July 14, 2024

KUALA LUMPUR : Penganjuran konsert Jelajah Ramli Sarip – Cinta Di Sebalik Musim 2022 (CDSM2022) di Zepp Kuala Lumpur, hujung minggu lalu, Datuk Ramli Sarip ternyata masih kekal dengan bisanya sebagai artis ‘lejen’ dalam bidang seni suara. Konsert ini merupakan lokasi keempat penganjuran siri konsert jelajah CDSM2022 yang terlebih dahulu mengambil tempat di Johor Bahru, Melaka dan Perak pada Oktober lalu.

Tenaga, vokal padu, semangat dan disiplin yang ditunjukkan Ramli berjaya menghiburkan lebih 1,000 penonton yang hadir. Malah, itu juga membuatkan penonton amat menghormatinya. 

Ramli masih bisa menakluk pentas di usia 70 tahun

Ramli menyampaikan 16 lagu daripada album solonya dan album bersama Sweet Charity seperti Sentosa Di Kubah Hayat, Sejuta Wajah, Hilang Gelap Terbitlah Terang, Panah Beracun, Kekasihku, Dunia Perlumbaan, Irama Kasih, Batu, Keliru, Jikalau Berkasih, Cinta Di Sebalik Musim, Adam & Hawa, Ronggeng Rakyat, Ribut 10.59 Pagi, Musibah serta lagu medley Kamelia dan Teratai.   

Persembahan Ramli diiringi pemuzik handalan dan berpengalaman daripada Soul Journey yang diketuai Rozario (keyboard), Ritz (gitar), Addy (gitar), Din Safari (bass), Tom Annuar (dram) dan Mohar (seruling) dengan ketelitian jurutera bunyi, Kuzai yang menghasilkan bunyi mencengkam halwa telinga.

Persembahan dihangatkan lagi dengan kehadiran Kumpulan Lefthanded yang menampilkan pemain gitar terhebat Man Kidal dan vokalis utama Datuk Nash.

Penonton yang hadir menyaksikan konsert dihidangkan dengan lagu-lagu popular Lefhanded seperti Debunga Wangi, Ku Di Halaman Rindu, Seruan dan Keadilan.

Persembahan bertenaga yang ditonjolkan oleh Lefthanded

Walaupun konsert Jelajah Ramli Sarip ini berhadapan dengan suasana pilihanraya (PRU), namun bagi Ramli ia tidak menjejaskan perjalanan konsert tersebut.

“Bagi yang terlibat dengan pilihanraya biarkan mereka teruskan dan yang mana ingin pergi ke konsert kita teruskan. Kebetulan konsert ini bertembung dengan PRU seperti mana saya merakamkan album yang ketika itu berlakunya pandemik dan bagi saya ini adalah satu kenangan indah untuk kita lalui.” Ujar Ramli ketika sidang media seusai konsert.

Konsert Jelajah Ramli Sarip – Cinta Di Sebalik Musim 2022 akan bergerak ke Kelantan pada 5 dan 6 November ini, Sabah (12 November), Sarawak (20 November) dan berakhir di Singapura pada 17 Disember ini. 

Ramli Sarip bersama barisan pemuzik