KUALA LUMPUR – Sebuah sejarah hebat dalam belantika hiburan tempatan bakal tercipta apabila sebuah konsert berskala besar yang menggabungkan dua penghibur berprolifik tinggi akan diadakan pada 6 Ogos depan.

Pasangan adik beradik, Anuar Zain dan Ziana Zain, meluahkan rasa syukurnya kerana hasrat peminat tempatan untuk menyaksikan kolaborasi mega dua beradik ini, akhirnya dapat direalisasikan.

Diberi judul Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022, pihak penganjur Trumpet International Sdn.Bhd dengan bangganya mempersembahkan secara duo Anuar Zain dan Ziana Zain buat pertama kalinya di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Bukanlah pertama kali berkolaborasi dalam konsert skala besar bersama kakaknya, namun Anuar menyifatkan peluang dan kepercayaan yang diberikan penganjur sebagai satu penghormatan buat mereka berdua.

“Bersyukur di atas kepercayaan yang diberikan kepada kami. Kami mengambil peluang ini untuk bertemu dan menghiburkan peminat yang sekian lama menginginkan persembahan kami berdua.

“Konsert ini bakal menjadi momen kolaborasi indah buat saya dan kakak saya yang telah sekian lama berada di dalam industri ini,” ujar Anuar Zain.

Bakal memberi persembahan yang akan menjadi ‘mimpi indah’ buat penonton, pelantun lagu Lelaki Ini juga dijangka menampilkan sebuah kolaborasi epik bersama Ziana Zain dalam konsert tersebut.

Anuar dan Ziana bakal beraksi di konsert Anuar zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022

Bagi Ziana sendiri, Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 adalah sebuah hadiah kepada peminat sepanjang pembabitan mereka sebagai pelaku seni.

“Konsert ini akan menjadi ‘golden moment’ bukan sahaja buat peminat tetapi kami dua beradik.

“Kami sangat berterima kasih kepada penganjur, Trumpet International Sdn. Bhd yang berani mengetengahkan Anuar dan Ziana Zain dalam konsert ini pada saat dunia hiburan tempatan kita baru ingin giat semula,” kata pelantun lagu Madah Berhelah tersebut.

Persembahan ini bakal berlangsung selama 90 minit dan melalui Anuar Zain & Ziana Zain Live in Kuala Lumpur 2022, kedua dua penghibur kesayangan ramai ini dijangka melantunkan lagu-lagu malar segar dan popular yang telah menjulang nama mereka dalam persada seni tempatan.

Selaku jurucakap penganjur, Koo Kien Keat yang juga merupakan bekas pemain Badminton negara, melahirkan rasa bertuah di atas penganjuran dan kerjasama julung kali Trumpet International Sdn. Bhd bersama idola ramai Anuar dan Ziana Zain.

Koo Kien Keat menyifatkan penganjuran Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 akan menjadi pengubat rindu buat peminat muzik dan penggemar pasangan adik-beradik tersebut selepas pelbagai aktiviti seni termasuk konsert bagai ‘terhenti’ kerana pandemik.

‘Kami amat berbesar hati menganjurkan konsert dua beradik Anuar dan Ziana Zain yang cukup bermakna ini. Ini merupakan kesempatan yang sangat hebat buat kami membawakan dua penyanyi dengan vokal emas dalam kolaborasi yang pertama kali diadakan dalam sejarah hiburan tempatan.

“Kami percaya Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 akan menjadi sebuah konsert yang tidak akan dilupakan,” kata Koo Kin Keat yang turut berharap akan ada lebih banyak syarikat lain memberi sokongan kepada anak seni dalam penganjuran pelbagai konsert pada masa akan datang.

Tiket tiket Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 dijual pada harga bermula RM288, RM588, RM788, RM988 sehingga RM1188. la boleh dibeli secara talian (online) di www.excitix.com.my mulai semalam.

Anuar dan Ziana sewaktu ditemui dalam sidang media konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022

Foto oleh: Kelkatu tv

Leave a Reply

Your email address will not be published.