July 14, 2024

KUALA LUMPUR : Masih terbayang lagi suasana peminat-peminat menyanyi bersama ala-ala karaoke terbesar di stadium Malawati Shah Alam, bersama Exists Reunion pada tahun 2019 yang lalu. Exists sentiasa menawan hati para peminat dengan karya-karya dan persembahan segar mereka. Kemunculan mereka sentiasa menumbuhkan rasa rindu selepas itu untuk bernyanyi bersama.

Bagi merawat kerinduan tersebut, Exists muncul bersama vokalis asal mereka, Mamat yang bakal menghiburkan para peminat pada 18 November ini dalam sebuah konsert Resolusi Exists. Bukan hanya Mamat seorang sahaja yang akan menyanyi pada konsert tersebut tetapi Exists menampilkan dua orang penyanyi generasi baru yang semakin meningkat naik, mereka adalah Pasha dan Eiz.

“Exists merupakan sebuah kumpulan pemuzik. Kali ini kami tampilkan Mamat sebagai vokalis dan dua orang penyanyi jemputan iaitu Pasha dan Eiz. Bila kita bawakan penyanyi-penyanyi jemputan untuk bersama Exists, maknanya penyanyi tersebut ada sesuatu untuk diperkenalkan,” ujar Ajai mewakili Exists.

Bakal menyanyikan lagu-lagu hits Exists dalam konsert yang bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur, pastinya lagu-lagu seperti Janji Padamu, Rahsia Pohon Cemara, Untukmu Ibu dan Langkah Seiringan akan dibawakan pada konsert yang bermula jam 9 malam tersebut.

Resolusi Exists

Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin mengulas mengenai situasi dirinya yang masih berada dalam pemantauan agensi dari cawangan Johor Bahru itu susulan dirinya pernah berdepan masalah penyalahgunaan dadah pada September 2019.

Apabila Exists akan mengadakan konsert, dia berasa gembira dan bersetuju untuk bersama-sama bagi menjayakan konsert tersebut cuma dia perlu memaklumkan jadualnya kepada AADK bagi memudahkan pemantauan.

“Alhamdulillah saya gembira bila Exists nak adakan konsert, jadi saya terus setuju dan tetapkan tarikh, buat sesi fotografi dan juga sidang media,” Ujar Mamat ketika ditemui pada sidang media Konsert Resolusi Exists di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, kelmarin.

Mamat mengakui, perjalanan kehidupannya sekarang lebih senang.

“Saya dah buat persiapan untuk masa depan. Saya mahu berubah ke arah lebih baik. Kehidupan peribadi kita memang saya simpan.

“Alhamdulillah… dengan program dan konsert yang ada saya rasa karier lebih teratur,” katanya.

Mamat Exists

Sementara itu, Pasha tidak menyangka bahawa Exists akan mengundangnya untuk bersama dalam konsert tersebut. Menurutnya, dia menerima lamaran sebagai penyanyi undangan Exists pada penghujung tahun lepas.

“Saya dapat lamaran dari Ajai hujung tahun lepas lagi dan semenjak itu, saya sudah bersedia jika ada projek yang membabitkan persembahan tetapi saya tidak menyangka mereka menjemput saya untuk sebuah konsert yang besar bersama Exists.” Kata Pasha.

Menurut Eiz, dia tidak kisah apabila ada peminat yang akan membandingkan mereka dengan vokalis Exists Mamat dan Ezad kerana itu adalah pandangan masing-masing.

“Setiap vokalis Exists macam Mamat dan Ezad masing-masing dengan karakternya tersendiri dan kami pun ada karakter sendiri yang kami akan bawa nanti.” Jelas Eiz.

Pasha dan Eiz

Dibawakan oleh ImagineX selaku penganjur konsert, Encik Amir Shah Daud merasakan sudah tiba masanya Exists muncul lagi dalam sebuah konsert bagi merawat kerinduan peminat yang mahu menyanyikan lagu-lagu hits dan berkualiti Exists bersama-sama.

“Exists merupakan sebuah kumpulan yang mempunyai banyak lagu hits yang berkualiti. Lagu-lagu mereka bukan sahaja terkenal di Malaysia malah di luar terutama Indonesia. Saya percaya para peminat Exists juga akan menyokong konsert ini kerana sudah lama tidak menyanyi bersama Exists dalam sebuah konsert. Malah konsep kali ini berbeza dengan konsert Exists yang terdahulu,” ujar Amir mewakili ImagineX.

Peminat yang ingin membeli tiket Konsert Resolusi Exists, tiket telah pun mula dijual pada 29 Ogos lalu di www.ticket2u.com.my. Tiket-tiket dijual pada harga RM190 (bronze), RM230 (silver), RM290 (gold), RM330 (platinum) dan RM800 (box meet & greet).