KUALA LUMPUR, 27 OGOS 2021 – Kebudayaan itu harus diraikan, bukan sekadar dijadikan pameran. Dewasa ini, kita dapat lihat banyak budaya tempatan yang hidup segan mati tak mahu. Bunyian gamelan, contohnya, yang kini hanya didendangkan di majlis-majlis rasmi seperti istiadat konvokasi. Selain daripada itu, jarang sekali kedengaran Gamelan Melayu berbunyi. Mungkin kerana bunyian gamelan dianggap lapuk, ketinggalan zaman, dan tidak relevan dengan halwa telinga generasi masa kini. 

Ini merupakan pemikiran masyarakat kita yang harus dianjak. Amatlah rugi jika bunyian gamelan pupus dari tanah ini, tanah lahirnya sendiri. Untuk memastikan perkara itu tidak terjadi, Perbadanan Muzium Negeri Pahang telah melahirkan inisiatif untuk memelihara Gamelan Melayu menerusi mandat yang diberikan kepada LoQUe untuk menerbitkan album berkembar terbaharu di bawah naungan Penerbitan Pancasona yang bernama Lagu Perang(Bunyian Gamelan Melayu di Abad ke 21). Ini merupakan album khusus untuk meraikan serta mengevolusikan Gamelan Melayu agar kekal relevan dengan keadaan semasa.

Proses menghasilkan album ini mengambil masa lebih satu dekad kerana proses kajian yang terperinci. Kajian mengenai Gamelan Melayu yang agak rumit kerana kebanyakkan sumber serta lagu-lagunya perlu diperolehi secara lisan, terutamanya yang berkaitan dengan kaedah dan gaya lenggok permainan Gamelan Melayu yang sehingga kini masih menggunakan sistem bernombor. LoQue sendiri bergelumang bersama Gamelan Melayu dan menuntut ilmu daripada “orang-orang lama”, yakni para pemain daripada Orkes Gamelan Pahang DiRaja,  untuk memahami dan menjiwai roh Gamelan Melayu secara menyeluruh. 

LoQue

Selain daripada kaedah permainan Gamelan Melayu, kajian mengenai lagu repertoir Joget Gamelan Melayu turut dikaji dan didalami sepanjang sedekat proses penerbitan album ini. Sekali lagi, kekangan sumber dan dokumentasi telah menyukarkan proses mengesan semula lagu-lagu tersebut dalam bentuk asal. LoQue mendapati perkara ini amat mengecewakan kerana apabila generasi tua sudah pergi, maka ilmu berharga juga akan turut bersemadi. 

Disusuli pula dengan proses rakaman yang luar biasa. “Proses rakaman gamelan bukanlah sesuatu yang mudah” kata LoQue, seorang ahli muzik berpengalaman dan graduan Berklee. “Gamelan merupakan alat muzik agung, tidak seperti alat muzik lain. Terdapat banyak perkara teknikal yang saya, penolong penerbit, dan ahli kumpulan saya perlu teroka dan kaji dengan sendiri,” katanya. 

Daripada not muzik, kedudukan alat pembesar suara, sehingga kerja-kerja mengadun dan menguasai bunyi. Semuanya baru, sesuatu yang belum pernah mereka lalui selama berada dalam industri. ‘Pitching’ dan ‘tuning’ Gamelan Melayu yang begitu berbeza dengan alat muzik barat merupakan cabaran yang cukup besar. Tidak seperti alat muzik moden, Gamelan Melayu menghasilkan bunyi ‘dissonance’ yang jarang sekali ditemui dalam ‘ensemble’ musik barat. Justeru itu, menjadikan proses rakaman lebih mencabar dah menyeronokkan. 

Bagi ahli kumpulan MonoloQue serta seniman dan seniwati yang terlibat, dalam projek ini, bekerja dengan Gamelan Melayu bukan perkara remeh. Bagi mengekalkan keaslian dan keagungan bunyi-bunyian Gamelan Melayu, mereka perlu meneliti, menganalisa, dan menyerap segala intipati alat muzik tersebut. Jiwa perlu benar-benar sebati, baru mereka boleh menghasilkan bunyi. Bila ilmu sudah cukup di dada, barulah bunyian tersebut akan disebarkan kepada dunia. 

Antara pemain Gamelan Melayu

Untuk album ini, bunyi-bunyian Gamelan Melayu telah dipersembahkan dan dirakamkan sepenuhnya oleh Orkes Gamelan Pahang diRaja. Kumpulan ini merupakan himpunan pemain Gamelan Melayu yang telah ditubuhkan sejak tahun 1970an. Terdapat 4 orang ahli kumpulan yang masih bertahan sehingga kini yakni Encik Amin sebagai ‘kepala’, diikuti Encik Awang, Encik Mat, dan Encik Bo Tahir. LoQue telah mendapat tunjuk ajar Encik Amin dalam proses gubahan dan bunyian Gamelan Melayu untuk dimuatkan dalam album berkembar ini. Segala selok-belok, pantang-larang mengenai Gamelan Melayu mereka tahu. Andai mereka tiada, maka terkuburlah segala ilmu. 

Encik Adi, wakil Penerbit Eksekutif berkata, “Dato’ Farid Abdul Jalal, Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang yang juga Penerbit Eksekutif album ini, menegaskan bahawa adalah tanggungjawab kita, pihak muzium, untuk memberikan apa orang awam perlu, bukan apa orang awam mahu. Sebab itu projek ini amat penting, terutamanya untuk menyebarkan pengetahuan mengenai Gamelan Melayu dan juga secara amnya, mengenai budaya. Jika tidak, budaya akan lupus, dan jati diri kita juga akan terhapus.” 

Apabila ditanya kepada Dato’ Farid Abdul Jalal mengenai hasil kerja monoloQue dalam menghasilkan album ini, beliau menyatakan bahawa beliau amat berpuas hati. Menurut Dato’ Farid, masa lama yang diambil untuk menyiapkan album ini bukanlah perkara yang membimbangkan. Malah, ini adalah perkara yang biasa kerana proses pembikinan album ini yang mengetengahkan sejarah, tradisi, muzik memerlukan kajian dan penelitian yang terperinci. “Antara sebab saya kagum dan letakkan kepercayaan saya terhadap LoQue adalah kerana dia rajin mengkaji. Contohnya masa dia pergi Berklee. Dia belajar tentang muzik di sana lalu curahkan ilmu dalam karya-karya tempatan, terutamanya muzik rakyat dan tradisional. Saya nampak yang dia akan buat sesuatu dengan ilmu. Ilmu yang membezakan kualiti seseorang, tak kisahlah ahli muzik, penulis, pelukis, atau jurutera sekalipun.” kata Dato’ Farid. 

Kepercayaan dan kesungguhan Dato’ Farid untuk menghidupkan Gamelan Melayu telah menjadi benih kepada album ini. Sokongan beliau telah menjadikan projek ini sebuah mahakarya. Selain Penerbit Executive, beliau juga salah seorang penulis lirik dalam album ini. Beberapa lirik Dato’ Farid turut diabadikan dalam album ini seperti lirik lagu Selamatkan Legasi, Chinta, Kg.Rakit, dan Urusan Seri Paduka Baginda. Dato’ Farid telah menggunakan nama pena ‘Encik Farid’. 

Kerjasama antara MonoloQue dan Perbadanan Muzium Negeri Pahang tercetus sekitar tahun 2005 apabila Dato’ Farid mendengar irama gamelan dalam sebuah lagu oleh kumpulan grunge yang dianggotai LoQue suatu masa dahulu. Gabungan gamelan dan grunge telah menarik minat beliau kerana itu merupakan gabungan irama yang berbeza. Zaman itu, tiada lagi yang membuatnya. Kebetulan waktu itu pihak Muzium Pahang sedang mencari inisiatif untuk mengetengahkan Gamelan Melayu. Maka Dato’ Farid pun menghubungi LoQue untuk bekerjasama. Sejurus selepas itu, LoQue telah mempersembahkan lagu Urusan Seri Paduka Baginda versi Demo kepada pihak muzium. Dato’ Farid dan pihak muzium menyukai demo tersebut dan di situlah bermulanya sebuah legasi. 

Tajuk ‘Lagu Perang’ telah dipilih sebagai nama rasmi album berkembar ini kerana ini merupakan lagu repertoir Joget Gamelan Melayu yang sering menjadi pembuka tirai setiap kali Orkes Gamelan Pahang DiRaja melakukan persembahan. Selain itu, tajuk ini juga adalah simbolik terhadap perjuangan LoQue dalam mempertahankan budaya daripada arus modernisasi dan globalisasi. 

Alat muzik agong Gamelan Melayu telah menjadi nadi album ini kerana Gamelan Melayu kurang mendapat pendedahan berbanding gamelan-gamelan lain di Nusantara. Rata-rata lebih mengenali Gamelan Jawa dan Bali walaupun Gamelan Melayu mempunyai keistimewaan tersendiri. Skala bunyi yang digunakan dalam Gamelan Melayu juga berbeza dan jarang sekali diteroka. 

Album ini menampilkan dua sisi, yakni Gong Ibu dan Gong Anak. Gong Ibu merupakan himpunan 9 lagu instrumental Joget Gamelan Melayu. Semua himpunan lagu Gong Ibu merupakan hasil kerja Orkes Gamelan Pahang diRaja dengan tunjuk ajar Encik Amin, salah seorang ahli lama orkestra tersebut. Antara lagu yang dimuatkan dalam Gong Ibu adalah Ganda Melati, Lagu Perang, Raja Berangkat, dan Muleh. Tidak lupa juga dua lagu rakyat yang telah digamelankan, yakni Ikan Kekek dan Lenggang Kangkung. Untuk Gong Ibu, LoQue berfungsi sebagai penggubah dan penerbit.

Bagi memeriahkan pesta meraikan audio dan visual Gamelan Melayu, LoQue telah menjalinkan kerjasama kreatif dengan beberapa orang seniman dan seniwati tempatan. Antaranya adalah NJWA, Aizat Amdan, Manifesto, dan yang terakhir adalah Kimal Margasatwa. 

LoQue telah menjalinkan kerjasama kreatif dengan beberapa orang seniman dan seniwati tempatan

Vokal NJWA yang unik dan gemersik telah menyerikan 3 buah lagu dalam album ini, yakni Chinta, Togok, dan Selamatkan Legasi. Aizat Amdan pula telah menyumbangkan bakat untuk lagu Nongga serta Urusan Seri Paduka Baginda. Turut bekerjasama dengan monoloQue adalah Kimal daripada kumpulan Margasatwa dalam lagu Selamatkan Legasi dan Legenda. Kg.Rakit adalah satu-satunya lagu yang dimainkan oleh kumpulan Manifesto dan digubah serta kawal selia oleh LoQue. Hasil kerjasama bersama mereka telah dimuatkan dalam Gong Anak. 

Lagu-lagu dalam album Lagu Perang(Bunyian Gamelan Melayu di Abad ke 21) telah dirakam di Tunes Studios and Kilang Menjahit Bunyi di bawah pengelolaan LoQue bersama penolong penerbit Hafiz Ahmad dan Aiyad Sakti. 

Beberapa lagu daripada album ini telah dimuat naik ke laman digital Spotify, Apple Music, Deezer, dan Tidal. 

Lagu Perang(Bunyian Gamelan Melayu di Abad ke 21) dilancarkan dalam Piring Hitam(Vinyl) dan Cakera Padat(Deluxe). Versi Vinyl telah dihasilkan pada tahun 2018 manakala versi Deluxe dihasilkan pada tahun 2020. Kedua-dua versi memuatkan lagu yang sama dengan gubahan serta versi yang berbeza. 

Ikuti @monoloquerasmi di Instagram, Twitter, dan Facebook untuk melihat perkembangan dan kisah terkini. 

216 thoughts on “LoQue diberi mandat memelihara Gamelan Melayu menerusi Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu di Abad ke 21)”
  1. I’m not that much of a internet reader to be honest but your sites really
    nice, keep it up! I’ll go ahead and bookmark your website to come back
    down the road. Many thanks

  2. Great blog you’ve got here.. It’s difficult to find quality writing like yours nowadays.

    I honestly appreciate individuals like you!

    Take care!!

  3. Generally I don’t learn post on blogs, however I
    wish to say that this write-up very compelled me
    to take a look at and do so! Your writing style has been surprised me.
    Thank you, quite nice article.

Comments are closed.