July 19, 2024

KUALA LUMPUR : Hazama kembali lagi dengan single terbaharu berjudul ‘Rasa Tak Menipu’. Lagu baharu yang ditulis oleh komposer dan penulis lirik tersohor, Ajai, merupakan usahasama antara Wake The Baby Records dan ISK.MUSIK.

‘Rasa Tak Menipu’ berkisar tentang kisah keperihan dan konflik dalam diri yang dihadapi oleh seseorang dalam dunia percintaan.

Menurut komposer dan penulis lirik lagu ‘Rasa Tak Menipu’ tersebut, “Kita semua pernah melaluinya, dan faham sangat perasaan tentang kehilangan itu, lagu ini adalah tentang konflik dalaman yang kita rasa apabila seseorang yang kita cintai berlalu pergi secara mengejut. Kita tak dapat menerima hakikat itu, dan menderita kerananya.” Terang Ajai. 

“Selepas melalui fasa pendemik, saya rasa terpanggil untuk mengetengahkan isu kesihatan mental kerana ianya sangat bahaya. Saya amat terkejut apabila mengetahui terdapat pelbagai jenis gangguan mental dan saya juga rasa orang ramai perlu ambil tahu dan kita semua perlu mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang apa yang menyebabkan berlakunya gangguan ini dikalangan kita. 

“Gangguan mental ini juga banyak yang menjadi punca kepada masalah keluarga dan rumahtangga, itulah yg kami cuba gambarkan di dalam video muzik ini,” tambah Hazama.

Hazama tampil dengan single terbaharu berjudul Rasa Tak Menipu

Video muzik arahan Ramdhan Che Hassan tersebut memberikan sudut cerita di mana watak Hazama yang pada mulanya tampak segak sebagai seorang penyiasat yang sedang menjalankan tugas untuk menyoal siasat seorang gadis dan bertukar arah apabila mereka bertukar peranan secara mengejut. Konsep tersebut mencerminkan bahawa setiap manusia mempunyai dua sisi berlainan dan setiap pertengkaran di antara pasangan pastinya ada versi yang berbeza.

Rasa Tak Menipu’ juga merupakan lagu tema untuk drama ‘Epilog 3 Naga’ yang akan mula disiarkan melalui Awesome TV (Astro Channel 123 HD) bermula dari 8 Julai hingga 10 Ogos 2022, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 7 malam. ‘Epilog 3 Naga’ juga akan menyaksikan Hazama kembali ke dunia lakonan sebagai  Khalid, bersama-sama Che Puan Juliana Evans dan Syarul Ezani.

Lagu ‘Rasa Tak Menipu’ boleh didengari melalui semua platform strim digital termasuk Spotify, Joox dan Apple Music. Video muzik untuk lagu ini juga boleh ditonton melalui saluran YouTube Universal Music Malaysia.

HAZAMA – RASA TAK MENIPU OFFICIAL MUSIC VIDEO