KUALA LUMPUR, 22 JANUARI 2022 – Mula berjinak dalam dunia seni suara sejak di bangku sekolah lagi, Faiz Hazni, 25, anak kelahiran Johor ini memanfaatkan masa yang ada dengan menyanyikan semula lagu-lagu hits untuk tontonan umum di saluran YouTube miliknya disaat negara terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun lalu. Tanpa beliau sedari, video beliau ditonton oleh teraju utama Impact Music & Entertainment, Emma, yang juga merupakan penyanyi rock era 90an. 

Dek kerana kelunakkan suara beliau, rakan-rakan rapat Faiz mencadangkan agar beliau menyertai rancangan I Can See Your Voice Malaysia Musim Ketiga. Nasib menyebelahi Faiz apabila beliau berjaya menyertai malah terpilih sebagai penyanyi sebenar oleh Datuk Nash Dalam episod terakhir rancangan tersebut. Teruja dengan bakat yang dimiliki Faiz, Impact Music & Entertainment bertindak melamar beliau untuk menjadi artis rakaman sekaligus menerima tunjuk ajar secara langsung daripada Emma. 

“Saya berasa sangat bersyukur dan gembira apabila dilamar oleh kak Emma Rockers dan Impact Music. Dalam masa yang sama, secara tidak langsung dapat berkenalan dengan seorang yang sangat berpengalaman luas dalam industri muzik serta mempunyai team dari Impact Music yang sangat supportive dan memberi ruang kepada saya bagi menonjolkan bakat yang ada pada saya.” Kata Faiz.

Bekerja dengan Emma sangat mudah kerana menurut Faiz, Emma seorang yang sangat memahami.

“Tegas dalam sesuatu pekerjaan itu sudah semestinya. Pada masa yang sama banyak tunjuk ajar yang saya dapat semasa merakamkan single pertama Hanya Persinggahan ini.” Katanya.

Faiz Hazni lancar single Hanya Persinggahan

Mempertaruhkan Hanya Persinggahan sebagai single sulung beliau, Faiz percaya lagu ini dapat menarik minat penggemar muzik untuk terus mendukung beliau dalam industri hiburan tanah air. Lagu ini juga mendapat sentuhan istimewa daripada pelbagai pemuzik dari luar dan dalam negara sekaligus menambah keunikannya. Antara yang terlibat dalam pembikinan single ini adalah Emma (Penulis Lirik dari Malaysia), Adi Priyo (Penulis Lirik dari Indonesia) dan Yazri Malik (Komposer dari Singapura). 

Faiz menjelaskan antara cabaran dalam merakamkan lagu ini adalah dari segi kekangan masa yang terhad akibat pandemik dan juga berlakunya perintah kawalan pergerakan di seluruh negara.

“Rakaman lagu ini terpaksa ditangguhkan seketika dan Alhamdulillah ianya dapat disempurnakan pada November tahun lalu.

Selain dari itu, penjiwaan saya dalam menginterpretasi terhadap lagu ini dengan mengilhamkan kisah silam seorang kenalan rapat saya yang mempunyai cerita sebegini.” Ujarnya.

Hanya Persinggahan menceritakan tentang seorang lelaki yang telah dilukai oleh seorang wanita yang dianggap kekasih. Namun ternyata wanita itu milik orang lain yang hanya ada bersamanya saat wanita itu terluka dan memerlukan. Dengan kekuatan hatinya, lelaki itu merelakan segalanya dan percaya semua yang berlaku atas ketentuan yang Maha Esa.

Faiz juga menunggu masa yang sesuai untuk menghasilkan video muzik (MV) dan beliau berharap Hanya Persinggahan ini dapat diterima oleh peminat dan mendapat tempat di dalam industri muzik Malaysia.

Hanya Persinggahan telah pun dilancarkan di semua pelantar penstriman digital mulai semalam, manakala video lirik rasminya boleh ditonton di saluran YouTube Impact Music.

Faiz Hazni – Hanya Persinggahan ( Official lyric video)

Leave a Reply

Your email address will not be published.