KUALA LUMPUR, 16 NOVEMBER 2021 – Selepas penglibatannya dengan kumpulan Ukays, Achik Roslan atau nama sebenar Muhammad Zakir Roslan, tampil dengan single terbaharu berjudul ‘Hanya Doa’. Achik sememangnya seorang penyanyi yang pernah mendendangkan lagu ‘I love U I miss U’ bersama kumpulan Ukays sebagai pengganti vokalis baharu kumpulan itu dan kini telah membuat single di bawah syarikat rakaman Luncai Emas (milik Dato’ M.Nasir). Achik aktif dan banyak terlibat membuat persembahan secara cover di youtube mahupun live bersama Ukays selepas beliau menggantikan vokalis kumpulan itu.

Menurut komposer lagu ini, Awang BPR, berkata, “Beliau dikenali sebagai Achik Roslan dan suara beliau sememangnya bersesuaian untuk lagu ‘Hanya Doa’. Beliau akan menjadi ikon baharu untuk masyarakat di Malaysia kini”.

Awang BPR (pemain gitar utama kumpulan Bumiputra Rockers) adalah satu nama yang tidak asing lagi dalam industri hiburan. Beliau sudah menerbitkan banyak lagu untuk kumpulan-kumpulan rock tanahair dan juga penyanyi-penyanyi di Malaysia. Sehingga kini beliau masih aktif mencipta lagu dan menerbitkan album-album artis. Sepanjang kariernya, Awang BPR sudah menghasilkan banyak koleksi lagu popular antaranya Luka Dilukai nyanyian Shima, Taman Astakona (Slash), Bahang Asmara (Gamma), Naluri Cinta (Toki dan Rohana Jalil), Segalanya Pasti (Aida Agil) , Kurnia (Slam) dan Segalanya Ku Terima (Ilusi).

Lagu ‘Hanya Doa’ berkisarkan kehidupan realiti jerih-perih seorang bapa menghadapi pelbagai dugaan untuk membesarkan anak-anaknya dan memastikan mereka semua menjadi manusia yang berjaya. Tanpa mempedulikan dirinya sendiri, seorang bapa bekerja keras tanpa mengira penat lelah demi mencari wang ringgit untuk memastikan anak-anaknya mencapai cita-cita mereka.

Awang menjelaskan bahawa penceritaan dalam lagu begitu meruntun jiwa pendengar di mana pengorbanan seorang bapa membesarkan anak-anaknya tetapi kesudahan hidupnya dipinggirkan.

“Namun takdir Illahi apabila semua anak-anaknya berjaya mencapai kejayaan mereka alpa dengan harta dunia dan fokus dengan kehidupan serta kerjaya masing-masing. Sehingga apabila Si bapa meningkat usia dan semakin tidak bermaya, mereka menempatkan Si bapa di rumah orang-orang tua . Alangkah robeknya hati seorang bapa dibiarkan sendirian dan kesepian meniti usia menunggu masa untuk kembali kepada Illahi. Tanpa henti setiap saat dan ketika Si bapa terus berdoa semoga beliau dapat bertemu dengan anak anaknya sebelum menghembuskan nafas yang terakhir kalinya”. Jelasnya.

Achik Roslan selaku penyanyi lagu ‘Hanya Doa’ dan Awang BPR bertindak sebagai komposer

Penulis lirik lagu ‘Hanya Doa’ dikenali sebagai I.Kay seorang pendatang baharu yang mempunyai minat yang mendalam dalam bidang penulisan lirik. I.Kay merupakan seorang arkitek dan juga bekas pemain bolasepak Malaysia.

I.Kay berkata lagu ‘Hanya Doa’ ini terhasil apabila beliau berseloroh kepada Awang BPR supaya diberi kesempatan untuknya berkarya.

“Saya sememangnya cukup meminati dan membesar dengan lagu-lagu ciptaan Awang BPR. Apabila Awang memberikan saya dengan jawapannya InsyaAllah, saya begitu gembira. Selang beberapa hari Awang ada menghubungi saya dan bertanya adakah saya sudah bersedia untuk mencipta lirik. Ibarat bulan jatuh ke riba, hati saya sungguh gembira dan bermulalah epilog gandingan saya dan Awang BPR. Sehingga kini sudah 4 buah lagu berbagai irama yang terhasil di antara saya dan Awang BPR.” Katanya.

Pihak Luncai Emas yakin ‘Hanya Doa’ akan menjadi sebuah lagu yang ditunggu-tunggu oleh peminat yang sudah lama merindukan vokal lunak dari Achik Roslan selepas tampil bersama UKays. Luncai Emas bertindak sebagai pengedar single ini secara jualan digital di platform streaming, Youtube dan iTunes. Video lirik rasmi ‘Hanya Doa’ boleh dilayari di saluran Youtube Luncai Emas.

ACHIK ROSLAN – HANYA DOA ( VIDEO LIRIK RASMI)

Leave a Reply

Your email address will not be published.