PETALING JAYA : Nama figura hebat ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Suara emas dimiliki mampu membuatkan sesiapa saja yang mendengarnya akan terus jatuh cinta. Malah, kebanyakan lagu nyanyiannya malar segar dan kekal menjadi siulan hingga kini.

Dari awal kemunculan hingga kini, Datuk Aishah antara penyanyi wanita yang berjaya meletakkan dirinya di kelas tersendiri. Berbekalkan bakat dimiliki selain deretan anugerah diterima, tidak keterlaluan jika dikatakan dia adalah legenda.

Biarpun ketika ini zaman kebangkitan penyanyi baru dan muda, tidak bermakna Datuk Aishah, 57, atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin berhenti daripada terus berkarya dan muncul dengan lagu baharu.

Terbaharu, Datuk Aishah yang memulakan kerjaya seni bersama kumpulan Fan Club dari New Zealand muncul dengan single Ketentuan Takdir hasil ciptaan Chevy Amry dan lirik oleh Datuk Habsah Hassan yang dianggap berbeza.

“Lagu Ketentuan Takdir ini ada kelainan dan memang itu pun yang saya cari. Ini supaya lagu-lagu yang saya rakam tak mudah diagak dan ia ada kelainan. Saya suka dengan sentuhan dan susunan lagu ini terutama bila lirik lagu ini menceritakan keresahan dalam jiwa dan emosi.

“Apabila dapat baca lirik yang ditulis oleh Datuk Habsah Hassan, pada saya ia memberi makna yang baru dan saya boleh kaitkan dengan apa yang terjadi mengenai lagu itu. Pada saya untuk menyanyi dengan baik, perlu ada kemampuan untuk fahami jalan cerita lagu itu. Apabila sudah dapat lirik saya setuju untuk teruskan. Proses ini berlaku dengan cepat, Azlan Abu Hassan buat susunan dan seterusnya buat rakaman,” katanya.

Menurut Datuk Aishah, dia mahu kekal berkarya selagi mampu dan mengharapkan untuk lagu-lagu akan datang lebih memberi cabaran pada dirinya meski sudah 36 tahun menyanyi.

“Perjalanan menjadi anak seni membuatkan saya boleh terus menjadi lebih baik. Saya mahu terus berusaha jadi lebih baik dengan perbaiki dari pelbagai sudut dalam bidang ini. Saya harap lagu ini akan memberi mesej yang baik sebab lagu ini ada penceritaan.

“Ia cerpen dalam empat minit. Jadi saya sebagai penyanyi perlu sampaikan dengan baik kepada pendengar supaya mereka dapat menghayati jalan cerita itu. Ia satu cabaran kepada saya juga. Kadang-kadang lagu ini kita dengar sedap, tapi tak tahu ia cerita mengenai apa. Disebabkan pendengar tak dibawa menghayati cerita dalam lagu itu. Kalau begitu boleh dikatakan sedikit gagal dalam penceritaan,” katanya.

Aishah muncul dengan single Ketentuan Takdir hasil ciptaan Chevy Amry dan lirik oleh Habsah Hassan

Berkongsi mengenai penghasilan video muzik, Datuk Aishah meluahkan rasa kecewa disebabkan terdapat masalah untuk mendapatkan tempat rakaman yang diinginkan.

“Apabila tak dapat, jadi kita tak dapat nak persembahkan apa yang kita betul-betul mahukan. Tapi itu pengalaman pertama bekerja dengan pasukan produksi ini. Jadi kita belajar dari kesilapan.

“Untuk artis yang sudah lama macam saya, kita nak ada kelainan dalam lagu. Tapi kita tak mahu kelainan itu terlalu drastik sebab tak mahu peminat sedia ada lari. Jadi kena cari satu keseimbangan di situ dan kekalkan ‘signature sound’. Itu perkara yang saya perasan. 

“Kalau penyanyi dulu ada ‘sound’ dia yang tersendiri. Jadi bila dengar dalam radio orang akan kenalpasti suara itu dulu. Kalau kita bandingkan dengan zaman sekarang, orang lebih kenal lagu. Itu yang menjadikan indentiti penyanyi. Dalam lagu ini saya mahu tekankan ‘signature sound’ itu. Tapi kalau boleh saya nak ia lebih segar dan relevan untuk muzik sekarang,” katanya.

Bagi komposer, Chevy Amry dia berasa terharu apabila Datuk Aishah sudi menerima lagu ciptaannya itu bersama Datuk Habsah Hassan sebagai penulis lirik.

“Suatu hari Kak Chah (Habsah) menghantar lirik lagu Ketentuan Takdir kepada saya. Tiba-tiba dapat ilham katanya. Saya terus menghasilkan melodi lagu ini dan memperdengarkan kepada Kak Chah. Alhamdulillah dia suka melodi itu. Kemudian saya memperdengarkan kepada Datuk Aishah, ternyata dia juga suka melodi dan liriknya.

“Lirik lagu ini seakan-akan menceritakan mengenai kisah hidupnya sekarang. Lirik lagu Ketentuan Takdir sangat relevan dengan dirinya kerana liriknya adalah berdasarkan kisah benar mengenai suka duka hidup Datuk Aishah selama bergelar anak seni. Lagu ini amat mencabar, moden dan relevan untuk zaman sekarang. Melodi lagu ini amat segar dan ‘cathcy’, sekali dengar sudah boleh melekat di jiwa,” katanya.

Dalam masa sama, Chevy juga berkongsi bagaimana Datuk Aishah bersusah payah untuk datang ke studio rakaman.

“Pada hari rakaman vokal, tiba-tiba hujan turun dengan lebat dan banjir. Datuk Aishah terpaksa meredah banjir dalam perjalanan dari Ampang ke studio di Puchong yang sepatutnya mengambil masa 40 minit, tetapi akibat banjir, perjalanan mengambil masa lebih dua jam. Rakaman vokal sepatutnya bermula pada jam 8 malam, tetapi Datuk Aishah tiba di studio jam 10 malam dengan basah kuyup. Namun semangat dia sungguh kuat untuk menyiapkan rakaman pada malam itu yang selesai pada jam 12 malam,” katanya.

Istimewanya susunan lagu ini turut mendapat sentuhan dari Azlan Abu Hassan, adik kepada Allahyarham Adnan Abu Hassan yang juga komposer dan penerbit untuk lagu serta album Datuk Aishah sejak tahun 1990.

Lagu Ketentuan Takdir kini boleh dilayari di semua platform digital seperti Spotify, JOOX, Apple Music, DEEZER dan YouTube Music manakala muzik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

DATO’ AISHAH – KETENTUAN TAKDIR (OFFICIAL MUSIC VIDEO)
One thought on “Kelainan Aishah dalam ‘Ketentuan Takdir’”
  1. 671674 527571Thank you for the sensible critique. Me and my neighbor were just preparing to do some research about this. We got a grab a book from our local library but I believe I learned much more from this post. Im quite glad to see such fantastic info being shared freely out there. 547838

Leave a Reply

Your email address will not be published.