KUALA LUMPUR, 7 OKTOBER 2021 – Tiga tahun serius membina nama dan berkongsi bakat sebagai komposer dan penyanyi, kehadiran Yonnyboii pantas mencuri perhatian. Lagu demi lagu terus memperkenalkan bakat besar yang lahir dengan nama penuh Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 23, ini.

Malah selepas tampil dengan album mini atau EP berjudul Yonny hujung tahun lalu, pelantun lagu Sakit ini bersiap sedia pula melancarkan album penuh pada 8 Oktober ini. Album diberi judul YONNY (DELUXE VERSION) itu menghimpunkan sembilan karya dari EP terdahulu selain dua lagu baharu sebagai trek bonus, Tak Sangka dan Angel.

Bagi lagu Tak Sangka, Yonnyboii tidak keseorangan. Sebaliknya berkolaborasi dengan ZynAkal dan ASYRAF NASIR sebagai komposer dan penyanyi.  Diaju mengenai keberanian tampil dengan album di era pandemik COVID-19, anak sulung daripada lima beradik itu tidak melihat ia sebagai sesuatu yang pelik.

“Tak sangka sebenarnya dari album EP ke penuh ini, saya melancarkan di era pandemik. Bagi saya ia bukan satu kesalahan mandatori. Malah di saat ini muzik kekal jadi terapi buat kita semua. Ramai yang terus mendengar muzik, selain menonton pelbagai medium hiburan.

“Saya tak kisah melawan arus. Jika ada artis yang berkira kira nak lancarkan album, kenapa tidak saya melakukannya. Saya selesa mencabar diri melawan arus kebiasaan. Selama ini pun saya sering dilihat ‘unik’. Sekurang kurangnya saya ada kenangan melancarkan album pada waktu sebegini,” katanya.

Yonnyboii percaya, biarpun perlu menunggu tiga tahun untuk muncul dengan album penuh, itu tidak pernah melunturkan semangatnya.

“Saya percaya penantian itu sangat berbaloi. Tak perlu tergesa gesa. Andai tiba waktunya, pasti kesempatan itu akan ‘mendarat’. Jujur sejak awalan fasa pembabitan seni lagi, saya mendambakan album penuh. Tapi saya ikut saja peredaran masa dan kesesuaian yang mana lagu single demi single dilancarkan. Itu juga ‘trend’ pemasaran yang diguna pakai syarikat rakaman,” katanya.

Kata artis kelahiran Perak itu, dua buah lagu baharu itu masing masing disiapkan pada awal tahun 2020 dan Ogos lalu.

“Tak Sangka sebenarnya idea saya, ZynAkal dan Asyraf sebelum pandemik datang. Angel pula ilham saya terlintas tiba tiba mengenai gambaran seorang bidadari. Ikutkan saya ada lagi banyak karya yang terperam. Hanya menunggu masa sesuai untuk dikongsi saja. Macam tahun lalu, saya boleh kata agak aktif melancarkan single demi single.”

“Tapi tahun ini, langkah sama tak boleh diteruskan. Pandemik ini ternyata memberi kekangan dan ia di luar kawalan. Ikutkan nak lancarkan sesuatu yang lagi besar tahun ini. Nampak gayanya kena simpan ke tahun depan atau mendatang,” katanya yang mahu lagi aktif tahun depan.

Album YONNY (DELUXE VERSION) menghimpunkan sembilan karya dari EP terdahulu selain dua lagu baharu

Dalam pada itu, Yonnyboii yang hingga kini turut aktif mencipta lagu untuk penyanyi lain juga belum berjaya merealisasikan hasrat muncul dengan sebuah konsert berskala besar.

“Kerinduan nak buat persembahan dengan khayalak ramai hingga kini terus membuak buak. Tapi semua itu masih samar dengan keadaan kes harian COVID-19 yang turun naik. Jadi saya kini membiasakan merapatkan diri dengan komuniti atau peminat muzik dengan menghasilkan kandungan kreatif dalam laman sosial. Saya kena anggap rakam persembahan di rumah atau secara virtual seperti membuat persembahan pentas.”

“Begitu juga dengan impian mengadakan konsert yang belum menjadi kenyataan. Besar harapan saya agar keinginan itu direalisasikan. Malah saya membayangkan konsert penuh intim itu ‘diiringi’ dengan peminat yang sama sama menyanyi setiap bait lirik lagu Yonnyboii,” katanya.

Yonnyboii kini tahu ramai bergelut meneruskan kelangsungan hidup. 

“Saya juga cuba mengimbangi hal fizikal dan mental sebaik mungkin. Ada ketikanya rasa lemah semangat itu menerpa. Tapi saya cuba untuk tidak terlalu larut dengannya. Masa ‘down’ itu macam macam dalam fikiran. Termasuk fikir tiada tawaran kerja bagaimana nak ‘survive’. Namun saya percaya rezeki itu ada dengan izin-Nya.”

“Saya pun menyara keluarga. Adik nombor dua pun tinggal dengan saya. Tiga lagi adik tinggal dengan keluarga,” katanya yang terus terikat mempromosikan pelbagai jenama di media sosial.

YONNY (DELUXE VERSION) boleh didengarkan di kesemua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music mulai 8 Oktober 2021 jam 12 tengah malam.

Leave a Reply

Your email address will not be published.