June 13, 2024

KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan Konsert Transcendence 20 Tahun di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2 November 2019 sejurus sebelum pandemik Covid-19, tahun ini pula Butterfingers ingin membawa pengikut-pengikut kultus menyusuri kembali, imbauan rasa nostalgia kegemilangan kemuncak muzik mereka dalam era album ke-4 Malayneum menerusi Konsert Malayneum 23 yang bakal berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 7 Oktober depan.

Teraju utama kumpulan Butterfingers, LoQue atau Khairil Ridzwan Annuar berkata, “idea ini sudah lama tersimpan di benak pemikiran saya sebaik selepas kejayaan Konsert Transcendence 20, namun terbantut akibat dunia diserang pandemik untuk beberapa tahun. Maka tahun 2023 ini dilihat ‘cuaca’ yang agak baik untuk kami laksanakannya.

(Foto: Papa Din)

“Butterfingers percaya semua pendengar dan pengikut kultus kami sentiasa dahagakan persembahan kami secara ‘live’. Kami juga percaya, tindak balas kimia yang kami salurkan apabila kami berempat berentap bersama di atas pentas sejak pasca Transcendence 20 bakal menggamit nostalgia serta mengukir memori baru baik kepada penonton juga kepada kami ahli kumpulan.” Kata LoQue yang juga merupakan pemain gitar utama Butterfingers.

Ditanya persoalan mengenai tujuan utama Konsert Malayneum 23 ini diadakan, Loque menjelaskan Butterfingers pada tahun 2001 ketika itu sedang ligat menghasilkan album demi album sejak album pertama iaitu 1.2 Milligrams. Ketika album ke-3 Butterfingers Transcendence belum selesai mendapat menempa nama di arus perdana, tanpa melengahkan masa Butterfingers terus telah mengeluarkan album ke-4 mereka Malayneum dengan bunyi-bunyian yang lain dari album-album sebelumnya.

(Foto: Papa Din)

“Dari perspektif syarikat rakaman, album ini telah dikira sebagai ‘bunuh diri secara komersial’ kerana kami (Butterfingers) telah pusing 180 darjah bunyi-bunyian kami untuk lari dari bunyi-bunyian album Transcendence sebelum itu. Oleh kerana album Malayneum ini dilihat sebagai janggal dan aneh dari album-album sebelumnya, juga atas beberapa faktor lain yang tak dapat dielakkan, maka kami tidak sempat untuk meraikan album ini secara sepenuhnya ketika itu. ‘Tour’ (kembara) Malayneum tidak dapat diraikan sepenuhnya maka telah dipendekkan.

“Oleh itu, album ini dianggap ‘setengah masak’ kerana kami tidak dapat bermain ‘live’ lagu-lagu dari album Malayneum secara menyeluruh. Jadi, Konsert Malayneum 23 ini bakal menyaksikan lagu-lagu dari album Malayneum antaranya yang akan dimainkan dalam perspektif yang berbeza di era yang berbeza untuk semua yang hadir nanti.” tambah LoQue lagi.

(Foto: Papa Din)

Sementara itu, vokalis Butterfingers, Emmett Roslan Ishak bakal tampil bermain gitar semula untuk konsert Malayneum 23 ini atas permintaan ramai peminat.

“Saya begitu teruja dan hanya berharap untuk ‘menghidangkan’ satu persembahan yang boleh diingati dan luar biasa. Tidak lebih dari itu. Yang paling penting adalah untuk saya sendiri merasa puas yang betul-betul puas, ini kerana jika diri saya dapat rasai kepuasan tersebut, maka sudah pasti anda semua yang hadir tentu akan lebih puas, sepuas-puasnya.

“Malayneum adalah satu album ‘underrated’ yang lahir sebelum kami memasuki ‘Era hiberasi peti ais’ (hiatus) dan seluruh ahli kumpulan tidak dapat berpeluang meraikannya dengan secukupnya. Kebanyakan lagu-lagu dalam album ini juga kesemuanya jarang dimainkan di atas pentas dan ada yang langsung tidak pernah dipersembahkan. Album ini datang dengan bunyi-bunyian yang tidak ‘grunge’ seperti kebanyakan album yang kami ada.” Tambah Emmett lagi.

Bagi LoQue pula, track dalam album Malayneum sangat berbeza berbanding album Butterfingers yang lain. Ketika album ini dirakam, mereka agak bosan dengan ‘power chords’ dan mereka memerah otak untuk menghasilkan bunyi-bunyian yang paling kreatif dan unik.

“Otak kami juga telah pecah kepada pelbagai saluran kreativiti. Ini kerana ketika itu Emmett dan saya dipengaruhi oleh muzik-muzik yang di luar aliran ‘rock’ mahupun ‘grunge’. Album Malayneum ini juga secara kiasannya ibarat ‘senjakala’ kerana ia perantara antara siang dan malam.

“Oleh kerana itu, kami menyuntik elemen-elemen akustik dan elektronik seperti penggunaan ensemble biola ‘string quartet’, ‘hom section’ (trumpet dan trombol) dan juga permainan runut sampel-sampel (antaranya suara Cikgu, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee) dan synthesizer.” Jelas Loque.

(Foto: Papa Din)

Bercerita perihal Malayneum, Loque berkongsi lagi, “Apabila memikirkan kembali sekarang, 2 dekad selepas dikeluarkan, saya boleh katakan Malayneum sangat menonjol sebagai satu album kami yang paling unik. Album ini berada di antara grunge, alternatif dan indie rock. Album ini juga berada dalam kategori sendiri dalam ‘satu ruang’ yang menarik, sukar untuk kami letakkan dalam mana-mana kategori. Kami yang ketika itu, sedang giat menyiapkan beberapa lagu dan album, namun boleh beralih daripada era grunge kepada sesuatu yang ‘lain’. 

“Boleh dikatakan ia seperti album yang terperangkap dalam transit antara 2 era, tidak berada dalam mana-mana acuan tertentu. Selepas 20 tahun, kami bersyukur kerana kami membawa haluan tersebut yang belum pernah lagi dibawa Butterfingers tetapi Malayneum cukup siap dan berada dalam liganya sendiri.”

Bagi pemain bass Butterfingers, Mohd Fakharudin Mohd Bahar atau Kadak, album Malayneum adalah satu karya yang ‘diperam’ dan ‘masak ranum” dan beliau berharap penggemar album ini dapat alami semua lagu dan menikmatinya dengan baik terutamanya pada persembahan pada malam itu nanti.

“Mari sama-sama runtuhkan tembok yang membatasi pilihan musikaliti Butterfingers yang susah lagi bersama sekarang kerana kekangan masa masing-masing dari kami. Ini juga masanya kita berkumpul, alami dan hargai usaha keseluruhan bunyi-bunyian lagu dari album Malayneum. Kalau bukan masa anniversary (ulang tahun ke 20) ini, bila lagi?,” katanya.

Kadak juga memberi tafsiran bahawa lagu-lagu dari album Malayneum ini sebagai ‘gelap’ atau ‘abyss’ yang bermaksud kebanyakan lagu adalah bermain dengan satu kitaran percikan emosi dan liriknya dititipkan transisi perasaan yang mahu dizahirkan. 

“Pada malam konsert nanti kami akan cuba menjanjikan kelainan. Untuk yang mahu tahu apa kelainan yang akan kami bawa, maka ‘wajib’ membeli tiket sebelum terlambat dan rugi.” Ujar Kadak lagi.

(Foto: Papa Din)

“Konsert Malayneum ini akan menjadi pentas besar dan kami meletakkan sepenuh harapan untuk penonton datang. Ini juga sebagai hadiah kepada penggemar bunyi Butterfingers yang sentiasa menunggu kehadiran Butterfingers walaupun setelah beberapa tahun tidak bersama dalam satu pentas besar. Untuk yang ingin tahu kelainan konsert kali ini, perlu lah hadir…” Kata pemain Dram, Noor Haffizal Rashid atau lebih dikenali sebagai Loko.

Loko juga berharap semua yang membesar dengan muzik Butterfingers dapat hadir bersama meriahkan konsert ini selain dapat menarik minat generasi baharu terhadap muzik yang dibawakan oleh mereka.

“Walaupun konsert ini untuk meraikan 2 dekad album Malayneum, namun demi tidak mengecewakan pengikut kultus kami, kami akan menyajikan lagu-lagu ‘kek lapis’ dari era awal Butterfingers iaitu lagu-lagu kegemaran ramai dalam repertoire kami.” kata LoQue sebelum mengakhiri bicara.

Konsert Malayneum 23 Butterfingers bakal diadakan pada tanggal 7 Oktober 2023 di Stadium Malawati, Shah Alam. Lokasi ini sekali lagi dipilih kerana kapasiti penonton yang boleh memuatkan sehingga lebih 8000 penonton dalam satu-satu masa.

Tiket konsert sudah mula dijual mengikut kategori zon tempat duduk dengan harga bermula RM99 (Ginseng), RM135 (Suddenly), RM199 (Pacific) dan RM249 (Mating Season). Manakala untuk zon berdiri, harga tiket boleh didapati pada harga RM169 (Malayneum) sahaja. Serta tambahan tempat duduk utama dengan harga bermula RM499 (Malayneum Deluxe) untuk pembeli bergambar bersama (meet & greet) dan memiliki barangan rasmi (official merchandise). Segala urusan pembelian tiket adalah menerusi www.ticket2u.com