KUALA LUMPUR – Fenomena lagu Tagalog berjudul Pano cipta dan nyanyian sepenuhnya Zack Tabudlo dari Filipina sememangnya terasa hingga ke Malaysia. Melodi serta cara penyampaian Zack dalam lagu itu berjaya meresap jauh ke dalam lubuk hati pendengar tanpa perlu memahami bahasanya.

Justeru, versi bahasa Melayu lagu itu kini diterbitkan pula dan Khai Bahar dipilih menggalas tanggungjawab berkenaan. Diberi judul Bagaimana, versi Melayu terbabit mendapat sentuhan penerbit muzik tersohor, Johan John yang mana proses rakamannya dibuat di JK Music Vibe Studio dan liriknya diolah semula oleh Shah Shamshiri.

Umpama bulan jatuh ke riba, Khai, 29, mengakui sangat berbesar hati diberi kepercayaan menyanyi lagu yang cukup ikonik itu. Apalagi dia sendiri memang pencinta muzik balada dan mendapat lagu itu bonus baginya.

Khai Bahar

“Keindahan lagu Pano terletak pada irama baladanya yang cukup mendayu. Tidak hairanlah lagu berkenaan amat popular sehingga mendapat tontonan lebih 104 juta di YouTube meskipun ia berbahasa Tagalog. Cukup mengagumkan.

“Disebabkan itulah juga saya sangat gembira apabila ditawarkan Universal Music Malaysia untuk bekerjasama dalam projek lagu Bagaimana. Ini satu peluang keemasan untuk saya galas sebaiknya demi pastikan versi Melayunya juga sehebat lagu asal,” katanya.

Sudah mesra dengan lagu itu sendiri turut menjadi kelebihan buat Khai menjalani proses rakamannya. Dengan mendapat bimbingan dan tunjuk ajar Johan, Khai berjaya melunaskan tugas itu dalam tempoh cukup singkat.

“Alhamdullilah, rakaman vokal berjalan dengan sangat lancar. Semuanya dilakukan di studio rakaman Johan yang terletak di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Ia juga cuma mengambil masa kurang dari sejam. Syukur sangat mudah,” katanya.

Bercerita mengenai pembikinan muzik video (MV) lirik Bagaimana, Khai gembira konsep ditampilkan sangat ringkas tanpa perlu dramatik. Lokasi yang dipilih pun sangat menyenangkan dan menurutnya ia satu pengalaman baharu juga untuknya.

“Penggambarannya dilakukan di sebuah kedai buku BookXcess Sunsuria Forum, Shah Alam. Ia sebuah konsep yang ringkas dan menarik di mana saya belum pernah tampilkan sebelum ini. Prosesnya juga berjalan dengan sangat lancar dan dapat disiapkan dalam masa kurang dari empat jam,” katanya.

Dalam pada itu, Khai akui bekerjasama dengan Johan buat pertama kali adalah satu pengalaman menyeronokkan. Mana tidak, corak kerja Johan yang sangat profesional menjadikan setiap proses jadi lebih mudah dan lancar.

“Bagi saya, penting untuk mendapatkan keserasian yang kuat setiap kali terbabit sesuatu projek. Walaupun pertama kali bergandingan dengan Johan, tidak susah untuk mendapatkan keserasian antara kami.

“Saya memuji corak kerjanya yang begitu teliti tapi pada masa sama tak memberi tekanan pun. Saya percaya itulah kelebihan yang ada padanya di mana dia sentiasa memastikan setiap aspek lancar sepanjang masa,” katanya.

Enggan dibayangi penyanyi serta lagu asal, Khai berharap versi nyanyiannya akan dinikmati sebagaimana pendengar sukakan Pano. Dia sendiri sangat seronok apabila Bagaimana dapat dihasilkan untuk pendengar tempatan.

“Semoga Bagaimana akan mendapat penerimaan yang baik seperti Pano juga serta didengar berulang kali di setiap platform penstriman muzik digital. Terus sokong dan minta lagu Bagaimana diputarkan di corong-corong radio,” katanya.

Bagaimana kini boleh didengarkan di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala muzik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Khai Bahar – Bagaimana (Pano)