PETALING JAYA – Pasangan sahabat yang juga merupakan penyanyi dari Singapura, Hazrul Nizam dan Diana Nazyra telah acap kali merancang untuk merakamkan lagu duet bersama, namun disebabkan atas kesibukan kerjaya masing-masing, keinginan mereka ini sentiasa tertangguh.
Maka tidak hairanlah apabila Hazrul Nizam yang mula menerima pelawaan untuk merakamkan lagu setelah dikenali semula melalui rancangan realiti Gegar Vaganza musim ke-9, bertindak untuk menghubungi Diana Nazyra bagi menzahirkan hasrat mereka yang telah lama tertunda ini.

Menurut Hazrul, dia sudah lama mengenali Diana dan sememangnya berhasrat untuk menghasilkan single duet bersama tetapi disebabkan kesibukan projeknya itu tertunda sehinggalah dia selesai bertanding di program realiti nyanyian tahun lalu akhirnya timbul semula idea dan impiannya menjadi kenyataan.
“Saya dan Diana memang dah lama berkawan sebab itu kami serasi bersama untuk berkolaborasi bagi menghasilkan lagu duet ini. Walaupun saya ada merancang untuk merakamkan lagu single saya sendiri namun lagu duet ini lagi mudah jalannya,” katanya.

Bagi menembusi pasaran Malaysia dengan lancar, dua sahabat ini memilih untuk bekerjasama dengan penggubah lagu tempatan, dan ini menemukan mereka dengan penyanyi Hazama dan Omar K, dua nama yang tidak asing lagi dalam industri muzik Malaysia.
Tambah Diana, dia begitu berbangga kerana dapat merakamkan single bersama penyanyi yang popular dengan lagu Kaulah Segalanya itu.
“Saya amat berbangga kerana dapat berduet bersama Hazrul dalam karya indah hasil ciptaan komposer profilik, Omar K dan penyanyi popular Hazama. Saya berharap lagu ini dapat diterima oleh pendengar dengan respon yang positif,” katanya.

Sementara itu, proses bagi menghasilkan lagu duet ini telah mendapat sokongan penuh HMA Entertainment.
“Saya juga berasa syukur kerana ditemukan dengan Hilwah Brown yang sudi untuk melibatkan diri dalam projek ini dan segalanya dipermudahkan seperti yang diatur maka lahirkan Sejuta Kata,” ujar Hazrul ketika ditemui di sidang media Sejuta Kata di Hotel Royal Chulan The Curve Damansara pada 4 Julai yang lalu.

Lagu duet terbaharu dari Hazrul Nizam dan Diana Nazyra ini menceritakan kisah cinta yang amat indah dan sukar digambarkan walau dengan sejuta kata. Meski ada halangan sepanjang hubungan, mereka berjanji akan kekal setia menanti hari bahagia yang bakal tiba.
Sejuta Kata telah dilancarkan pada 23 Mei yang lalu di semua pelantar penstriman digital dan video muzik rasminya boleh ditonton di saluran YouTube Alternate Records & Talents.