KUALA LUMPUR : Didi & Friends, watak kartun popular Malaysia akan menghiasi pentas Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (Malaysian Philharmonic Orchestra – MPO) di dalam konsert eksklusif satu hari sahaja! Bertajuk Didi & Friends Bersama MPO: Mana Bingo?, konsert ini akan diadakan pada hari Sabtu, 22 Oktober ini pada jam 2.30 petang.
Di dalam konsert ini, MPO, yang diketuai oleh Konduktor Residennya Gerard Salonga, akan membawa penonton mengembara bersama Didi, Nana & Jojo dalam usaha mereka untuk mencari rakan comel mereka yang telah hilang iaitu Bingo. Sertai mereka dalam usaha mencari Bingo di dalam konsert selama satu jam ini yang diarah oleh Pengarah Pat Ibrahim, penuh dengan pengembaraan, gelak tawa dan muzik yang menghiburkan hati.

Marilah menyanyi bersama – sama Didi & Friends, diiringi dengan muzik orkestra ‘live’ bersama MPO! Antara lagu-lagu yang akan dipersembahkan di dalam konsert ini adalah Mengantuk Mumia, Chan Mali Chan, Kalau Rasa Gembira, Bingo, dan lagu tradisional Eh Wau Bulan. Semua lagu yang dipersembahkan di dalam konsert ini telah digubah dan diberikan nafas simfonik baru oleh MPO.
Didi & Friends, animasi 3D berbentuk muzikal didik hibur prasekolah nombor satu di Malaysia, serta pemenang anugerah Animasi Terbaik pada 2019 di 24th Asian Television Award telah berjaya menempah nama ke segenap rantau ini dengan peminat dari Singapura dan Indonesia. Mula ditayangkan di Youtube dengan lagu kanak-kanak tempatan pada tahun 2015, diikuti tayangan perdana di Astro Ceria, sebelum seterusnya bersama Musim 2 ke seluruh Asia pada tahun 2016. Tahun 2020 menyaksikan kematangan jenama Didi & Friends apabila berjaya menarik lebih ramai peminat pelbagai peringkat umur dengan hit viral seperti Mengantuknya Mumia serta banyak lagi lagu melalui Musim ke 4 juga lagu-lagu hit kolaborasi dengan artis ternama yang hebat seperti Dato Sri Siti Nurhaliza, Yuna, Hael Husaini, Altimet dan ramai lagi. Didi & Friends kini berada di bawah naungan Warnakala Studio Sdn Bhd dengan kerjasama Astro.
Tiket-tiket berharga RM108, RM148, RM168, RM188 dan RM288 (Meet & Greet) boleh melalui laman web rasmi www.mpo.com.my atau hubungi talian 03-23317007.
Dapatkan diskaun 20% dengan Pakej Keluarga kami (terhad kepada 4 ahli keluarga). Diskaun hanya boleh didapati di Box Office DFP.
