March 28, 2024

KUALA LUMPUR – Selang seminggu selepas kejayaan kumpulan Kembara mengadakan konsert ‘Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah’ di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), kini giliran penyanyi adik-beradik popular Anuar dan Ziana Zain mengambil tempat bagi menghiburkan seramai 2,800 peminatnya dalam konsert yang penuh gilang-gemilang, malam tadi.

Konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur melakar sejarahnya tersendiri dan menjadikan konsert ini sebagai pengalaman paling indah buat peminat mereka yang menyaksikan gandingan kali pertama pasangan adik-beradik popular itu membuat persembahan mega di Kota Kuala Lumpur.

Persembahan yang dimulakan sekitar pukul 8.50 malam dari pasangan adik beradik popular ini, seperti ada magisnya tersendiri. Anuar dan Ziana membangkitkan adrenalin penonton menerusi Sangkar Cinta dan Bila Resah secara medley.

Terhibur dengan persembahan dua figura popular itu membuatkan penonton tidak duduk diam untuk menyanyi bersama dengan dendangan lagu-lagu popular dari album hits penyanyi kesayangan ramai itu.

Kelunakan suara Anuar Zain memukau penonton
Ziana Zain menyifatkan kejayaan konsert ini adalah doa dari peminat

Antara lagu-lagu repertoir yang disampaikan oleh Ziana adalah, Puncak Kasih, Terlerai Kasih, Menadah Gerimis, Anggapan Mu, dan Madah Berhelah. Ziana juga mencabar dirinya dengan mendendangkan lagu hits Anuar berjudul Sedetik Lebih.

Sementara Anuar memukau penonton dengan kelunakan suaranya dengan lagu Ketulusan Hati, Mungkin, Lelaki Ini, Keabadian Cinta, dan Cinta Takkan Berakhir. Anuar juga menyambut sahutan dengan menyampaikan lagu Ziana berjudul Lara secara solo.

Tambah mengujakan penonton, Anuar dan Ziana menyanyi secara duet menerusi lagu Sesuci Cintamu, Lembah Asmara dan Di Akhir Garisan sebagai lagu penutup konsert.

Sementara itu, Ziana menyifatkan kejayaan untuk mengadakan konsert ini adalah doa dari peminat yang ingin melihat dia dan Anuar disatukan dalam satu pentas setelah hampir empat tahun merancang selain restu dari kedua ibu bapa selebriti itu sendiri iaitu, Zin Abdullah dan Robiah Abdul yang turut hadir bagi menyaksikan konsert yang akan menjadi kenangan seumur hidup itu.

“Jujur saya tak boleh tidur lena dalam seminggu ini memikirkan perjalanan konsert,” katanya ringkas.

Terharu dengan sokongan dan kehadiran peminat, Anuar memanjat kesyukuran apabila mereka sanggup meluangkan masa menghadiri konsert pada malam tadi.

“Anda boleh pergi ke mana-mana malam ini (malam tadi), tapi anda pilih untuk berada di sini. Terima kasih kerana beri aura yang positif buat kami.

Konsert tersebut juga turut menjadi saksi apabila ada peminat yang tidak dapat menahan air mata, menjerit keriangan apabila dapat bertemu sekali gus bertentang mata melihat idola mereka membuat persembahan.

Konsert anjuran Trumpet International Sdn. Bhd itu turut menyaksikan kehadiran dan sokongan padu rakan-rakan selebriti popular antaranya Rozita Che Wan, Shuib Sepahtu, Misha Omar, Noryn Aziz, Fara Fauzana, Shila Amzah, Scha AL Yahya, Awal Ashari, Dafi serta dua anak teruna Ziana yang setia menemani hingga ke penghujung acara.

Sebelum melabuhkan tirai persembahan konsert sekitar pukul 11.30 malam, Anuar dan Ziana sempat berkongsi berita gembira kepada semua peminatnya apabila mengumumkan bakal mengadakan konsert di Singapura pada 24 September depan.

Konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur melakar sejarahnya tersendiri
Anuar dan Ziana bakal mengadakan konsert di Singapura pada 24 September depan