KUALA LUMPUR : Pemain gitar rock legenda, Search iaitu Din mendakwa mereka adalah ahli kumpulan yang ‘original’ (asal).

“Yang original? Saya rasa kamilah yang original.” Jelas Noordin Mohd Taib atau Din apabila ditanya pertembungan dua konsert membabitkan kumpulan rock legenda itu yang bakal berlangsung di ibu negara, bulan depan.

Umum diketahui, kumpulan Search kini berpecah kepada dua, vokalis Search, Amy bersama gitaris, Hillary Ang, Man Kidal dan pemain bes, Nasir Daud akan mementaskan Konsert Search Endemik di Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang City Centre di sini, pada 4 Jun ini.

Din pula bersama gitaris Kid, pemain bes, Yan, vokalis Denden Gonjalez dan pemain dram, Minn akan beraksi pada Konsert Search Rockin’ On Rooftop di Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, di sini, pada 11 Jun ini.

Din menegaskan bahawa Search yang bersamanya adalah penggerak band yang ‘original’. Menurutnya beliau dan Kid tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang mereka ini keluar daripada kumpulan yang dibentuk sejak tahun 1981 lagi.

“Jika ada kenyataan seumpama itu (dikeluarkan), boleh tunjukkan bukti kepada kami.” katanya pada sidang media dan rumah terbuka Konsert Search Rockin’ On Rooftop di sini, semalam.

Berkenaan konsert Search yang bakal diterajui oleh Amy, Din menjelaskan bahawa beliau bersama teman-teman band bersikap terbuka andai peminat mahu memilih mana-mana konsert.

“Kami bukan hendak berlawan dengan sesiapa. Tak perlu gaduh-gaduh. Kami hendak ‘enjoy’ muzik Search dan akan fikirkan untuk rancangan yang seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Kid atau nama penuhnya, Hamzah Mohd Taib berharap peminat kumpulan Search tidak bertelagah sesama sendiri.

“Tidak perlulah hendak bertelagah. saya memohon kepada peminat dan juga mereka yang mengikuti perkembangan Search agar tidak bertelagah kerana ini tidak memberi sebarang bentuk kebaikan.” katanya.

Search bakal beraksi dalam Konsert Search Rocking On Rooftop Kompleks Campbell pada 11 Jun ini

Konsert Search Rocking On Rooftop yang akan berlangsung di bumbung Kompleks Campbell, bukanlah asing dalam beberapa penganjuran konsert artis tempatan sebelum ini, namun apa yang bakal diketengahkan Search ada keistimewaan tersendiri.

Kompleks Campbell itu sendiri misalnya, pada era 1980-an dan era eksplosif muzik rock adalah antara ‘port rockers’ selain Kompleks Pertama dan Kompleks Wilayah yang terletak berhampiran. 

Yang pasti, gabungan muzik rock & roll Search, peminat rock dan lokasinya bakal mengimbau nostalgia kegemilangan muzik rock di situ. 

Din yang mengilhamkan konsert itu berkata, ia juga bakal menampilkan kelainan terutama dari segi bunyian, pencahayaan, rekaan pentas dan pemilihan lagu.

“Kami akan membawakan 14 hingga 17 lagu. Apa yang menarik ia adalah lagu yang jarang-jarang dan tidak pernah dimainkan Search dalam konsert-konsert sebelum ini. 

“Search ada banyak lagu dan peminat juga minta mainkan macam-macam lagu. Lagu-lagu yang biasa dimainkan dalam konsert dulu, peminat sudah hafal. Jadi, kali ini kami nak kelainan. Kita juga nak mainkan lagu-lagu yang ada potensi untuk menarik pasaran luar terutama Indonesia,” katanya. 

Din berkata, antaranya adalah lagu-lagu dari album keenam Search, Rampage yang diterbitkan pada 1992. 

“Album itu turut menampilkan Yan selaku pemain bes. Arah muzik album itu juga berbeza daripada album Search yang lain. Lagipun ramai peminat sukakan album itu,” katanya.

Bukan saja pemilihan lagu, rekaan pentas konsert berkenaan juga berbeza. 

Din berkata, pentasnya tidak berbumbung dan tidak ada ‘backdrop’, sebaliknya penonton dihidangkan dengan panorama bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur.

“Itulah ‘backdrop’ pentas kami. Pastinya ia memberi impak menarik terutama dari segi fotografi dan visual,” katanya.

Selain itu, kehadiran Denden, Yan dan Minn juga bakal memberikan arah muzik dan ‘sound’ yang lebih segar daripada Search. 

Ini termasuk jurutera bunyi, pasukan produksi dan teknikal yang mantap demi memastikan Search tampil dengan ‘sound’ berkualiti. 

Konsert Search Rocking On Rooftop ini juga bakal menampilkan Ratu Rock, Ella sebagai penyanyi undangan. Ella juga akan berduet dengan Denden.

Tiket-tiket konsert berharga RM88, RM198 dan RM298. Bagaimanapun, tiket berharga RM88 sudah habis dijual.

Tiket boleh dibeli di Search Rock Station, Kompleks Campbell manakala untuk pembelian dalam talian, layari laman web www.fenomenasearch.com.

Search ditemui pada sidang media dan rumah terbuka Konsert Search Rockin’ On Rooftop di Grand Campbell Hotel Kuala Lumpur

Leave a Reply

Your email address will not be published.