KUALA LUMPUR : “Rezeki masing-masing, dia punya rezeki dia makan, saya punya rezeki saya makan,” itu yang dikatakan oleh penyanyi terkenal, Datuk Hattan mengenai penganjuran konsertnya, Hattan 35 Years Journey yang bermula pada 4 Jun, iaitu tarikh yang sama dengan Konsert Search Endemik.

Menyifatkan perkara itu bukan suatu perkara yang besar, pemilik nama sebenar Mohd Shukri Shahabudin ini, menganggap itu adalah rezeki masing-masing dan beliau meraikan hal tersebut sebagai satu perkara positif yang ada kelebihan dan kelemahannya.

“Saya tidaklah rasa terkejut, tapi ada lebih baik kita duduk berbincang bagi menjarakkan tarikh konsert itu, tapi perkara ini tidak berlaku dan mereka pun ada peminatnya tersendiri, saya juga pun ada peminat tersendiri, bagi saya tidak ada masaalah.” Ujar Hattan.

Bagi Hattan beliau tidak pun merasa terkilan sama sekali meskipun tarikh tersebut lebih awal dipilih pihaknya sebelum ini.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Memburu Rindu ini menegaskan pihaknya akan tetap memantau dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dititik beratkan sepanjang konsertnya berlangsung pada 4 dan 5 Jun ini di Planery Hall, Kuala Lumpur Convention Centre.

Hattan berharap agar SOP dijaga dengan ketat dan keadaan penonton yang datang pada konsert tersebut tidak terlalu sesak.

“Saya berharap dan berdoa agar saya dan juga pemuzik saya tidak jatuh sakit semasa hari konsert tersebut, walaupun kita sudah melangkah ke fasa endemik, tapi saya masih mengambil langkah berjaga-jaga.” Katanya.

Dalam konsert yang berdurasi selama dua jam lebih ini akan membawa penonton melayari perjalanan Hattan selama 35 tahun dalam industri seni dan ianya memberikan cabaran buat Hattan dari segi fizikal dan juga mental.

“Ini bukan sekadar konsert saja, tetapi mengandungi penceritaan. Dari segi kerjaya itu berkembang bagaimana lagu ini tercipta dan kenapa lirik itu terjadi. la akan saya ceritakan sepanjang konsert itu nanti.” Jelasnya.

Hattan akan adakan konsert pada 4 dan 5 Jun ini di Planery Hall, Kuala Lumpur Convention Centre

Menerusi konsert ini, Hattan akan diringi pemuzik hebat dan berpengalaman, antaranya pemain keyboard, Rozario yang turut bertindak sebagai Pengarah Muzik, Nan (gitar), Ritz (gitar), Ujang (dram), Fly (bass), Firdaus (keyboard) dan Pa’ang (perkusi).

Sebanyak 26 lagu bakal dipersembahkan pada malam itu dan rangkaian lagu-lagu hits seperti Memburu Rindu, Dari Kekasih Kepada Kekasih, Rendang Tak Berbuah, Mahligai Syahdu dan banyak lagi. Dia juga akan menampilkan Segmen Tribute kepada Datuk M Nasir yang banyak mencipta lagu untuknya.

Tiket untuk menyaksikan konsert anjuran Mewah Event Management (MEM) yang disokong West Ipoh Span Expressway (WISE) ini boleh dibeli di laman web https://ilassotickets.com/event/hattan-35-years-journey/ dengan harga RM188 (upper tier), RM388 (silver), RM488 (gold), RM788 (diamond) dan RM988 (platinum).

Foto oleh: Kelkatu tv

Leave a Reply

Your email address will not be published.