PETALING JAYA : Empat wanita cantik yang menggelarkan diri mereka sebagai The Gadys, tidak sabar lagi untuk memperkenalkan nama dan juga bakat mereka di persada muzik tanah air.

Namun sebagai pengenalan, The Gadys yang dianggotai Nelissa Nizam, Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Faa Zaini terlebih dulu bakal meluncurkan single raya yang diberi judul Gadys Raya.

Biarpun pembabitan mereka dalam dunia nyanyian masih terlalu hijau, namun The Gadys berjaya mengumpul 1.6 juta tanda suka di akaun aplikasi TikTok mereka. 

Malah, kumpulan itu juga berjaya menjalin kerjasama dengan beberapa jenama barangan meskipun masih belum tampil dengan single.

Berkongsi mengenai Gadys Raya, lagu ciptaan Romeo, Glow Rush, Nick Ariff dan Acap Salim itu berkisar pengalaman anggota The Gadys yang tidak dapat pulang ke kampung halaman meraikan lebaran dua tahun lalu akibat pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, kerinduan The Gadys bakal terubat tahun ini setelah kerajaan mengumumkan fasa endemik. Keseronokan pulang ke kampung halaman untuk bertemu dan berkumpul bersama sanak saudara, memasak juadah dan membuat persiapan raya bersama-sama keluarga tercinta semuanya diabadikan menerusi lagu Gadys Raya.

Dari kiri: Nelissa, Aznie, Ayunie dan Faa menggelarkan diri mereka sebagai The Gadys

Menurut Faa yang juga bekas juara program The Next My Star, lagu Gadys Raya penuh dengan kasih sayang dan tenaga.

“Vibes lagu itu sangat ceria, sesuai dengan sifat anggota The Gadys,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi anggota The Gadys, Aznie berkata, lagu raya mereka menceritakan suasana hari raya bersama The Gadys.

“Sebenarnya di sebalik keceriaan lagu itu yang menceritakan bagaimana penat lelah membakar lemang, memakai pakaian raya yang baru, menikmati juadah di pagi raya bersama-sama, kami sebenarnya menyampaikan mesej agar jangan mengenang barang atau perkara yang sudah lepas.

“Proses rakaman untuk lagu ini sangat berbeza kerana penerbit mementingkan karakter setiap seorang daripada kami. Dengan adanya karakter, proses rakaman menjadi lebih seronok. Kami akui sangat ‘enjoy’ sepanjang proses rakaman, team juga sangat terbuka dengan idea daripada kami. Jadi ia dapat menonjolkan setiap karakter anggota The Gadys,” kata gadis berasal dari Kedah itu.

Biarpun tidak terbabit dengan proses penulisan lagu, tetapi terdapat sedikit perubahan pada lirik lagu itu apabila Mike Chan dari Faithful Publishing meminta The Gadys bekerjasama untuk mendapatkan pendapat mereka. 

Berkongsi pula mengenai proses rakaman muzik video Gadys Raya, Faa pula berkata, proses berjalan dengan lancar.

Setiap individu yang terbabit sangat ‘supportive’. Walaupun mengambil masa yang lama tetapi mereka berpuas hati dengan proses pada hari rakaman yang turut mendapat sokongan daripada Honda Malaysia & JD Sports Malaysia.

Namun bagi Ayunie, yang juga penuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di Fakulti Teater, menunggu hasil muzik video siap adalah sesuatu yang sangat mendebarkan.

“Walaupun terpaksa menunggu lama sewaktu proses rakaman muzik video, kami tidak mengeluh kerana sudah terbiasa menjalani penggambaran sehingga lewat malam. Bagaimanapun penantian itu berbaloi.

“Perasaan terpaksa menyanyi sambil menari dari awal sehingga habis rakaman amat berbeza, berbanding sewaktu sesi latihan. Ini kerana sepanjang shooting, kami perlu sentiasa menjaga penampilan dan harus memberikan sepenuh tenaga sepanjang penggambaran berlangsung sehingga kami sendiri berpuas puas hati.” Katanya.

Kerinduan The Gadys untuk beraya di kampung halaman bakal terubat tahun ini setelah kerajaan mengumumkan fasa endemik

Pelakon Nelissa Nizam pula berkata, setiap individu yang terbabit menyiapkan Gadys Raya memberi impak cukup besar kepada mereka tidak mengira pengarah, penolong pengarah, juru mekap, penata rias, pengurusan Valient Music dan semua yang terbabit.

“Kami berharap muzik video Gadys Raya mendapat maklum balas yang baik daripada penonton. Kami juga berharap lagu itu mampu menjadi evergreen dan sentiasa diputarkan setiap kali hari raya,” kata Nelissa.

Menyorot penubuhan The Gadys, keempat-empat gadis itu adalah kenalan dan rakan di bidang lakonan dan ada di antara mereka adalah rakan seuniversiti.

Hubungan mereka mula menjadi akrab selepas program game show yang dikenali sebagai The Next My Star pada 2020. Sejak itu mereka tidak boleh berenggang sehingga wujudnya The Gadys.

Biarpun dibesarkan dengan personaliti dan latar belakang berbeza, mereka bagaimanapun minat yang sama iaitu pada bidang seni dan mereka juga kini saling melengkapi di antara satu dengan yang lain.

Lagu Gadys Raya telah dilancarkan di semua platform seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music pada 8 April lalu, manakala muzik video mereka pula boleh ditonton di saluran YouTube The Gadys.

The Gadys – Gadys Raya (Official Music Video)

Leave a Reply

Your email address will not be published.