June 13, 2024

KUALA LUMPUR – Nama kumpulan SAMSONS tidak perlu diperkenalkan lagi. Baik di persada muzik Indonesia, mahu pun di Malaysia. Malah, kumpulan ini masih berjaya mengekalkan kedudukan mereka sebagai antara pemuzik terbaik yang pernah ada dalam sejarah industri hiburan Indonesia.

Deretan album dan lagu yang pernah dihasilkan SAMSONS juga masih menjadi siulan peminat dan pencinta muzik tempatan. Tidak keterlaluan jika dikatakan, karya dan muzik Samsons terus hidup.

Seiring peredaran masa dan zaman, tahun ini SAMSONS meraikan sambutan ke-20 tahun penubuhan mereka. Dan bagi merayakan sejarah pembabitan mereka itu, kumpulan yang dianggotai oleh Adrian Martadinata (vokalis), Aldri Dataviadi (bass), Erik Partogi Siagian (gitar) dan Irfan Aulia (gitar) itu bakal menjayakan SAMSONS 20th Anniversary Live Concert in Malaysia 2023 pada 29 April 2023 bertempat di Zepp Kuala Lumpur.

SAMSONS meraikan sambutan ke-20 tahun penubuhan mereka

Penganjur ULTIMATE FILM SDN BHD berkata, membawakan kumpulan SAMSONS yang popular dengan lagu Kenangan Terindah dan Naluri Lelaki itu dianggap tepat bersesuaian dengan ulang tahun penubuhan kumpulan itu.

“SAMSONS adalah sebuah kumpulan muzik Indonesia yang terkenal melalui lagu-lagu hit mereka seperti Kenangan Terindah dan Naluri Lelaki. Kumpulan ini juga popular di Malaysia dan Singapura. Kumpulan ini bakal meraikan 20 tahun penubuhannya selama berada di dalam industri muzik dengan mengadakan konsert di Malaysia.

“Perjalanan muzik SAMSONS selama 20 tahun ternyata menjadi profil yang cukup kukuh buat kumpulan ini. Bukan sekadar menakluk peminat di negaranya, tapi kumpulan dari Indonesia ini juga kukuh namanya dalamkalangan peminat Malaysia. Bagi konsert ini, pihak kami yakin ia akan menjadi suatu kejayaan dan dapat mengubat kerinduan peminat kumpulan samsons di Malaysia,” katanya.

Pastinya, pada SAMSONS 20th Anniversary Live Concert in Malaysia 2023 kumpulan ini menjanjikan sebuah persembahan yang mantap dan bertenaga. Malah, kerinduan peminat terhadap Samsons dapat diterjemahkan dengan sambutan yang bakal diberikan.

Samsons sewaktu hadir di sidang media petang tadi

Justeru, pihak ULTIMATE FILM SDN BHD menetapkan harga jualan tiket yang pastinya berbaloi untuk menonton sebuah persembahan yang berkualiti.

“Penetapan harga tiket adalah berbaloi dan sesuai dengan permintaan peminat di Malaysia yang merindui kumpulan ini bagi membuat persembahan pentas.

“Jadi, harapan kami pada konsert ini agar setiap perancangan yang diatur dapat dicapai dengan mudah dan mendapat sokongan dari setiap lapis masyarakat untuk menjadikan konsert ini berjaya,” katanya.

Samsons bakal menjanjikan yang terbaik di konsertnya nanti

Terdahulu, kali terakhir kumpulan SAMSONS melancarkan album yang diberi judul ‘V’ pada 2021 bertepatan dengan kemunculan album kelima mereka itu.

Album yang dilancarkan oleh Universal Music Indonesia itu bukan calang-calang album kerana terdapat penglibatan puluhan pemuzik daripada anggota Budapest Scoring Symphony Orchestra.

Dalam album ‘V’ itu, SAMSONS memberikan sentuhan muzik orkestra dalam semua lagu dan tidak menghairankan apabila nuansa muzik yang mereka paparkan dalam album ini kedengaran hebat.

Untuk rekod, album Naluri Lelaki yang dilancarkan pada 2006 memenangi pelbagai kategori pada Anugerah Musik Indonesia (AMI). Antaranya, Best of The Best Album; Best of The Best Newcomer; Best Pop Duo/Group; Best Pop Album; Best Song (Kenangan Terindah); Best Album (Naluri Lelaki); dan Ring Back.

Jadi, jangan ketinggalan untuk menyaksikan persembahan hebat kumpulan SAMSONS menerusi Samsons 20th Anniversary Live Concert in Malaysia 2023.

Tiket menyaksikan persembahan ini mula dijual pada 8 Mac 2023 di laman web www.ticket2u.com bermula jam 3 petang.