April 22, 2024

KUALA LUMPUR- Buat pendatang baharu industri muzik tanah air, Sebrian Shah, kehilangan orang tersayang pastinya meninggalkan kesan yang mendalam, apa lagi 4 kesemuanya. “Saya mengumpul kekuatan dalam berkarya kerana kehilangan 4 ahli keluarga yang amat disayangi. Lagu Maafkan hasil ciptaan barisan komposer muda, Amzar Razqa, Ijlal Afiq dan Emeer Bakri menjadi taruhan pertama saya dalam menembusi pasaran muzik tempatan dan diterbitkan oleh Armani Entertainment Group (AEG),” jelas jejaka kacak kacukan Melayu-Melanau-Cina ini, 24 tahun.

Walaupun baharu sahaja hadir dengan single pertama, Sebrian sudah pun dalam proses menyempurnakan rakaman single kedua dan ketiga yang memerlukan penguasaan vokal yang total. “Saya menghadiri kelas vokal bersama Cikgu Shafi yang diaturkan oleh pihak AEG sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu bagi mengasah kekuatan vokal untuk memudahkan proses rakaman seterusnya,” jelas mahasiswa dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan di Lincoln University.

Dilahirkan di Johor Bahru, Sebrian sememangnya meminati bidang nyanyian sejak kecil lagi, katanya, “Seingat saya ketika berusia 9 tahun, bapa ada menghadiahkan sebuah set karaoke kerana sedar dengan minat saya yang suka menyanyi dan pernah menyertai beberapa pertandingan nyanyian dalam Bahasa Cina dan Inggeris kerana menuntut di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) dan mula menyanyi dalam Bahasa Melayu sepenuhnya ketika di sekolah menengah sehingga di universiti, akhirnya bakat saya dicungkil oleh AEG dan mereka terus melamar saya menjadi artis rakaman.

Single Maafkan dalam nuansa pop balada ini menceritakan tentang kehilangn orang tersayang di mana masa yang diberikan sangat mencemburui kehidupan yang singkat ini, hanya kemaafan yang dipinta dan penyesalan kerana tidak dapat bersama lebih lama, jelas Sebrian tentang bait liriknya, “Saya telah kehilangan 4 orang ahli keluarga yang amat saya sayangi dalam 4 tahun berturut-turut, sesi rakaman bermula sejurus pemergian atuk tersayang dan rakaman terakhir pula diadakan beberapa hari setelah kehilangan ibu saudara. 

“Lagu ini dekat dengan jiwa saya di mana dalam menjalani kehidupan sebagai seorang siswa dan juga penyanyi, masa semakin tidak mencukupi kerana cuti semester dihabiskan dengan aktiviti nyanyian. Saya tidak mengeluh kerana ini adalah jalan hidup yang saya pilih demi masa depan yang cerah. 

Video muzik (MV) single Maafkan merupakan hasil idea Sebrian sendiri dengan sentuhan peribadi, “Saya hanya ingin menyampaikan mesej kepada semua bahawa masa itu amatlah berharga dan tidak boleh diputar semula, untuk mengetahui lebih lanjut, jangan lupa menontonya di YouTube nanti!”

Dato’ KK Chua, Ketua Pegawai Eksekutif AEG berkata, “Sebrian adalah seorang anak muda yang berbakat besar dan mempunyai masa depan yang cerah dalam industri muzik kita, di AEG kami percaya dengan bakat anak muda selain menyediakan latihan vokal agar mereka betul-betul  bersedia dalam menghadapi persada muzik Malaysia yang banyak saingannya.

Sebagai pendatang baharu, Sebrian berpendapat seorang penyanyi harus memiliki sifat keterbukaan, “Saya tidak menolak untuk mencuba dan menerima apa sahaja jenis genre yang ada di luar sana, harapan saya agar pendengar sukakan lagu ini dan jangan berhenti mendoakan kerjaya seni saya.

Lagu Maafkan boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify, iTunes Store, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Manakala video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di YouTube Armani Entertainment.

Sebrian Shah – Maafkan (Official Music Video)