KUALA LUMPUR – Bintang popular serba boleh Rizky Febian, dari negara seberang Indonesia kembali ke Malaysia untuk konsert album jelajah BERONA DAY. Tanggal 3 November 2023 ini, bertempat di Megastar Arena, Kuala Lumpur, bermula jam 8.30 malam, bersedia untuk menjadi saksi buat konsert yang dinanti-nantikan, An Album Live Concert, Berona Day: Rizky Febian yang dibawakan khas oleh penganjur konsert paling sensasi masa kini, Hitman Solutions.

“Ini merupakan konsert saya yang kedua seumpamanya di Malaysia dan pernah juga menjadi sebahagian dari sebuah konsert antarabangsa pada Julai tahun ini,” jelas pemilik nama sebenar, Rizky Febian Adriansyah Sutisna, 25 tahun.

Sejak kecil, Rizky sudah pun didedahkan dengan industri hiburan di mana bapanya merupakan artis komedi terbesar Indonesia, kemudian pada tahun 2015, beliau tampil dengan single sulung berjudul ‘Kesempurnaan Cinta’ yang berjaya melonjakkan namanya sebagai salah satu penyanyi ‘papan atas’ Indonesia.

Terkini, Rizky baharu sahaja melancarkan album keduanya berjudul ‘Berona’ pada 21 Julai lalu, katanya, “Album yang mengandungi 10 lagu baharu hasil kolaborasi 3 pemuzik Indonesia, Gangga, Teddy Adhitya dan Basboi menjadi tujuan utama mengapa konsert ini diadakan kali ini, selain mempromosikan album baharu, dapat juga menyapa peminat-peminat saya di Malaysia.

“Team dari RFAS Music sudah pun mempersiapkan segala rangka promosi pada September ini, dan juga menjelang malam konsert nanti.

Bertemakan cinta yang diambil dari album ‘Berona’, konsert, An Album Live Concert, Berona Day: Rizky Febian, bakal berlangsung selama hampir 2 jam dengan 15 buah lagu yang akan dipersembahkan pada malam konsert nanti di mana Rizky akan tampil dengan cara nyanyian yang sedikit berbeza dan lebih dewasa. 

Lebih istimewa, beliau juga bertanggungjawab sebagai pengarah muzik bagi konsertnya sendiri. “Dari segi susunan muzik pula, saya sendiri yang akan menentukannya dengan ‘warna’ baharu yang lebih sesuai dengan usia saya yang semakin matang yang dilatari pemuzik profesional yang diterbangkan dari Indonesia.

Menurut En. Rohit Rampal, selaku Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Solutions, “Rizky mempunyai pengaruh yang kuat dikalangan penggemar muzik tempatan dan beliau merupakan artis muda yang sering menjadi perhatian kerana hasil karyanya yang bermutu. Dengan itu, kami tidak teragak-agak memilih untuk membawa Rizky ke Malaysia bagi mengadakan konsert jelajahnya. 

Kami juga akan teruskan penjelajahan ini ke negara singa, pada tahun 2024 sebagai penganjur untuk Berona Day Rizky Febian Singapura. Sebagai promoter konsert, kami ingin setiap konsert itu bermakna buat peminat-peminat, oleh itu, kami memberikan harga tiket yang berpatutan dan mampu beli kepada semua.”

Tiket akan dijual mulai 7 September 2023, jam 12 tengah hari di www.hitmanlive.com dengan tiket kategori – Romansa (Free Standing) RM 179, Terpesona (Normal Seating) RM 199 dan Super Rizfelous (VIP Standing) berharga RM399. 

Terima kasih khas kepada Sinar FM, ERA FM, Gegar FM (rakan radio rasmi), RFAS Music (label rekod rasmi), Sunway Putra Hotel, (rakan hotel rasmi) dan Batik Air (syarikat penerbangan rasmi).

Sebarang pertanyaan berkenaan konsert An Album Live Concert, Berona Day: Rizky Febian, sila hubungi En. Keeran (Hitman Solutions) di talian 012-887 0669.