July 19, 2024

KUALA LUMPUR – Artis-artis popular tahun 90an bakal mengadakan konsert Kasih Pengasih 2023 yang akan berlangsung pada 22 julai ini bertempat di Auditorium RTM Kuantan, Pahang. Konsert yang dikendalikan oleh Pengasih Asia Sdn Bhd ini menampilkan barisan artis hebat sepanjang zaman iaitu Ameng Spring, Amir Ukays, Zamani Slam dan kumpulan Iklim.

Menurut Ameng, konsert yang bakal berlangsung selama dua jam setengah ini akan diiringi oleh kumpulan pemuzik secara lansung dan tiada minus one digunakan dalam persembahan tersebut. Beliau juga berharap agar pengunjung yang hadir dapat bersama sama menyanyi meriahkan lagi konsert pada malam tersebut.

Ameng Spring (Foto: Fendi Suara.tv)

“Sekarang ini kami telah membuat persiapan dari segi latihan bersama pemuzik pengiring yang semuanya adalah pemuzik profesional dan kami tidak akan menggunakan minus one,” kata Ameng.

Selain konsert ini diadakan untuk peminat, objektif utama adalah untuk mengumpul dana bagi penambahbaikan rumah-rumah pengasih yang ada bagi memberikan fasiliti dan kemudahan terapi yang terbaik untuk penghuni.

Amir Ukays (Foto: Fendi Suara.tv)

Bagi Amir Ukays pula, setiap penyanyi akan mendendangkan 4 buah lagu malar segar dan beliau yakin lagu-lagu yang didendangkan memberi ruang kepada peminat untuk menyanyikan bersama-sama kerana lagu-lagu tersebut pernah popular suatu ketika dahulu.

“Lagu-lagu yang kami persembahkan adalah lagu-lagu nostalgia yang mana mereka membesar dengan lagu-lagu kami, jadi rasanya penonton yang hadir pada konsert tersebut boleh ‘sing along’ sepanjang persembahan itu nanti,” ujar Amir.

Melihat kepada komen-komen peminat di media sosial, mereka semua seakan tidak sabar untuk hari konsert tersebut dan bertemu dengan artis kesayangan mereka. Malah, mereka juga meminta konsert seperti ini dibuat di beberapa negeri lain terutamanya Johor Bharu.

Ameng Spring dan Amir Ukays (Foto: Fendi Suara.tv)

Tambah Ameng lagi, konsert yang bakal diadakan di Kuantan ini memberi ruang kepada peminat-peminat di Pantai Timur tambahan pula mereka yang berada di Kelantan, Terengganu dan sekitar Pahang berpeluang hadir menyaksikan konsert ini berikutan jarak yang berdekatan dengan vanue konsert.

“Insyallah, jika tiada aral melintang, pihak penganjur bersedia untuk mempertimbangkan cadangan tersebut, tetapi fokus sekarang adalah untuk merealisasikan konsert ini dahulu.

“Saya juga ingin berpesan kepada peminat supaya menjaga kesihatan diri serta mengatur perjalanan agar selamat sampai dan selamat kembali ke destinasi masing-masing. Yang pastinya, konsert ini akan menyajikan lagu-lagu malar segar yang sentiasa kekal diingatan semua peminat dan pengunjung yang akan hadir.” Katanya mengakhiri bicara.

Tiket masih boleh didapati di https://ilassotickets.com/event/konsert-kasih-pengasih-2023/. Peminat juga boleh melihat update terkini tentang konsert ini di saluran Facebook rasmi https://www.facebook.com/KonsertKasihPengasih.

Sembang santai bersama Ameng Spring dan Amir Ukays