June 13, 2024

KUALA LUMPUR -Meriah. Rancak. Memukau. Kejayaan penganjuran Konsert #IniBaruBintang diadakan di pentas Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media bukan sahaja membuai penonton yang hadir malahan mengembalikan memori indah seluruh khalayak dengan kemunculan persembahan daripada bintang-bintang tersohor kelahiran RTM. Apatah lagi debaran dan kehangatan Bintang RTM kian terasa apabila kembali diadakan dengan musim baharu mulai Ogos ini.

Konsert pengenalan sempena penerbitan Bintang RTM Musim Baharu ini berjaya menghimpunkan Alumni Bintang RTM antaranya Dato’ Jamal Abdillah (Bintang RTM 1979), Salamiah Hassan (Finalis Bakat TV 1971), Abdul Rahman Kamaruddin (Bintang Asli), Safar Ghafar (Bintang RTM 1983), Ramlah Ram (Bintang RTM 1985) Liza Hanim (Golden Teen Search 1996), Ayai Illusi (Bintang RTM 1986), Datin Alyah (Juara Bintang HMI 2000), Felicia Gek (Bintang RTM 2005) Aqasha  (Bintang RTM 1999), Azharina Azhar (Bintang RTM 2001), Dia Fadilla (Bintang Gala 2 1999), Rosario (Bintang RTM 2016), Hariz Fayahet (Bintang RTM 2018), Hafiz Zainal (Bintang RTM 2018), Haziq Rosebi (Bintang Klasik) dan Eryn Gani (Bintang RTM 2016).  

Berkonsepkan tribute buat lagu-lagu yang pernah melonjakkan nama mereka dalam seni suara, konsert #IniBaruBintang yang berlangsung selama 2 jam ini membuka tirai dengan persembahan nyanyian daripada Rosario dan Eryn Gani berjudul “Ready For It”. 

Bagi mengembalikan zaman kegemilangan Bintang RTM, konsert dihidangkan dengan persembahan lagu-lagu malar segar yang popular awal tahun 70-an. Memperkenalkan Safa Ghafar dengan nyanyian lagu bertajuk “Ros Kalas:”, “Umpan Jinak Di Air Tenang” (Abdul Rahman Kamaruddin), “Berdebar – Debar Rasa Hati” (Salamiah Hassan & Haziq Rosebi). 

Lagu-lagu yang sentiasa bermain di bibir yang menaikkan nama mereka antaranya lagu ”Lemak Manis” oleh Haziq Rosebi, “Segalanya Ku Terima” oleh Ayai Illusi serta medley oleh Ramlah Ram dengan dendangan “Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu” dan “Diam Diam Jatuh Cinta”.  

Menyusuri era lagu-lagu berentak balada tentunya mengimbau kenangan dan mengusik jiwa. Segmen seterusnya bergema dengan persembahan lagu-lagu single yang pernah menaikkan nama mereka di pentas hiburan dan lagu-lagu ini sentiasa didendangkan masih popular hingga kini. Persembahan medley daripada Azharina Azhar dengan lagu berjudul “Elergi Sepi”, “Aku Masih Setia” nyanyian daripada Dia Fadila, “Siapa Sangka Siapa Menduga” daripada Liza Hanim dan Datin Alyah mendendangkan lagu “Tak Mungkin Kerana Sayang”.  

Konsert diteruskan dengan segmen tribute buat bintang-bintang kelahiran RTM yang sudah tiada, namun lirik dan lagu mereka sentiasa meniti di bibir pendengar dan diminati sehingga kini. Antaranya lagu “Pelangi Petang” nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad. Lagu tersebut didendangkan oleh Datuk Aznil Haji Nawawi. Seterusnya medley daripada Hafiz dan Hariz dengan lagu “Kesetiaan” dan “Ku Teruskan” juga lagu “Nothing Compare To You” daripada Rosario.   

Penonton terus dihiburkan dengan persembahan duet daripada Aqasha dan Eryn Gani dengan lagu berjudul “Shallow OST – A Star Is Born”, Liza Hanim dan Azharina Azhar membawa lagu “When You Belive”, Dia Fadila dan Datin Alyah dengan lagu “Greatest Love Of All”. 

Konsert #IniBaruBintang turut menampilkan gandingan pengacara popular, Awal Ashaari dan Dattuk Aznil Haji Nawawi. Awal Ashari telah dipilih sebagai Pengacara Bintang RTM untuk musim baharu ini.

Datuk Aznil Haji Nawawi turut tidak melepaskan peluang menyampaikan lagu “Aku Cinta Padamu” dan “Aku Penghibur” oleh Dato Jamal Abdillah yang mengakhiri konsert pada malam semalam.