May 18, 2024

PETALING JAYA : Vokalis kumpulan alternatif terkenal tanah air, Radhi OAG akan memastikan tahap kesihatannya terjaga demi untuk menjayakan konsert OAG 30 Tahun Generasiku yang bakal diadakan pada 25 Disember ini di Stadium Malawati Shah Alam.

“Saya memohon kepada Allah SWT agar dijauhi perkara-perkara yang tidak diingini berlaku kepada diri saya. Sejak sebulan lalu saya sentiasa menjaga kesihatan, clean dan menjaga diri untuk pastikan konsert ini berjaya,” katanya.

Radhi atau Muhammad Radhi Razali, 45, berkata, sudah 30 tahun peminat menyayanginya dan mengharapkan dia menjadi yang lebih baik.

“30 tahun peminat sayang saya dan mengharapkan sesuatu (konsert) untuk mereka dan kali ini saya nak love myself dan perjuangan saya selama 30 tahun ini akan menjadi realiti atas sokongan semua.” Katanya.

Bagi mengekalkan stamina, Radhi juga mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan senaman dan jogging.

“Sebulan ini adalah satu perjuangan yang amat berat bagi saya, Alhamdulillah, konsert pun tidak lama lagi jadi saya perlu teruskan dan istiqamah,” ujarnya.

Radhi OAG

Konsert OAG 30 Tahun Generasiku anjuran BSX Box dengan kerjasama Kongres Muzika Malaysia bukan hanya sekadar konsert, tetapi adalah sebuah festival yang bakal melakar sejarah bermula seawal 9 pagi sehinggalah 12 tengah malam. Pelbagai program bakal dijalankan di sekitar kawasan stadium termasuklah gerai-gerai jualan, pameran, pertandingan dan juga persembahan daripada beberapa kumpulan yang lain. 

Menurut pemain drum, Qi Razali, konsert OAG 30 Tahun Generasiku ini adalah bagi meraikan muzik dan melodi OAG.

“Pada hari tersebut, kita nak kumpulkan semua orang yang membawa OAG sampai ke hari ini, kita raikan bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, OAG akan meluncurkan single terbaharu berjudul Ori yang mana mereka akan merakamkan vokal penonton yang hadir di konsert mereka untuk dimasukkan dalam lagu tersebut.

“Lagu ini belum lengkap lagi tanpa suara-suara mereka, jadi mereka akan menyanyikan sebahagian baris sahaja untuk kita rakam dan masukkan dalam single terbaharu kami, itu keistimewaan konsert ini.

“kita akan abadikan suara-suara peminat OAG yang sudah mengikuti semenjak tahun 1992 daripada gig ke konsert, dari bawah khemah kenduri hingga sekarang, jadi, kita akan abadikan suara mereka ke dalam lagu baharu OAG berjudul Ori dan itulah antara detik-detik yang akan saya nantikan.” Kata Radhi.

OAG membuat kejutan dengan menghadiahkan sebuah gitar elektrik untuk pemenang pertandingan ‘cover’ lagu-lagu OAG yang berlangsung di pelbagai platform media sosial.

OAG dibarisi oleh Radhi (vokal), Qi Razali (drum), Ammal Bellamy (gitar), dan Yin (bass) turut mengundang anggota asal OAG iaitu Naza The Times dan Alim yang akan turut serta menghangatkan lagi Konsert OAG 30 Tahun Generasiku itu nanti.

OAG bakal menjayakan konsert 25 Disember ini

Pihak penganjur akan menyediakan pelbagai kemudahan sepanjang festival tersebut bagi memudahkan pengunjung yang hadir. Penyediaan tempat yang lebih selamat dan selesa adalah sebahagian daripada dasar konsert ini. Antara kemudahan yang disediakan adalah keistimewaan parkir kereta wanita, lorong masuk khusus untuk wanita, S.O.S buddy hotline dan juga menempatkan beberapa orang krew berdekatan dengan kawasan khusus untuk wanita.

Selain itu, pihak penganjur menyediakan Pusat Penjagaan Kanak-Kanak sepanjang festival ini berlangsung. Penyediaan lokasi penjagaan anak-anak di kawasan stadium secara percuma ini adalah satu usaha bersama pihak penganjur dan juga penaja strategik iaitu Kiddocare untuk memberi kemudahan dan menyahut seruan ibu bapa yang ingin turut serta dalam festival ini tetapi mempunyai kekangan daripada segi keluarga dan anak kecil. 

Terdahulu, OAG dikatakan mewakili Old Automatic Garbage tetapi kemudiannya ditukar menjadi Orang Asia Genius.

Pada tahun 2008, Radhi memulihkan dirinya di Pusat Pengasih Malaysia daripada masalah ketagihan dadah dan menguruskan masalah rumah tangga yang menimpanya pada ketika itu. Hal itu menyebabkan OAG berhenti seketika daripada sebarang kegiatan muzik sekitar tahun 2009 hingga tahun 2011 sebelum kembali mewarnai industri muzik di Malaysia pada tahun 2012 .

Temu bual Kelkatu TV bersama OAG