KUALA LUMPUR : “Alhamdulillah dan terima kasih saya ucapkan kepada Luncai Emas Sdn Bhd yang menerima saya, serta memberi peluang untuk ‘cover’ lagu Tiara. Lagu Tiara ciptaan Dato’ M Nasir memang sudah terbaik, dan saya sekadar menyanyikannya dalam versi P. Ramlee.
“Kenapa versi P. Ramlee, sebab saya menjuarai Bintang P. Ramlee Kebangsaan pada tahun 2016. Saya juga sangat meminati Tan Sri P. Ramlee dan dari kecil saya sudah dibiasakan dengan lagu-lagu dan lakonan-lakonan arwah Tan Sri P. Ramlee. Saya tidak sangka versi P. Ramlee yang bermula daripada nyanyian bersahaja di Tik Tok menjadi viral dan mendapat sambutan baik. Ramai juga yang mengatakan rindu pada arwah Tan Sri P. Ramlee dengan dendangan itu.
“Saya terharu dan gembira dapat mengingatkan kembali orang ramai kepada seniman Agung kita. Terima kasih kepada semua yang menyokong dan mendoakan saya.” Jelas P. Radhi tentang rilisan terbarunya secara ‘cover’, Tiara.

P. Radhi atau nama penuhnya Muhammad Radhi AB. Rahman, 31, merupakan Juara Bintang P. Ramlee 2016, adalah artis tandatangan baru dibawah Luncai Emas Sdn Bhd. Luncai Emas bakal mengeluarkan beberapa single lagi secara ‘cover’ mahupun ‘original’ selepas Tiara dan juga beberapa lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dengan dendangan dan gaya tersendiri P. Radhi.
Menurut P. Radhi, penggambaran video muzik (MV) Tiara telah dibuat sepenuhnya di Negeri Melaka dan telahpun dimuat naik di saluran youtube Luncai Emas. MV tersebut telah mencapai 30 ribu tontonan sejurus 3 hari berada di saluran Youtube. MV yang diarahkan oleh Juril Jumali, diinpirasikan dari filem lakonan P.Ramlee berjudul Penarek Becha. Tiara versi P. Ramlee boleh didengari di semua pelantar strim seperti Spotify, Joox, Apple Music, KKBox, Deezer dan Itunes Store.