May 18, 2024

KUALA LUMPUR – Kesempatan berkolaborasi dengan band popular Indonesia, Wali Band yang pernah mencetus fenomena pada dekad pertama 2000 sempena Dream Festival Collaboration Vol. 2 tidak mungkin disia-siakan Floor 88.

Floor 88 yang mengukuhkan posisi dalam industri muzik bermula menerusi single Zalikha pada 2017 itu berharap, kolaborasi di pentas Zepp Kuala Lumpur pada 20 Mei ini bakal mencipta kenangan paling manis dalam sejarah perjalanan kerjaya muzik mereka.

Vokalisnya, Ayie berkata, lagu Wali Band sudah sebati di pendengaran mereka sejak di bangku sekolah, membuatkan Floor 88 begitu teruja menanti detik yang sangat bermakna itu.

Floor 88 bakal tampil bersama Wali Band

“Kami menganggap peluang ini sebagai penghormatan terbesar buat Floor 88 apabila dapat berkolaborasi dengan kumpulan popular dari negara jiran yang pernah mencipta fenomena tersendiri sedikit masa lalu.

“Floor 88 sangat teruja dapat berkongsi pentas dengan Wali Band kerana lagu mereka sering kami dengar sejak di alam persekolahan,” katanya.

Justeru, kata Ayie, mereka berharap Dream Festival Collaboration Vol. 2 – Wali Band dan Floor 88 di Zepp Kuala Lumpur bakal mengimbau kenangan menerusi himpunan lagu yang pastinya menghiburkan peminat kedua-dua kumpulan.

“Kami berharap konsert ini dapat mencipta kenangan terindah buat peminat, malah semua yang datang terhibur dengan persembahan Floor 88 serta Wali Band.

“Konsert ini sangat bermakna buat Floor 88 kerana julung kali kami dapat berkolaborasi dengan kumpulan dari negara jiran yang masih mempunyai pengaruh utuh dan berharap usaha ini mendapat sokongan semua peminat,” katanya.

Selain Ayie, Floor 88 turut dibarisi Eric Fuzi (keyboard), Achoi (gitar), Falique (bass), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua).

Menyentuh soal persiapan konsert, Eric Fuzi berkata, mereka sudah memulakan latihan, termasuk memastikan proses susunan lagu disempurnakan sebaik mungkin kerana mahu menampilkan sesuatu yang segar kepada peminat.

“Kami berusaha memberikan persembahan yang lebih istimewa untuk konsert ini supaya peminat dapat melihat sesuatu yang berbaloi. Kami tidak mahu menampilkan persembahan yang pernah ditonton peminat sebelum ini.

“Jadi, kami cuba tampilkan perbezaan pada susunan muzik, termasuk pilihan lagu dengan menyenaraikan beberapa lagu yang jarang-jarang kami persembahkan untuk memastikan peminat berpuas hati,” katanya.

Demi memastikan mereka tampil maksimum pada konsert tersebut, Eric berkata, Floor 88 begitu menitikberatkan persediaan dari setiap sudut, termasuk persiapan fizikal dan mental, terutama aspek kesihatan.

Floor 88

“Paling utama, Ayie sebagai vokalis perlu mendapat mendapat rehat yang cukup supaya kualiti vokalnya terjaga. Untuk memberikan yang terbaik, Ayie perlukan tidur yang cukup supaya vokalnya tidak ‘koyak’.

“Jika dilihat, Ayie sangat aktif setiap kali beraksi di atas pentas dan karakternya itu antara yang menjadi kekuatan Floor 88. Kami juga sangat menitikberatkan penjagaan stamina kerana jika stamina kurang, ia akan menjejaskan kualiti persembahan Floor 88.

“Itu sangat penting kerana kepuasan peminat adalah keutamaan kami,” katanya yang mengakui sudah tidak sabar menanti kedatangan 20 Mei untuk beraksi bersama band yang mereka hormati dan kagumi.

Wali Band

Tiket untuk menyaksikan Dream Festival Collaboration Vol. 2 – Wali Band dan Floor 88 dijual pada harga RM198 (Festival), RM298 (Kategori 2), RM358 (Kategori 1) dan RM5,088 (VIP Box) boleh diperoleh menerusi laman: ticket2u.com.my.

Bagi ahli Dreamers Club Telegram, harga istimewa ditawarkan bagi sepasang tiket iaitu RM300 (Festival) menerusi Couple Package. Layari laman Instagram: @dreamfestworld dan ikuti beberapa langkah untuk mendaftar sebagai ahli kelab Dreamers bagi mendapatkan pelbagai promosi menarik serta perkembangan terkini acara anjuran DreamFest di Malaysia serta Indonesia.