KUALA LUMPUR : Selepas kejayaan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mencipta sejarah tersendiri dalam industri perfileman tanah air, seni silat mempertahankan diri mula menjadi fenomena di kalangan rakyat negara ini. Tidak ketinggalan juga pemuda ini yang menggunakan platform digital untuk memupuk semangat silat tradisional Malaysia dengan lebih meluas lagi.
Menceritakan tentang perjalanan silatnya kepada Bigo Live Malaysia, pemuda berusia 23 tahun yang bernama Akid ini berkata, beliau mula mempelajari seni silat sewaktu melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi awam. Kini mempunyai pengalaman selama enam tahun, beliau yang juga merupakan ahli dalam Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia mengakui akan manfaat yang boleh diperolehi daripada silat, antaranya “menjadikan diri kita rendah diri dan kuat dalam setiap ujian yang ditempuhi.”
Akid merupakan seorang hos penstriman langsung di Bigo Live Malaysia (ID: Akidaly) yang telah bergerak aktif selama tiga tahun. Selain berkongsi tentang ilmu persilatan, beliau turut mempamerkan bakat nyanyiannya dan menerima permintaan penonton untuk menyanyikan lagu.

Bersempena Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini, Akid membawa penonton penstriman langsungnya ke makam Mat Kilau di Jerantut, Pahang yang juga merupakan tempat kelahirannya. Sesi langsung tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton, rata-ratanya menyuarakan penghargaan dan penghormatan terhadap perjuangan oleh pahlawan tanah air itu.
Selain itu, penonton juga dibawa ke Galeri Mat Kilau di Pulau Tawar bagi mengenali dengan lebih mendalam lagi tokoh hebat itu daripada asal usulnya, sehinggalah ke perjuangannya menentang penjajah. Akid turut berkongsi fakta dan info menarik tentang Mat Kilau yang membuka mata penontonnya.
Bukan itu sahaja, Akid turut menyuarakan keterujaannya sewaktu menyertai Pertandingan Mat Kilau anjuran Bigo Live Malaysia pada bulan Julai yang lalu. Pertandingan yang bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat kepahlawanan Melayu itu mendapat sambutan hangat dan disertai ramai peserta. Beliau berjaya mendapat tempat ketiga menerusi persembahan silat yang dibawakannya.
Tidak mahu generasi akan datang melupakan tentang seni silat tradisional Malaysia, Akid berharap untuk berkongsi ilmu persilatan terhadap semua bangsa dan bukan hanya tertumpu kepada bangsa Melayu sahaja. Kongsinya lagi, “silat ini sangatlah mahal ilmunya dan tidak boleh dijual beli. Ianya adalah ilmu yang amat berbaloi.”
Menerusi kesemua penstriman langsung tular yang dilakukan oleh Akid, beliau berjaya mencuri perhatian peminat lokal dan kini memperolehi lebih daripada 20 ribu pengikut di media sosialnya.
Selain itu, video temu bual Akid ini juga ternyata meraih perhatian dan minat ramai sejak dimuat naik di media sosial, dan kini telah mendapat sebanyak 200 ribu tontonan hanya dalam masa lima hari!

