PETALING JAYA : Dalam industri hiburan tanah air, Razzuan Rosli bukanlah orang baharu. Langkahnya bermula sebagai pelakon dan pernah menyertai program Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) pada 2019.

Di pentas lakonan juga dia berjaya membuktikan bakat dimiliki selain berjaya mengumpul peminat tersendiri.

Namun, cabaran baharu buat Razzuan Rosli apabila dia berjinak-jinak pula dalam bidang nyanyian. Maka, lahirlah single berjudul Akur terbitan Universal Music Malaysia yang mana hasil ciptaan Shah, Tam Cobain, Sin Syim dan lirik oleh Sulu Sarawak.

Menurut Razzuan, lagu akur sudah siap dirakamkan pada 2020. Pun begitu pelancarannya ditunda tiga kali ekoran situasi semasa dalam negara membabitkan penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebenarnya lagu ini sudah siap dirakam pada 2020. Jadi perancangannya enam bulan selepas rakam, nak dilancarkan. Tapi tiba-tiba PKP 2.0, jadi tunda dulu. Kiranya, sampai tiga kali juga ditunda untuk dilancarkan.

“Pada masa itu saya fikir mungkin ada sebab dan hikmah semua ini berlaku. Mungkin kalau lancar pada masa itu, saya sendiri tak yakin boleh menyanyi secara langsung pada masa itu sebab saya bukannya penyanyi yang bagus sangat, jadi perlukan banyak latihan.

“Jadi sepanjang dua tahun ini saya teruskan berlatih dan sekarang ini sudah ada keyakinan untuk menyanyikan lagu ini secara langsung,” katanya.

Dalam masa sama, Razzuan berkata merakamkan single sulung itu adalah pengalaman yang cukup berharga dalam hidupnya.

“Menjalani proses rakaman antara salah satu pengalaman yang menarik dalam hidup saya. Sebab tak pernah tengok orang buat rakaman lagu, malah jauh sekali nak lalui situasi merakamkan lagu sendiri. Jadi, masa nak rakam lagu ini ia pertama kali masuk studio.

Saya macam jakun sikit, dan baru tahu macam ni keadaan dalam studio.

“Selalu menyanyi di karaoke kita dengar suara kita. Tapi dalam studio bila nyanyi, dengar dalam telinga saja. Kalau salah sebut, atau salah ‘key’, dengar dengan jelas kesalahan itu. Pelik lah juga sebab tak biasa.

“Proses rakaman mengambil masa satu hari. Susahlah juga untuk saya, sebab saya bukan penyanyi. Malah menyanyi pun untuk suka-suka. Pendek kata, ‘a bit struggle’ untuk saya siapkan lagu ini, tapi saya seronok dengan perjalanan ini,” katanya.

Lagu akur nyanyian Razzuan Rosli sebenarnya sudah siap dirakamkan pada 2020

Begitu juga ketika proses rakaman video muzik (MV) lagu Akur, menurut Razzuan ia berbeza dengan penggambaran drama yang selalu dia buat.

“Proses rakaman MV, berbeza kalau kita terbabit dengan penggambaran drama atau projek berkaitan lakonan. Untuk MV ini saya kena ‘miming’ pula dan bagi ekspresi. Pengalaman paling tak boleh lupa adalah ‘shoot’ dari pagi sampai jam 6 pagi keesokan harinya, memang satu hari.

“Sampai semua orang penat, tapi tetap bagi komitmen tinggi, terima kasih pada semua pasukan produksi,” katanya.

Pun begitu, setiap cabaran dilalui Razzuan sepanjang menyiapkan lagu Akur ini memberikannya ilmu baharu terutama dalam bidang muzik kerana.

“Pengalaman bekerja dengan indivdu terbabit dalam penghasilan lagu Akur ini, ia pun satu pengalaman baru untuk saya. Sebab tak pernah terbabit dengan mana-mana individu dalam bidang muzik.

“Saya mengikuti kelas vokal, bila orang terangkan, saya lambat sikit nak faham dan buat. Selepas tu kena tanya balik. Macam bekerja dengan Taja pula, dia berikan banyak ilmu baru sebab saya pertama kali rakamkan lagu dan melalui bidang muzik ini, ia benda baru,” katanya.

Berkongsi mengenai lagu Akur, Razzuan berkata lagu itu menceritakan bagaimana pasangan kekasih terpaksa akur dengan keputusan yang dibuat dalam perhubungan mereka.

“Pada saya, memandangkan ini adalah single pertama saya, ia menarik dan ada tarikan tersendiri. Lirik lagu juga memainkan peranan yang mana penggunaan perkataan yang digunakan bukan sering digunakan di luar.

“Lagu ini mengisahkan mengenai kisah cinta dan perhubungan yang putus di tengah jalan. Jika mengikut jalan cerita lagu ini, si wanita meninggalkan kekasihnya kerana nak sambung belajar. Lelaki itu terpaksa terima dan akur keputusan dibuat. Wanita itu juga akur terpaksa tinggalkan kekasih demi sambung belajar dan masa depan. Lagu ini kena pada sesiapa saja  yang melalui situasi di mana terpaksa akur dengan apa yang berlaku.

“Harapan saya besar yang mana orang boleh terima lagu ini dengan baik. Apatah lagi ini ‘baby’ pertama saya dalam muzik. Jadi saya harap orang boleh mendengar dan menyanyi bersama sekali lagu ini. Sebab lagu ini ada korus yang ‘catchy’ dan mudah didendar. Orang kata lagu ini ‘easy listening’ dan boleh diterima baik,” katanya.

Akur sudah tersedia di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music, manakala video muzik telah pun berada di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Razzuan Rosli – Akur (Official Music Video)

Leave a Reply

Your email address will not be published.