue-On telah disedari oleh sepasang suami isteri yang pada ketika itu sedang menonton filem Hantu Kampung Sebelah.
Oleh kerana takut diapa-apakan, Sue-On mengambil keputusan untuk melompat masuk ke dalam skrin tv itu. Pasangan suami isteri itu terus memadamkan tv mereka. Kini Sue-On terperangkap di Kampung Sebelah.