April 18, 2024

LANGKAWI, 16 NOVEMBER 2021 – Amalan membaca membantu penjanaan dan penyebaran ilmu. Aktiviti membaca juga mudah dilaksanakan, malah amat menyeronokkan serta berupaya merehatkan minda jika kita tahu cara menikmatinya. 

Melihat kepentingan memupuk minat membaca di kalangan masyarakat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) menggerakkan kempen ‘Projek Bakul Buku’, sebuah program berbentuk tanggungjawab sosial korporat iaitu sumbangan bakul berisi bahan bacaan seperti buku dan majalah. 

Azlan (tiga dari kanan) menyerahkan bakul buku kepada Chaharis (tiga dari kiri) di warung makanan perumahan Keda Teluk Berembang, Pulau Tuba, Kedah

Menurut Timbalan Pengarah UCTC UPSI, Dr Mohd Azlan Nafiah berkata bakul-bakul buku ini disumbangkan kepada para pengusaha restoran, warung kopi dan premis perniagaan berunsur perkhidmatan seperti salun rambut dan bengkel kereta untuk diletakkan di ruang niaga mereka sebagai nilai tambah pelanggan sambil menggalakkan masyarakat membaca. 

“Hari ini sukarelawan UPSI yang terdiri daripada pelbagai jabatan dan fakulti antaranya pegawai-pegawai Perpustakaan Tuanku Bainun dan petugas sukarelawan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) UPSI telah mengedarkan beberapa buah bakul buku di premis-premis perniagaan seperti warung kopi dan kedai makan di sekitar perkampungan Pulau Tuba, Kedah sebagai projek rintis program berkenaan. 

“Peralihan fasa endemik di negara menyaksikan pemulihan sektor ekonomi di tanahair, menjadikan premis makanan antara lokasi tumpuan penduduk setempat menjamu selera. Ketika pelanggan sedang menunggu sajian makanan yang dipesan terhidang, terdapat kebarangkalian para pelanggan ini akan mengambil dan membelek bahan bacaan dalam bakul buku tersebut,” jelasnya.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Md Amin Md Taff

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, kebanyakan bahan bacaan yang dimuatkan dalam bakul buku merupakan buku-buku bergambar, komik, majalah serta pelbagai buku beraneka genre mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat. Pemilihan kandungan judul buku dan majalah juga turut mendapat saranan daripada pakar rujuk Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI.

“Di Pulau Tuba misalnya, sebuah penempatan kecil masyarakat nelayan, di mana kurang capaian untuk mendapatkan buku-buku atau bahan bacaan yang menarik dan berkualiti. Dengan adanya inisiatif seperti ini, sekaligus dapat menyokong hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk memasyarakatkan universiti (U4S) serta dapat melestarikan perkembangan pendidikan negara,” jelasnya dalam suatu kenyataan.

Penduduk sambut baik usaha Projek Bakul Buku UPSI

Pengusaha warung kedai makanan ringan kawasan perumahan KEDA, Teluk Berembang, Chaharis Kamis, menyambut hasrat baik Projek Bakul Buku UPSI yang disifatkan sebagai penggalak kepada budaya membaca penduduk kawasan tersebut.

“Warung saya menyajikan makanan ringan serendah RM1, beroperasi seawal pukul 8 pagi hingga 7 malam. Rata-ratanya pelanggan terdiri daripada anak-anak penduduk akan beli makanan, jika mereka berminat nak membaca, mereka boleh ambil buku dalam bakul dan membaca buku-buku yang mereka suka,” jelasnya.

Seorang lagi pengusaha warung makanan, Nurin Syazia, berpendapat, usaha yang dilaksanakan wajar dipuji lebih-lebih lagi kebanyakan pelanggan gerainya terdiri daripada anak-anak penduduk sekitar yang banyak menghabiskan masa dengan gajet ketika makan di warung. 

“Dengan adanya buku-buku dan majalah di warung saya, anak-anak penduduk di kawasan sekitar sini boleh duduk membaca bahan-bahan bacaan yang bermanfaat, tidaklah mereka hanya asyik leka bermain gajet saja,” jelasnya.

UCTC UPSI akan terus gerakkan kempen-kempen seumpama dengan meletakkan lebih banyak bakul-bakul buku di kawasan komuniti seluruh tanahair dalam siri program jelajah khidmat komuniti pada masa-masa akan datang. 

Pengusaha premis makanan, Nurin (kiri) dan Timbalan Pengarah UCTC UPSI, Azlan Nafiah (kanan) membelek bahan bacaan dalam bakul buku di Pulau Tuba
Sukarelawan UCTC UPSI memuatkan bahan bacaan ke dalam bakul-bakul buku untuk disumbangkan di kawasan sekitar tumpuan penduduk Pulau Tuba

178 thoughts on “‘Projek Bakul Buku UPSI’ pupuk minat membaca di Pulau Tuba

Comments are closed.