PETALING JAYA : Saat New Hope Club mengumumkan kembalinya mereka ke Malaysia, ia menjadi bahan bualan ramai. Kali terakhir berada di Kuala Lumpur pada tahun 2018, kumpulan itu berjaya memukau sebanyak 2,000 peminat Malaysia dengan persembahan showcase pertama mereka di Sunway Pyramid. 

Mendendangkan lebih enam buah lagu terkini dan popular mereka, termasuk kesukaan ramai “Know Me Too Well”, New Hope Club berjaya mengundang para peminat mereka untuk sama-sama menyanyi sambil memenuhi keseluruhan ruang legar dengan semangat penuh jitu buat anak muda Malaysia.

“Tenaga mereka dan mendengar mereka menyanyi setiap bait lirik lagu kami membuat jelajah kami merentas Asia Tenggara menjadi satu detik indah sambil mengenang perjalanan kami sebagai sebuah kumpulan muzik. Dapat bertemu mereka secara langsung ataupun hanya melihat sokongan mereka di media sosial sejujurnya adalah pembakar semangat kami untuk terus berkarya sebagai satu kumpulan. Kami benar-benar ingin melihat konsert kami kehabisan tiket yang dijual di Malaysia satu hari nanti,” kata salah seorang ahli kumpulan mereka Reece Bibby, sambil ditemani rakan sekumpulan Blake Richardson dan George Smith. 

New Hope Club 

Kumpulan tempatan popular Insomniacks membuka acara dengan tiga lagu hit mereka termasuk “Sempurna”. Kumpulan itu dipilih oleh label dunia New Hope Club untuk membuka persembahan mereka di Kuala Lumpur, sekaligus Insomniacks menjadi artis pertama untuk persembahan pembukaan artis antarabangsa yang melawat Malaysia.

Sebagai penutup persembahan, mereka dianugerahkan sebuah plak Platinum oleh Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim sebagai lambang buat lagu mereka “Know Me Too Well” bersama Danna Paola yang berjaya meraih rekod platinum di Malaysia.

“Saya sangat bangga dengan pencapaian mereka di Malaysia serta kagum melihat rasa sayang mereka buat peminat yang telah mereka paparkan sejak bertahun lamanya. Ia sangat menakjubkan melihat begitu ramai yang hadir ke Sunway Pyramid, menyanyi setiap bait lirik lagu mereka selain menayangkan poster buat mereka. Detik seperti itu membuat saya tak sabar untuk menonton lebih banyak persembahan anjuran Universal Music Malaysia.”, kata Kim Lim. 

Dengan lebih 2.4 Bilion penstriman hingga kini, kumpulan ini telah berjaya menghabiskan jualan tiket di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Kanada, UK, Jerman, Perancis, Korea, Thailand, Jepun, Singapura, dan Indonesia. Lagu hit mereka yang tular di TikTok tahun lalu, “Know Me Too Well” meraih perhatian luar biasa di pasaran tempatan sehingga mereka mendapat pencapaian #1 platinum di Malaysia.

“Ia satu penghargaan yang besar buat kami untuk melihat sokongan padu serta peningkatan peminat sejak pertama kali kami tiba empat tahun yang lalu. Kami akan terus mara dan berharap akan kembali lagi.” Kata mereka.

Terdahulu, New Hope Club telah melancarkan album studio sulung mereka pada Februari 2020 dan merancang untuk jelajah seluruh dunia. Ia kejayaan besar buat kumpulan British tersebut dan bukti usaha keras mereka selama ini. Album LP mereka mendapat tempat kelima di UK, namun mereka terbelenggu. Biarpun bangga dengan kejayaan itu, mereka tahu mereka mampu pergi lebih jauh.  

Selama empat tahun tersebut sehinggalah kini, mereka bergerak aktif merantau Eropah, Asia, Amerika Utara dan selatan berkali-kali. Tekanan industri muzik untuk menjelajah, mempromosi dan mengejar hit membuat mereka merasa tidak sejati terhadap dunia muzik dan menjauhkan mereka dari tujuan asal berkumpulan iaitu berkarya bersama.

New Hope Club mengidamkan keaslian berkarya dan mengagumi artsi seperti The Beatles, Oasis, serta Fleetwood Mac kerana kejujuran mereka dalam menghasilkan muzik. Dengan karya baru serta visi seni yang lebih jelas mereka bangga dapat menghasilkan seni yang mereka mahukan. 

New Hope Club dianugerahkan sebuah plak Platinum
New Hope Club membuat persembahan di Sunway Pyramid baru-baru ini