May 23, 2024

Apakah kenangan atau memori terindah yang pernah anda dapatkan dalam tahun ini?

Adakah ia tentang pencapaian peribadi atau sekadar melancong mahupun berhibur dengan pelbagai acara hiburan yang dihidangkan sepanjang 2023?

Jika masih ada yang belum mendapatkan atau mahu melengkapkan memori terindah untuk tahun ini, Konsert Memori Terindah 2023 adalah jawapan kepada ‘kekosongan’ yang akan melengkapkan kembara hiburan anda.

Mengapa tidak? Kerana Konsert Memori Terindah 2023 yang dibawakan oleh Mutiara Optimum Sdn Bhd dan diterbitkan One Event Resources hadir dengan barisan pemuzik dan penyanyi terbaik kolaborasi Indonesia dan Malaysia.

Mereka ialah Ifan Seventeen dan Anggi Marito (Indonesia), Alif Satar & The Locos (Malaysia).

Ketiga-tiga penyanyi ini akan bertemu dan menghiburkan peminat menerusi Konsert Memori Terindah 2023 yang dijadual berlangsung di Plenary Hall Kuala Lumpur Convention Centre pada 11 November 2023 pukul 8 malam. 

Penganjur Adam Hanafi dari Mutiara Optimum Sdn Bhd menyifatkan Konsert Memori Terindah 2023 yang menggabungkan pemuzik dan penyanyi dari Indonesia dan Malaysia, dengan masing-masing sudah lama memikat hati penggemar adalah sebuah acara yang mempunyai nilai tersendiri.

“Konsert Memori Terindah 2023 adalah sebuah penganjuran yang menggabungkan kolaborasi pemuzik atau penyanyi dengan kualiti dan telah memahatkan memori tersendiri buat peminat.

“Siapa yang tidak kenal dengan Ifan Seventeen, penyanyi bersuara gemersik bersama untaian lirik dan lagu yang cukup melankolik. 

“Kami mengambil contoh hanya satu lagu Seventeen iaitu Kemarin dan kami percaya bukan hanya Ifan yang mempunyai Memori Terindah mengenai lagu dan Allahyarham anggota lainnya tetapi peminat juga mempunyai kenangan peribadi terhadap lagu ini.

“Bersama Ifan kami hadirkan Anggi Marito, peserta Indonesian Idol yang mempunyai vokal cukup memukau sekaligus menjadi satu-satunya bunga di dalam konsert ini.

“Dan untuk mencapai matlamat kami iaitu memastikan silaturahmi antara dua negara tetap terjalin baik, Alif Satar & The Locos adalah pemuzik paling tepat mewakili Malaysia dalam Konsert Memori Terindah 2023.

“Dengan itu kami percaya Konsert Memori Terindah 2023 akan menjadi konsert yang akan membuat anda pulang dengan kenangan terbaik sepanjang tahun ini,” ujar Adam Hanafi dari Mutiara Optimum Sdn Bhd.

Sementara itu bagi Ifan kesempatan beraksi di Malaysia setelah sekian lama tidak menghiburkan peminat di sini adalah sebuah peluang yang tidak boleh dilepaskan.

Apa lagi di Konsert Memori Terindah 2023, Ifan akan tampil tanpa anggota asal Seventeen iaitu Allahyarham Bani, Herman, Andi yang meninggal dunia dalam tragedi tsunami pada 22 Disember 2018 silam.

“Konsert Memori Terindah 2023 akan menjadi momen yang signifikan buat saya secara peribadi dan mantan anggota Seventeen lainnya kerana ia membuktikan meski tanpa kehadiran sosok Allahyarham Bani, Herman, Andi, muzik kami masih tetap dicintai rakyat Malaysia.

“Alangkah indah jika kesemua sahabat saya yang sudah ‘berpulang’ dan dicintai dapat menyaksikan Konsert Memori Terindah 2023 ini,” ujar Ifan.

Bagi Alif Satar, inisiatif yang diambil Mutiara Optimum Sdn Bhd menganjurkan konsert membabitkan pemuzik dua negara serumpun akan terus menyuburkan industri muzik Nusantara.

“Ini menunjukkan meski berbeza negara, mempunyai sedikit perbezaan bahasa namun muzik adalah sebuah platform yang universal dan bukan hanya mampu malah bakal memberi peminat kenangan terindah.

“Sampai jumpa di Konsert Memori Terindah 2023 pada 11 November 2023 kerana sudah pasti kami akan memberikan persembahan yang terbaik buat semua,” ujar Alif.

Tiket-tiket Konsert Memori Terindah 2023 yang berharga RM158 sehingga RM988 (Meet & Greet) sudah boleh dibeli di myticketasia.com atau hubungi talian 019 7860 144.

Pastikan temu janji anda bersama Konsert Memori Terindah 2023 pada 11 November 2023 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre untuk melengkapkan kenangan terhebat yang pernah dirasai pada tahun ini.