April 20, 2024

KUALA LUMPUR: Bagi peminat muzik bergenre metal, mereka bakal disajikan dengan sebuah konsert yang membariskan band-band metal berpengaruh yang telah wujud sejak awal tahun 90an lagi. Konsert yang dinamakan sebagai ‘Metal Tempur’ ini adalah Konsert Rockstage VI yang merupakan kesinambungan dari konsert-konsert Rockstage yang telah lepas.

Konsert yang dianjurkan oleh Rockstage Entertainment membariskan nama-nama besar dalam dunia muzik ‘bawah tanah’ antaranya Silkhannaz, FTG dan Langsuir. Konsert yang bakal diadakan pada 25 Februari ini juga akan disertai oleh band-band metal yang lain seperti Massacre Conspiracy, Farasu, Naratu dan Sekumpulan Orang Gila (S.O.G). Bertempat di Stadium Chinwoo, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur, konsert akan bermula seawal jam 2 petang sehingga 6 petang. Seterusnya konsert akan dimulai semula jam 8 malam seusai memberi laluan rehat pada waktu magrib.

FTG, Silkhannaz dan penganjur Talib Othman ketika sidang media konsert Rockstage VI Metal Tempur

Menurut Talib Othman selaku penganjur, konsert yang bakal diadakan ini mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding konsert sebelumnya.

“Istimewanya event ini, Rockstage Entertainment akan meriliskan 2 album terbaharu daripada FTG yang berjudul ‘Army Of God’ dan Silkhannaz yang berjudul ‘The Madness Of Fear’ yang mana kedua-duanya mempunyai 8 buah lagu bagi setiap album.” Katanya.

Album-album ini dikeluarkan secara fizikal, iaitu dalam format CD dan menariknya, segala proses pembuatan album ini bermula dari penciptaan lagu, penulisan lirik serta rakaman studio dilakukan sendiri seratus peratus oleh FTG dan Silkhannaz tanpa penglibatan oleh pihak luar.

“Bagi peminat yang ingin mendapatkan album baharu ini, ianya telah pun berada di digital platform seperti Spotify, Youtube Music, Apple Music dan Deezer.” Ujarnya lagi.

Namun bagi peminat mereka yang hadir pada konsert tersebut akan turut dihidangkan dengan beberapa lagu daripada album terbaharu mereka selain lagu-lagu popular mereka dari album terdahulu.

Silkhannaz dan FTG bersama penganjur, Talib Othman

Dalam sidang media yang telah diadakan di Hotel Grand Campbell, Kuala Lumpur, kelmarin, pihak penganjur mempunyai alasan tentang keterlibatan SOG yang dilihat berbeza mazhab dengan band-band yang bakal membuat persembahan pada hari konsert tersebut.

“Muzik ini universal, jadi salah satu benefit yang saya lihat, ia akan membuka ruang untuk menambah dari segi crowd dan juga dapat expose muzik masing-masing. Maksudnya, bila peminat SOG melihat persembahan FTG, secara tak langsung akan tertarik minat kepada FTG dan juga peminat FTG mungkin akan tertarik untuk meneroka muzik SOG dan juga band-band yang lain.

“Saya melihat ini adalah suatu yang positif untuk kita teruskan perkembangan industri muzik kita. Jika tiada pembaharuan atau pembaikan dari segi pengikut atau peminat, kemungkinan industri ini akan menjadi suram.” Jelasnya.

Kumpulan FTG tampil dengan album baharu berjudul ‘Army Of God’

Konsert ‘Metal Tempur’ menjadikan medan pertembungan dua generasi lama dan baharu yang akan ‘bertempur’ di sebuah pentas yang sama.

Bagi Hashim yang merupakan anggota Silkhannaz, beliau beranggapan konsert yang bakal diadakan ini tiada istilah band lama mahupun band baharu kerana baginya akan ada band-band baharu yang akan muncul setiap tahun.

“Banyak band-band yang muncul sekarang ini semuanya bagus-bagus dari segi permainan dan persembahan muzik mereka. Jadi bagi band yang muncul lebih awal dari mereka, ianya akan tetap lama disebabkan ada yang baharu. Kita perlu sokong band yang ada sekarang ini dan kalau boleh perbanyakkan lagi supaya dapat memeriahkan industri muzik tanah air kita ini.” Jelas Hashim.

Untuk rekod, Sil Khannaz merupakan sebuah kumpulan metal berat yang diterajui oleh pemuzik-pemuzik berpengalaman dalam arena arus bawah tanah Malaysia. Bermula di negeri Perlis sekitar lewat 80-an dan masih bergiat aktif sehingga sekarang meskipun berlaku pertukaran ahli.

FTG yang diambil dari singkatan Freedom That’s Gone merupakan sebuah kumpulan thrash metal dan kumpulan ini ditubuhkan pada tahun 1989 di Kuala Lumpur.

Mereka adalah antara kumpulan terawal yang muncul di penghujung era generasi pertama muzik ‘bawah tanah’ Malaysia seperti Nemesis, Punisher dan lain-lain.

Kumpulan Silkhannaz tampil dengan album baharu berjudul ‘The Madness Of Fear’

Tiket-tiket sudah mula dijual secara online dengan melayari laman sesawang https://rockstage.ubertickets.asia. Tiket dijual dengan harga RM95 (Early bird sehingga 7 Februari 2023) dan RM110 untuk tiket yang dibeli secara normal.

Konsert Rockstage VI Metal Tempur bakal diadakan pada 25 Februari 2023 bertempat di Stadium Chinwoo, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur, bermula jam 2 petang sehingga 11.45 malam. Band yang akan membuat persembahan pada hari konsert tersebut terdiri daripada FTG, Silkhannaz, Langsuir, Farasu, S.O.G, Massacre Conspiracy dan Naratu. Pastinya konsert ini memang berbaloi buat penggemar muzik keras!