June 13, 2024

KUALA LUMPUR – Jinbara kembali meneruskan perjuangan mereka dalam dunia muzik rock dengan pelancaran single terbaharu berjudul Kurniaku Terindah terbitan di bawah Luncai Emas Sdn Bhd. Penerbitan single ini adalah satu projek rakaman khas Jinbara bersama Luncai Emas bagi terus mengukir nama di dalam industri muzik rock.

Seperti yang diungkapkan oleh komposer single ini, “Perjuangan dan perjalanan rock mereka masih belum tamat lagi,’’ Ujar M.Nasir. Single Kurniaku Terindah, hasil ciptaan Dato’ M.Nasir, membuktikan bahawa perjalanan muzik Jinbara masih jauh dari pengakhirannya.

Sebagai Kumpulan rock yang telah menghasilkan lagu-lagu popular seperti Kasihnya Laila, Farhana, Cinta Pantai Merdeka dan Patri, Jinbara merasakan bahawa Kurniaku Terindah adalah pencapaian baru buat mereka.

Jinbara dari kiri Cepot (Gitar), Ahtan (Drum), Along (Vokalis) dan Lan (Gitar)

‘’Ini satu kehormatan besar dan rasa bersyukur kerana kami diberikan kepercayaan untuk membawakan lagu hasil ciptaan Dato’ M.Nasir. Single baharu ini memberikan satu erti apabila kita masih lagi bernafas hingga hari ini, diberikan kesihatan yang baik, maka itulah kurnia terindah dari Maha Esa,’’ kata Jinbara.

Bagi proses rakaman single ini, semuanya telah berjalan dengan lancar sebelum menerima berita duka pemergian Allahyarham Tony Iskandar pada 30 Jun 2021 (bekas pemain bass kumpulan Spider). Allahyarham merupakan pencetus utama dalam penerbitan single Kurniaku Terindah ini dan tugas sebagai penerbit lagu ini diambil alih oleh Hanafi Spider.

‘’Sewaktu rakaman awal, Allahyarham Tony Iskandar sememangnya berhasrat untuk menyiapkan projek lagu baharu ini hingga siap. Arwah pernah juga berkata ‘’Kita Bikin Kasi Jadi’’. Namun, Allah S.W.T lebih menyayanginya. Arwah adalah Sahabat Dunia Akhirat.” Jelas Jinbara lagi.

Dalam usaha untuk terus berinteraksi dengan peminat setia, Jinbara juga akan mengadakan Showcase “Rock Untuk Rakyat” pada 30 Ogos 2023 jam 9 malam di Grand Sabak @ Leypark Station. Tiket boleh didapati dengan menghubungi di talian 019-933 4021.

Sebuah video lirik Kurniaku Terindah telah dilancarkan pada 18 Ogos lalu melalui saluran YouTube Luncai Emas. Para peminat juga boleh menikmati audio rasmi di semua platform digital yang tersedia seperti Spotify, Apple Music, Deezer dan muat turun di itunes Store.

Selaku label rakaman, Luncai Emas berharap agar single terbaharu ini akan meraih perhatian peminat muzik serta pihak media. Pihak Luncai Emas juga mengundang semua penggemar muzik untuk menikmati karya ini dengan sepenuh jiwa.

Jinbara – Kurniaku Terindah – Official Lyric Video