July 19, 2024

KUALA LUMPUR – Salam Baitullah, sebuah rancangan tonggak RTM bersiaran setiap kali musim haji kembali menemui penonton bermula 17 Jun ini hingga 30 Jun. Musim ke-15 ini bakal menampilkan kelainan utama selain mampu menarik jumlah tontonan tinggi dengan liputan dan maklumat terkini keadaan di Tanah Suci Mekah. 

Tahun ini, program terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui Seksyen Ehwal Semasa (SES) edisi ke-15 akan disiarkan sebanyak 15 episod dan bersiaran secara langsung di saluran TV1, Berita RTM, 123 MyTV juga RTMKlik. 

Lebih menarik, dengan trend penontonan semasa di media sosial, Salam Baitullah akan turut bersiaran secara langsung di platform Youtube dan TikTok setiap hari pada pukul 8.20, bermula malam ini. 

Dengan purata antara 500 ke 600 ribu jumlah tontonan harian di saluran TV1, Berita RTM dan RTMKlik pada tahun 2022 yang menjadikan jumlah tontonan di tiga platform berkenaan mencecah hampir 9 juta sepanjang 15 episod bersiaran, RTM optimis angka itu bakal meningkat dengan pelbagai pembaharuan yang dilakukan. 

Bertemakan ‘Penyucian Jiwa, Kemuncak Ibadah’, musim haji tahun ini menyaksikan RTM menghantar dua tenaga produksi berita ke Mekah sebagai petugas media Tabung Haji. Mereka yang terpilih ialah wartawan Mohd Faiz Shauqi Md Roziki dan Annaz Md Nor. Turut serta jurukamera Mohammad Azrul Amir Hamzah dan juruteknik, Mohd Rafiudin Mohd Nordin. 

Bingkisan khas dari Tanah Suci ini dapat disaksikan dalam Salam Baitullah menerusi segmen yang dinanti-nantikan oleh kebanyakan waris para duyufurrahman iaitu Khabar Tanah Suci. 

Pengisian program ini akan turut mengupas perjalanan ibadah haji bermula daripada persediaan awal hinggalah pada Hari Wukuf dengan teknologi CGI dan lintas langsung perkembangan terbaharu jemaah haji kita kepada keluarga di tanah air. 

Justeru menjelang kemuncak ibadah haji iaitu pada Hari Wukuf, dua slot diperuntukkan. Slot pertama akan bersiaran pada pukul 6:00 petang hingga 7:30 malam manakala slot kedua pada malam Hari Raya Aidiladha pula dari pukul 9:00 malam hingga 11:00 malam. 

Salam Baitullah kali ini menampilkan pengacara terkenal dan berkredibiliti iaitu Ustaz Hariz Ismail (PU Riz) dan Ustaz Fakrul Razi (UNIC), manakala Yatt Hamzah akan mengemudi segmen Media Sosial di Youtube dan TikTok. Tahun ini juga membariskan panel-panel pendakwah terkemuka negara yang bakal memperincikan mengenai ibadah haji. 

Salam Baitullah turut mengekalkan segmen ‘Rehlah Haramain’ yang merupakan pakej khas tempat-tempat menarik di Tanah Suci seperti tempat bersejarah Nabawiyah, tempat-tempat menunaikan ibadah haji dan kawasan umum / khusus yang kurang dikunjungi oleh jemaah. 

Tahun ini, Olive House menjadi penaja utama, manakala Jay Ibrahim Travel & Tours, Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur, Kashmir House, Saudagar Aiman, Adabi dan Reezqa Kopi sebagai rakan strategik. 

Seperti kelaziman saban tahun, penonton setia Salam Baitullah turut berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik dalam kuiz terkumpul dan kuiz harian. Jay Ibrahim Travel & Tours memperuntukkan tajaan hadiah utama bagi kuiz terkumpul iaitu pakej umrah pemium bagi tiga pemenang utama. Tidak ketinggalan lima tiket penerbangan pergi balik serta baucar-baucar mengerjakan umrah. 

Manakala bagi hadiah kuiz media sosial pula turut menawarkan hadiah menarik kepada peserta yang berjaya.