KUALA LUMPUR : Selepas kejayaan merakamkan tiga single dengan penyanyi tersohor negara iaitu Dato’ M. Nasir menerusi lagu Zuhud, diikuti Dato’ Sri Siti Nurhaliza menerusi 7 Nasihat dan Dato’ Jamal Abdilllah dalam Neraca, kini duo hip hop popular, Kmy Kmo dan Luca Sickta tampil berkolaborasi dengan penyanyi pop rock tanah air, Hazama menerusi lagu berjudul Makuta.
Lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh dua penyanyi muda ini sememangnya memiliki mesej yang cukup mendalam selain menggabungkan elemen hip hop dan rock serta konsep Nusantara dalam buah tangan kali ini.
Menurut Kmy Kmo atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim, penghasilan Makuta menitik beratkan gambaran serta amaran yang sudah dan bakal berlaku dalam memberi kesedaran kepada pendengar secara menyeluruh.
“Makuta yang bermaksud Mahkota dari bahasa Sunda ini mengisahkan propaganda, ketidakadilan, dan korupsi yang berlaku pada dunia pekerjaan dan juga pada kehidupan harian kita.
“Makuta atau Mahkota juga lebih menjuruskan kepada ketua, pengurus, dan juga wanita kerana golongan ini mempunyai mahkota tersendiri dengan kuasa yang dimiliki. Mereka mampu membawa setiap agenda atau tanggungjawab itu ke arah kebaikan atau sebaliknya dengan mempergunakan Makuta atau Mahkota sebagai senjata kuasa veto.
“Tidak dinafikan pengurus atau ketua yang diberikan mahkota dalam satu perbadanan mampu mengubah pengikut-pengikut menjadi lebih baik dengan penuh rasa tanggungjawab, malah golongan ini juga mampu mempergunakan pengikut-pengikutnya dengan kuasa “Mahkota” yang diamanahkan demi kepentingan diri sendiri.
“Jika dilihat daripada sudut wanita, ‘Mahkota’ boleh disifatkan sebagai sesuatu yang berharga dan dalam masa sama mampu menjadi senjata yang berbahaya atau membunuh jika ia digunakan dengan niat jahat,” katanya.
Mengakui single Makuta memberi cabaran tersendiri memandangkan tiga single terdahulu memberi impak besar kepada pendengar setianya, Kmy bagaimanapun berusaha menghasilkan lirik yang berbekas di hati pendengar.
“Proses penulisan agak mencabar kerana sebelum ini kami sudah keluarkan tiga lagu yang memberi impak besar kepada pendengar dan secara tidak langsung memberi satu tekanankepada kami untuk mengekalkan momentum karya-karya kami. Namun kami percaya pendengar akan terus mengkaji setiap bait-bait lirik yang kami sajikan dalam memahami dan menghayati apa pula rahsia di sebalik lirik lagu Makuta,” katanya.
Menyentuh mengenai kolaborasi dengan pelantun lagu Relakan Jiwa itu, Luca Sickta berkata, pemilihan Hazama diputuskan selepas mengambil kira bakat, karakter dan personaliti seorang penyanyi rock yang dimilikinya.
“Bagi saya Hazama adalah seorang penyanyi yang sangat menjiwai setiap apa yang di amanahkan. Dia tahu apa itu seni lagu dan seperti yang semua tahu setiap lagu yang disampaikan Hazama menusuk ke kalbu.
“Saya juga melihat kehadiran Hazama ini sebagai seorang legenda muda. Hazama juga seorang penyanyi yang sangat kami hormati dengan bakat dan karakternya yang begitu bersahaja,”katanya.
Beralih mengenai cabaran menghasilkan lagu Makuta, Luca berkata, lagu terbabit sepatutnya dilancarkan lebih awal namun disebabkan pandemik Covid-19, pihaknya tidak dapat memperdengarkan kepada peminat sehingga dirinya sukar untuk bergerak menghasilkan lagu seterusnya.
“Demo pertama dirakam pada 2020 sebelum pandemik dan vokal Hazama dirakam pada pertengahan tahun lepas. Saya akui proses kali ini agak ‘slow & steady’ kerana jadual pengeluaran kami terpaksa ditangguhkan hampir dua tahun kerana wabak berbahaya ini.
“Bagaimanapun berpeluang berkerjasama dengan penyanyi yang bersuara rock ini sangat menyeronokkan. Kami cuma perlukan satu sesi rakaman, walau konteks lagu ini agak serius tapi Hazama berjaya menghadam lirik lagu ini dengan cepat,” katanya muzik video (MV) Makuta masih mengekalkan produksi Cinema Malaya selepas kejayaan menghasilkan tiga MV terdahulu.
“Ia adalah suatu penghargaan untuk berkolaborasi bersama dua penyanyi rap yang seperti Kmy Kmo dan Luca Sickta. Melihat kepada karya-karya mereka sebelum ini dan pengalaman mereka bekerjasama dengan nama-nama besar dalam industri seni tanah air seperti Dato’ M. Nasir, saya rasa kedua-dua rapper ini perlu diberi perhatian yang lebih”.
“Saya berpendapat bahawa Makuta adalah satu naskhah yang penuh berisi dan saya berikan sepenuh jiwa untuk menggalas tanggungjawab untuk menyumbangkan suara dalam karya hebat ini agar sampai ke hati para pendengar” kata Hazama.
Lagu Makuta boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX dan YouTube Music, manakala MV Makuta boleh ditonton di saluran YouTube Kmy Kmo Official.