June 13, 2024

PETALING JAYA : ’25 Years Lah Ahmad Live In Concert’ adalah sebuah konsert sulung beliau setelah 25 tahun menceburi dalam bidang industri seni muzik tanah air. Abdullah bin Ahmad atau dikenali sebagai Lah Ahmad penyanyi yang tidak asing lagi dalam industri seni muzik tanah air bakal menjayakan konsert ini selepas showcase pertama beliau pada tahun 2018 mendapat sambutan yang hangat.

Konsert ini akan menampilkan hampir 20 buah lagu sepanjang perjalanan karier beliau. Baik lagu lama dan juga lagu baharu dari album-album beliau.

Konsert pertama yang bakal diadakan ini menampilkan serta meraikan album keempat beliau yang bertajuk Jatuh. Konsert ini pasti akan membawa peminatnya menikmati impian beliau yang ingin menjayakan konsert julung kalinya dalam perjalanan kerjayanya serta menjiwai seni suara dan juga lagunya.

“Untuk konsert ini, saya akan menyampaikan lagu-lagu saya bermula awal pembabitan saya dalam industri muzik sehingga sekarang serta ingin meraikan kelahiran album baharu khas buat peminat saya di hari konsert itu nanti,” Katanya.

Konsert yang sememangnya diidamkan oleh Lah Ahmad ini akan berlangsung pada 28 Januari tahun depan bakal menampilkan Syawal Hussin selaku pengarah muzik bersama barisan pemuzik antaranya Don (gitar), Khazri (gitar ), Wan (drum), Amai (Bass), Mirzan (keyboard) dan Ude Sitar (Programmer). Mereka ini bakal mewarnai sepanjang malam ’25 Years Lah Ahmad Live In Concert’.

Mempunyai kelebihan dari segi vokal dan bakat mencipta lagu, kini beliau tampil menghasilkan album terbaharu bertajuk Jatuh yang bakal dijual pada hari konsert tersebut secara fizikal. Jatuh juga merupakan salah satu judul lagu daripada album terbaharu beliau.

Lah Ahmad juga akan menampilkan album baharu beliau sewaktu di hari konsert tersebut

Atas sebab lagu ini berjudul Jatuh, serta merta diangkat dan dijadikan sebagai judul album keempat beliau. Hampir 95 peratus lagu-lagu dalam album ini diciptakan sepenuhnya oleh Lah Ahmad tersendiri dan menjadi salah satu kelebihan yang terdapat dalam album ini. Menggunakan bakat dan kelebihan beliau, lagu Jatuh juga dicipta sepenuhnya oleh Lah Ahmad sendiri.

Single Jatuh yang memberi maksud jatuh cinta pada seseorang yang telah lama dinantikan dan jatuh cinta pada seseorang itu sehingga ke akhir hayat.

Jatuh bakal dilancarkan sepenuhnya pada Disember ini. Selain daripada itu, single kedua dari album Jatuh yang bertajuk Ulangtahun dicipta sepenuhnya oleh Asfan Shah yang juga bakal dilancarkan pada bulan Januari 2023. Ulangtahun merupakan lagu untuk pasangan yang bahagia dan sedang menyambut hari ulangtahun percintaan mereka.

Konsep album Jatuh menampilkan beberapa buah lagu baharu dan lama tetapi diberi nafas baharu pada lagu-lagu tersebut. Semestinya, album ini akan mengekalkan penyanyi bersuara lunak Lah Ahmad sebagai penyanyi pop RnB. Album ini boleh didapatkan di Shopee Salam Official pada bulan Febuari 2023 nanti dengan harga RM50 sahaja.

Sementara itu, konsert ’25 Years Lah Ahmad Live In Concert’ yang dijadualkan berlangsung pada 28 Januari 2023 akan diadakan di Stage 1 Theatre, PJPAC 1 Utama E bermula jam 8 malam. Jualan tiket dijual secara online di onetix.com.my. Harga jualan tiket mengikut kategori yang telah ditetapkan bermula dengan kategori ‘Sempurna & Terbaik’ berharga RM330 (Meet & Greet + Jatuh Album), ‘Ayu’ berharga RM190 dan ‘Adinda’ berharga RM120.

“Kepada peminat dapatlah datang beramai-ramai untuk menyaksikan persembahan saya di konsert ’25 Years Lah Ahmad Live In Concert’ pada 28 Januari 2023 nanti dan berharap para media serta peminat dapat terus memberi sokongan terhadap hasil karya-karya saya.” Ujar Lah Ahmad.

Lah Ahmad sewaktu sidang media ’25 Years Lah Ahmad Live In Concert’